Lawak, tetapi tidak boleh gelak - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Lawak, tetapi tidak boleh gelak

ADA yang tidak setuju dengan garis panduan hiburan yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) minggu lalu.

Antara yang disebut dalam garis panduan itu ialah penganjuran sebarang program berbentuk hiburan dilarang mengandungi unsur percampuran lelaki dan perempuan. Penonton mesti diasingkan.

Penganjur perlu memastikan program yang diadakan tidak mempunyai unsur ritual, tanda atau simbol yang bertentangan dengan ajaran Islam dan perbuatan yang diharamkan dalam Islam atau perkara yang boleh mendorong kepada keadaan-keadaan tersebut.

Disebutkan juga dalam garis panduan berkenaan, lawak jenaka dalam acara hiburan pun jangan keterlaluan sehingga menyebabkan penonton ketawa terbahak-bahak. Ketawa pun mesti bersopan.

Artis dan mereka yang terlibat dalam industri hiburan bertanya: Apakah garis panduan Jakim ini untuk orang Islam atau semua orang? Kata mereka sekiranya peraturan baharu ini untuk semua, akan membantutkan industri hiburan.

Penganjuran konsert biasanya membawa artis terkenal dari luar negara, dan audiens terdiri daripada berbilang kaum dan agama. Patutkah mereka diasingkan?


KALAU betul-betul dikuatkuasakan, stesen-stesen TV – termasuk RTM – boleh terjejas sebab merekalah paling banyak menganjurkan pesta dan hiburan, sama ada secara langsung atau rakaman awal.

Konsert Jom Heboh adalah salah satu program hiburan mega yang menghimpun beribu-ribu orang, bercampur gaul secara bebas, malah mungkin melalaikan solat Maghrib. Apakah stesen berkenaan tertakluk dengan garis panduan baharu itu?

Betapa halnya dengan sekian banyak program hiburan anjuran TV – Akademi Fantasia, Juara Lagu, Gegar Vaganza, Kilauan Emas, dan lain-lain – yang audiens bercampur lelaki perempuan?

Perlu diingat sesetengah artis yang mengambil bahagian dalam program-program hiburan TV bukan sahaja tidak menutup aurat, malah menggayakan aksi-aksi yang amat tidak sopan.

Betapa pula halnya dengan sekian banyak program lawak jenaka TV yang lawaknya memang keterlaluan malah ada unsur-unsur menghina? Kalau garis panduan Jakim dikuatkuasakan stesen-stesen TV kita paling banyak melanggar peraturan tersebut.


AGAKNYA kerana bimbang kesan terhadap program hiburan TV, Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengadakan perbincangan dengan Jakim berhubung garis panduan berkenaan.

Kata Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek: “Kementerian akan mengadakan perbincangan secara teliti dengan Jakim berhubung perinciannya bagi mengelakkan garis panduan tersebut disalah erti oleh orang ramai.”

Sepatutnya perbincangan dengan kementerian dan agensi-agensi lain yang terlibat diadakan terlebih dahulu, sebelum tergesa-gesa mengumumkan garis panduan berkenaan. Rumah siap, pahat berbunyi.

Lebih menarik lagi apabila menteri menegaskan: “Garis panduan tersebut bukan satu undang-undang atau peraturan yang perlu dipatuhi sebaliknya lebih merujuk kepada kriteria hiburan terutama dalam konsep Islam.”

Apa gunanya bersusah payah membuat garis panduan sekiranya siang-siang sudah dikatakan semuanya tidak perlu dipatuhi? Dalam hal-hal tertentu kita memang lucu dan keliru!


PEMBLOG seks Alvin Tan sekali lagi membuat rakyat Malaysia, khasnya yang beragama Islam, berasa marah kerana telah menghina seruan azan. Menerusi video di internet dia melaungkan azan dalam rentak R&B sambil bermain alat muzik.

Maka ramailah orang kita – termasuk Umno – membuat laporan polis meminta supaya tindakan tegas diambil ke atas pemblog kontroversi yang satu ketika dulu menyebarkan video seks dia dan kekasihnya.

Tokoh agama dan beberapa orang mufti turut menyatakan kesal dan meminta sesuatu dilakukan untuk menghukum Alvin yang dengan jelas menghina dan mempersenda kesucian Islam.

Malah Pemuda MCA pun marah pada Alvin dan mencabar pemblog berkenaan pulang ke negara ini supaya tindakan undang-undang dapat dilakukan ke atasnya. Alvin kini mendapat perlindungan di Amerika Syarikat.

Kita boleh menyatakan kemarahan, mengecap dia sebagai bodoh, sewel, pengecut, gila babi, penderhaka, atau apa sahaja. Tetapi hakikatnya dia sudah terlepas – atas kecuaian pihak berkuasa kita! – dan dia akan terus mencaci dan mengecam kita di alam maya...


AKHIR kalam, ketika orang ramai masih marah-marah dan gundah-gulana pada GST, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi sedikit penawar duka. Katanya, pengeluaran penuh wang caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dikekalkan pada usia 55 tahun.

Orang ramai sebelum ini marah meluap-luap apabila ada idea supaya duit simpanan mereka hanya boleh dikeluarkan pada usia 60 tahun. Siapa agaknya yang mengeluarkan idea haprak itu?

0 Komentar untuk " Lawak, tetapi tidak boleh gelak "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ