Syukurlah Salman dah balik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Syukurlah Salman dah balik

SEBAIK sahaja dimaklumkan Salman Khan tiba di KLIA semalam, saya mengalirkan air mata, tumpang gembira bersama ibu bapa, adik-beradik dan sanak-saudara.

Syukur, Ustaz Salman, anak saudara saya selamat kembali ke tanah air dari Yaman, negara yang semakin bergolak dengan peperangan sengit.

Dia mula belajar di Dar Al Mustofa, pusat teologi terkenal di Tarim, Hadramaut, Ramadan lepas dan dijadualkan berada di sana selama tujuh tahun lagi bagi menamatkan pengajian dalam bahasa Arab, tajwid, syariah, hadis dan yang berkaitan.

Bagaimanapun, dengan penentuan ALLAH, Salman, bersama lebih 100 pelajar Malaysia di situ, terpaksa memendekkan tempoh pengajian dan balik ke tanah air.

Yang menarik, ayahnya, Shamroz Khan, yang ke Tarim Ogos lalu, balik bercuti Februari lepas, tetapi terpaksa batalkan hasrat pergi semula akibat pertempuran sengit.

Tetapi, ada kira-kira 40 lagi pelajar Malaysia memilih untuk terus belajar di sana.

Bagi rakyat kita dan rakyat negara lain yang masih berada di negara bergolak itu, kita doakan selamat berjaya.

Kepada Salman dan kira-kira 500 lagi pelajar Malaysia dari seluruh Yaman yang balik ke tanah air, kita ucapkan ‘ahlan wa sahlan’.

Saya percaya mereka sedia maklum, Malaysia negara yang tidak pernah sunyi daripada kemeriahan polemik dan politik, hentam-menghentam dan berbalas pantun.

Luahan tentang isu ketirisan dan penyelewengan tidak payah cakap lagi.

Semalam,  umpamanya, Tun Dr Mahathir Mohamad mengeluh beliau ‘keseorangan’ dalam mengemukakan pertanyaan berkaitan isu-isu penting, tetapi terus melepaskan salvo dengan tajuk ‘Soal Tak Jawab’, lima hari selepas perdana menteri muncul dalam program ‘Soal Jawab’ di TV bagi memperjelaskan isu kontroversi berkaitan Altantuya Shaariibuu, wanita Mongolia yang dibunuh lapan tahun lalu dan 1Malaysia Development Berhad, antara lain.

Pada masa sama, Datuk Seri Najib Razak juga menerima lafaz taat setia daripada beberapa pihak, terutama sayap-sayap Umno, yang beliau menjadi presidennya.

Isu Pas yang bersungguh-sungguh mahu melaksanakan hudud di Kelantan masih rancak, sementara perdebatan mengenai isu cukai barang dan perkhidmatan (GST) bagaikan tidak ada penghujungnya.

Tetapi yang pasti, Malaysia, bumi bertuah yang kita pijak ini, terus aman dan tenteram. Tiada peperangan bersenjata dan pertempuran yang meragut nyawa seperti di Yaman dan di beberapa negara lain.

Syukur, walaupun tidak sampai setahun menjalani pengajian di Dar Al Mustofa, kelihatan Salman sudah banyak berubah; disiplin dirinya nampak meningkat dan pertuturannya jelas terkawal. Tentu ilmu di dada sudah bertambah dengan banyaknya.

Di Hadramaut terdapat makam Nabi Hud AS, sahabat Nabi SAW, iaitu Abad bin Bashir dan wali-wali ALLAH.

Maka wajar sangatlah mereka yang belajar di sana terkesan dengan suasana agama dan keutamaan sunnah, termasuk dari segi pemakaian dan makan minum.

Salman, 21, dan beberapa rakannya yang sudah jadi hafiz sebelum ke Yaman lagi, nampaknya boleh bersiap sedia untuk menjadi imam jemputan di banyak masjid dan surau untuk solat wajib dan terawih sepanjang Ramadan tahun ini, yang dijadualkan bermula pertengahan Julai.

Tabik pada Salman, yang walaupun masih muda, mempunyai semangat kental untuk persiapkan diri demi agama.

“Insya-ALLAH, kalau tak ada perang lagi, Man ingat nak balik ke Hadramaut, nak sambung belajar,” bisiknya. Allahuakbar!

INFO: Bekas Presiden Yaman, Ali Abdullah Saleh dipaksa letak jawatan pada 2012 susulan kebangkitan rakyat.

Berikutan itu, Ali minta pengikutnya berjuang bersama Houthi yang menakluki ibu kota Yaman, Sanaa, pada September lalu.

Militia Houthi menentang rejim setia kepada Presiden Abedrabbo Mansour Hadi. Kejatuhan Sanaa memaksa Abedrabbo berlindung di luar negara.

0 Komentar untuk " Syukurlah Salman dah balik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ