Pemanis mulut jadi trend masa kini - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pemanis mulut jadi trend masa kini

PEMANIS mulut merupakan antara makanan yang sentiasa mendapat tempat di kalangan pengguna terutamanya mereka yang memang menggemarinya.

Tidak hairanlah jika hari ini apabila kita membuka laman sosial seperti Instagram dan Facebook, akan muncullah gambar makanan pemanis mulut yang menggiurkan, sama ada yang tradisional mahupun barat.

Antara yang mendapat perhatian adalah brownies, kek cheese, tat cheese, bertih beras dengan coklat dan pelbagai lagi yang diubah mengikut gaya menarik serta cita rasa terkini.

Permintaan yang sentiasa ada terhadap pemanis mulut juga mendorong kemunculan peniaga atas talian (online), sama ada sepenuh atau separuh masa mengikut kreativiti masing-masing.

Bagi penggemar kek dan coklat, Hafiza Mohd Said, 23, kesukaannya terhadap makanan tersebut tidak dapat dibendung apatah lagi apabila melihatnya.
“Saya memang gemarkan benda manis dan paling saya suka adalah kek, lagi menarik dan sedap kek tersebut, maka saya akan belinya berulang kali.

“Kalau masa kecil apabila saya nak makan kek atau coklat, abah akan bawa ke kedai dan membelinya. Tapi tidak lagi sekarang memandangkan saya bol
eh menempahnya melalui Instagram,” katanya kepada Sinar Harian.

Hafiza yang bertugas sebagai jururawat berkata, kebanyakan peniaga atas talian hari ini sentiasa tahu apa yang digemari pelanggan dari masa ke masa dan tidak mengecewakannya.


Kuih tradisional sebagai pemanis mulut

Bagi suri rumah, Norhayati Azman, 27, dia lebih menggemari kuih tradisional sebagai makanan pemanis mulut memandangkan rasanya enak dan istimewa.

"Sejak kecil lagi emak saya memang suka memasak kuih-kuih Melayu seperti seri muka, tepung talam, tepung pelita, buah melaka dan pelbagai lagi.

"Jadi saya sudah terbiasa dan sampailah saya besar memang kalau mengenai pemanis mulut saya akan utamakan kuih-muih tradisional dahulu," katanya.

Dia juga turut menyatakan minatnya terhadap kek dan juga tat cheese yang merupakan pemanis mulut moden zaman kini.

"Kalau kuih tradisional saya memang akan masak bersama emak memandangkan itu kebolehan kami walau ada yang jual online, tapi kalau kek dan tat cheese memang kena tempah tak pun beli di kedai atau online," katanya.


Belanja RM30 seminggu untuk beli pemanis mulut

Membelanjakan RM20 hingga RM30 seminggu hanya untuk memenuhi keinginannya terhadap makanan pemanis mulut, Amar Hayat Kamarudin, 26, berkata, dia tidak pernah rasa rugi.

"Saya memang penggemar pemanis mulut lagi-lagi kek dan coklat. Kalau di rumah, penuh dengan coklat sebab kalau stres dan sedih itulah makanan saya.

"Kalau kek pula, saya lebih suka makan di kafe sambil menghirup secawan kopi, kerana itu adalah masa untuk saya memberi ganjaran kepada diri selepas penat bekerja," katanya.

Menurut Amar Hayat, dia ada juga membeli kek dan coklat dari peniaga di Instagram tetapi amat jarang sekali kerana risau jika rasanya tidak sama seperti yang ditunjukkan menerusi gambar yang dipamerkan.


Sentiasa ada permintaan

Sementara itu, bagi pemilik Instagram dan Facebook HS BubbleBite, Zainal Izuddin Saharudin, perniagaan pemanis mulut yang disediakannya sentiasa mendapat sambutan menggalakkan.

"Hampir dua tahun saya berniaga secara sambilan menjual kek cheese, Alhamdulillah permintaan sentiasa ada malah semakin meningkat.

"Perniagaan menjual makanan pemanis mulut ini sentiasa ada permintaan dan kita tidak perlu risau ketiadaan pelanggan terutamanya mereka yang gemar membeli secara online," katanya.

Menurutnya, dalam sebulan dia mampu menjual hampir 30 balang kek cheese bersama rakan kongsinya walaupun dilakukan secara sambilan selain menjual pelbagai pemanis mulut yang lain.

"Saya juga ada letak produk saya di My Agrosis di UiTM Shah Alam, dan ia cepat habis dijual selain turut menerima tempahan secara online," katanya.

0 Komentar untuk " Pemanis mulut jadi trend masa kini "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ