Kawalan jualan arak, bila lagi? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kawalan jualan arak, bila lagi?

ISU arak di negara kita tiba-tiba menjadi panas kembali berikutan tindakan Indonesia dan Singapura mengawal penjualan minuman memabukkan itu baru-baru ini.

Kerajaan Indonesia melarang penjualan minuman beralkohol di semua pasar mini dan kedai runcit mulai 16 April lalu.

Langkah itu berasaskan kedudukan kedai-kedai yang berada dekat sekolah dan rumah ibadah di kawasan padat penduduk.

Menteri Perdagangannya, Rachmat Gobel menerima pujian masyarakat, walaupun persatuan peniaga dan pengilang arak tempatan memberi amaran ia akan menyebabkan Indonesia kehilangan kutipan hasil cukai arak sebanyak 7 triliun Rupiah (RM1,974,826,425) setahun.

Rachmat bersama masyarakat tidak endahkannya kerana mereka lebih bimbang dengan gejala remaja bebas minum arak selepas sekolah sehingga mencetuskan masalah sosial seperti seks rambang, vandalisme dan pergaduhan.

Kes ini mirip tindakan pihak berkuasa Kerala, negeri di barat daya India, dalam usaha memerangi gejala arak.

Apa yang menarik ialah, dengan lebih separuh daripada hampir 34 juta penduduknya beragama Hindu dan dengan jualan arak yang memberi hasil banyak kepada kerajaan (cukai dan yuran berjumlah US$1b (RM3.2 b) pada 2012-2013) dan peniaga arak, kerajaan Kerala tetap bertegas mengharamkan penjualan arak.

Keputusannya menguatkuasakan pengharaman penjualan arak hujung tahun lalu bertolak daripada kesedarannya tentang kesan buruk kepada akhlak dan keselamatan rakyatnya sendiri yang sebahagian mereka sudah menjadi kaki botol.

Tentunya ia sedar sekiranya tidak disekat secepat mungkin, gejala minuman arak di negeri itu akan menjadi barah yang merosakkan masyarakatnya dengan lebih parah.

Pada 1 April lalu, Singapura menguatkuasakan undang-undang mengehadkan peminuman arak di tempat awam hanya dari pukul 10.30 malam hingga 7 pagi setiap hari.

Pembelian arak dibenarkan sebelum 10.30 malam sahaja dan ia hendaklah dibawa pulang, tidak boleh diminum secara terbuka di jalanan bagi mengelakkan insiden mabuk dalam kalangan orang awam, sekali gus menjejaskan ketenteraman penduduk.

Berikutan tindakan dua negara ini, kita dengar ada pihak-pihak yang bertanya: “Malaysia bila lagi?”

Dua tiga orang daripada 14 mufti kita sudah pun memberi pandangan, di samping agamawan dan ahli politik.

Sehari selepas Singapura kuatkuasakan undang-undang berkaitan minuman keras itu, Mufti Perak, Tan Sri Dr Harussani Zakaria berkata, Malaysia sepatutnya telah melaksanakan undang-undang larangan meminum minuman keras di tempat awam lebih awal lagi.

“Jika Singapura, sebuah negara bukan Islam, boleh buat undang-undang seperti itu, kenapa negara kita tidak?” soalnya.

Menurutnya, pada masa ini orang Islam yang meminum minuman keras di Malaysia boleh didakwa tetapi tiada undang-undang bagi menghalang orang bukan Islam minum arak di tempat awam.

Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, yang terkenal dengan kelantangannya, juga bersetuju kerajaan mempercepatkan pelaksanaan undang-undang seperti itu.

“Saya rasa kerajaan perlu perketatkan undang-undang larangan minuman keras dan mengehadkan kawasan bagi orang bukan Islam meminum minuman keras."
Dalam keadaan sekarang, katanya, minuman keras boleh didapati dan diminum di mana sahaja.

Langkah mengawal penjualan arak ada asas yang kukuh.

Satu penyelidikan yang dijalankan di Britain baru-baru ini mendapati kesan arak kepada individu dan masyarakat lebih teruk daripada kesan dadah heroin.

Ini kerana ia digunakan secara meluas dan mempunyai kesan buruk bukan sahaja terhadap peminumnya tetapi juga mereka di sekeliling. Bila diminum berlebihan, arak atau alkohol akan merosakkan hampir kesemua organ badan.

Alkohol juga merupakan antara penyebab kadar kematian dan jenayah terus meningkat.

Di Malaysia pemberian lesen penjualan arak adalah di bawah seksyen 35 Akta Eksais 1976 oleh Lembaga Pelesenan.

Ia memberi kuasa kepada lembaga itu mengeluarkan lesen penjualan arak di rumah awam, kedai bir, kedai runcit dan pemborong.

Jadi, bila kita akan bergerak ke arah tindakan pengawalan jualan arak secara lebih berkesan?

0 Komentar untuk " Kawalan jualan arak, bila lagi? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ