PUNB lancar skim baharu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

PUNB lancar skim baharu

PERBADANAN Usahawan Nasional Bhd akan melancarkan skim pembiayaan mudah untuk membolehkan usahawan bumiputera memiliki premis perniagaan dengan peruntukan sebanyak RM30 juta pada bulan depan.

Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Dzulkifli Fadzilah berkata, PUNB kini dalam proses akhir untuk melengkapkan skim tersebut.

"Kita telah berbincang dengan dua, tiga bank bagi bekerjasama untuk skim baharu itu. Tapi yang betul-betul komited pada tahap akhir ini hanya sebuah bank," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Simposium Peruncitan Kebangsaan (SParK 2015) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; Pengerusi PUNB, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam dan Presiden Bumiputra Retailers Organisation (BRO), Datuk Khairol Anuar Mohamad Tawi.

Dzulkifli berkata, mengikut skim tersebut usahawan bumiputera hanya perlu mengeluarkan pembiayaan minima sebanyak lima peratus untuk memiliki premis sendiri dan selebihnya akan dibiayai oleh pihak bank dengan kerjasama PUNB.

Sementara itu, Mohd Ali berkata, PUNB akan terus berusaha merealisasikan kewujudan sebuah masyarakat perdagangan dan perindustrian bumiputera yang berjaya.

Beliau berkata, PUNB akan membentuk beberapa pelan strategik yang memberi manfaat kepada usahawan bumiputera.

"Antara strategi itu adalah menambahbaik pakej-pakej pembiayaan dan perkhidmatan sokongan yang ditawarkan kepada usahawan bumiputera," kata Mohd Ali dalam ucapannya.

Selain pakej pembiayaan dan perkhidmatan, PUNB telah mewujudkan BRO untuk melindungi, menggalakkan dan memajukan kepentingan bumiputera dalam industri peruncitan di negara ini, katanya.

Sejak ditubuhkan pada 1992 sehingga 31 Mac 2015, PUNB telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM2.14 bilion kepada 5,665 buah syarikat dengan melibatkan 8,186 usahawan bumiputera di seluruh negara.

Simposium sehari bertema "Menempuh Cabaran" yang berlangsung hari ini merupakan anjuran PUNB dengan kerjasama BRO.

SParK 2015 yang telah dijenamakan sejak dua tahun lepas merupakan kesinambungan daripada Majlis Jaringan Ukhuwah Usahawan PUNB yang dianjurkan sejak 2004. - Bernama

0 Komentar untuk " PUNB lancar skim baharu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ