Tunai baucar BR1M dua kali - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tunai baucar BR1M dua kali

KUALA LUMPUR- Jabatan Audit Negara mengesan tindakan individu menunaikan baucar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sebanyak dua kali sejak BR1M mula diperkenalkan pada 2012.

Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mendedahkan, Kementerian Kewangan kerugian RM3.34 juta apabila seramai 6,577 individu membuat tebusan kedua pada BR1M 2012, 2013 dan juga penerima Fasa 1 BR1M  untuk 2014.

Beliau berkata, berdasarkan laporan audit dikeluarkan, sehingga 31 Disember 2014, seramai 4,806  penerima terbabit  masih  gagal membuat bayaran balik kepada Kementerian Kewangan iaitu 1,555 orang bagi BR1M 2012, diikuti 1,850 orang pada BR1M 2013 manakala 1,401 lagi untuk BR1M 2014 yang keseluruhannya bernilai RM2.61 juta.

Menurutnya,  hasil pengauditan di peringkat pejabat penyelaras di Selangor, Johor dan Sabah sebagai sampel pengauditan mendapati tiada kawalan dalaman seragam ditetapkan dalam proses pengagihan baucar BR1M  semasa pelaksanaan BR1M 2012 dan BR1M 2013.

“Bagi mempertingkatkan lagi operasi pengurusan BR1M, Jabatan Audit Negara menyarankan Kementerian Kewangan dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berterusan memberi kesedaran agar penerima membuka akaun bagi memudahkan wang bantuan itu disalurkan terus kepada akaun mereka.

“Malah Prosedur Operasi Standard (SOP) disediakan perlu dikemaskini di samping penggunaan baucar sedia ada perlu ditukar kepada surat kelulusan bagi elak kes penunaian BR1M lebih dari sekali,” katanya.

Sementara itu Kementerian Kewangan dalam maklum balasnya kepada Jabatan Audit Negara mengambil tindakan penambahbaikan dalam  pelaksanaan BR1M 2014.

Antara penambahbaikan ialah dengan mewujudkan pasukan khas di Kementerian Kewangan Malaysia BR1M termasuk mengeluarkan surat peringatan kepada penerima lebih daripada sekali serta tindakan menyenarai hitam nama penerima tersebut sekiranya masih tidak mengembalikan lebih   berkenaan.

Selain itu, bagi penerima BR1M yang tidak mempunyai akaun atau belum mengemaskini nombor akaun bank mereka, pengagihan bagi Fasa 2,BR1M 2014 tidak lagi menggunakan baucar sebaliknya  akan menggunakan surat kelulusan berserta slip akuan penerimaan yang mempunyai ciri keselamatan Anti Copy.

Langkah ini  dilakukan bagi mengelak penunaian lebih dari sekali oleh individu tidak bertanggungjawab.

Program BR1M merupakan inisiatif dilaksanakan kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menangani kos sara hidup rakyat.

Kerajaan telah mengagihkan RM2.09 bilion untuk BR1M 2012, BR1M 2013 (RM2.83 bilion) dan BR1M 2014 (RM3.6 bilion).

0 Komentar untuk " Tunai baucar BR1M dua kali "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ