Lambang salib bukan isu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Lambang salib bukan isu

PADA 19 April lalu, kira-kira 50 penduduk, termasuk beberapa ahli Umno, mengadakan protes aman di hadapan sebuah gereja di lot kedai di Taman Medan, Petaling Jaya, kerana gereja itu memasang lambang salib di bangunannya.

Protes pada pagi Ahad itu, mendakwa kewujudan salib di kawasan majoriti Muslim mencabar Islam dan boleh mempengaruhi anak muda. Salib itu diturunkan pada jam 2 petang.

Pada saya, Islam tidak mengajar umatnya menyuruh gereja menurunkan salib, atau mana-mana rumah ibadat lain menurunkan lambang agamanya. Ini kerana Islam menegakkan kebebasan beragama (al-Baqarah: 256) dan Islam melarang daripada mengganggu agama lain (al-an’Am: 108).

Prinsip kebebasan beragama turut termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan (Perkara 3), di mana agama-agama selain Islam bebas diamalkan dengan aman dan harmoni.

Ketika protes diadakan, belum diketahui sama ada gereja itu memiliki kelulusan beroperasi. Pada 21 April, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menyatakan yang premis itu tidak mempunyai lesen untuk beroperasi sebagai tempat ibadat.

Tetapi, selepas itu, Elizabeth Wong, Exco Kerajaan Selangor dan Pengerusi Bersama Jawatankuasa Negeri Hal Ehwal Bukan-Islam (HESI), menyatakan bahawa kenyataan MBPJ itu tidak tepat.

Ini kerana gereja yang beroperasi di premis komersial atau pejabat tidak memerlukan permit. Gereja itu turut dinasihatkan agar memasang semula salib tersebut bagi mengelakkan tekanan-tekanan (seperti protes itu) menjadi ikutan.

Sebenarnya, mempunyai gereja di kawasan majoriti Muslim bukanlah satu isu. Minoriti juga punya hak, termasuk hak beragama. Di sini, ayat-ayat al-Quran di atas adalah relevan.

Dalam konteks ini, Rasulullah SAW menjamin hak-hak penganut Kristian Najran dan Saint Catherine di Sinai; iaitu hak untuk hidup, beragama, gereja, tanah, harta dan sekutunya. Mereka tidak perlu menukar agama, penjawat agama, tradisi atau adatnya.

Perlembagaan Persekutuan menjamin tidak berlakunya diskriminasi atas alasan agama (Perkara 8).

Sukar memahami pendapat kumpulan itu yang menyatakan bahawa salib mengancam keimanan. Terdapat beribu-ribu orang Islam Malaysia, termasuk isteri saya, belajar di sekolah-sekolah Kristian, yang di dalam kelasnya ada salib. Namun, mereka tetap teguh keimanannya.

Insiden ini turut melibatkan isu lain. Antara yang terlibat dalam kumpulan itu ialah Datuk Abdullah Abu Bakar, iaitu abang kepada Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. Menurut Abdullah, KPN ada menelefonnya bertanyakan insiden tersebut.

Pada 20 April, KPN menyatakan bahawa protes tersebut bukan satu kesalahan. Ia bukan mengenai agama Kristian, tetapi lebih merupakan bantahan penduduk terhadap kewujudan gereja di kawasannya.

Tetapi, beberapa minit kemudian, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengatakan bahawa kumpulan itu akan didakwa atas hasutan.

Selepas itu, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak mengumumkan bahawa polis akan menyiasat kes tersebut. Ketika rencana ini ditulis, polis telah pun memulakan siasatan, bermula dengan Abdullah.

Di sini, timbul beberapa persoalan. Kalau KPN boleh menelefon demonstran, mengapakah ada yang lain ditangkap dan bermalam di lokap? Mengapakah KPN begitu segera membuat keputusan yang melibatkan abangnya? Bukankah salib lambang Kristianiti?

Dan tidakkah perbezaan tafsiran hasutan oleh KPN dan Menterinya menambahkan bukti akan kelemahan Akta Hasutan yang drakonian dan patut dimansuhkan?

Apabila dilihat dari gambaran yang besar, iaitu isu kalimah ALLAH, rampasan Injil, protes terhadap kuil Hindu di Putrajaya, cara tangkapan polis dan pelaksanaan Akta Hasutan, maka, imej Islam dan kepemimpinan Islam adalah keras dan tak toleran.
Tetapi, Islam dan kepemimpinan Islam bukan begitu.

* Datuk Saifuddin Abdullah ialah CEO, Gerakan Kesederhanaan Global. Beliau aktif di twitter: @saifuddinabd.

0 Komentar untuk " Lambang salib bukan isu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ