Islam hormati kepelbagaian agama agama - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Islam hormati kepelbagaian agama agama

NEGARA kita adalah unik dan istimewa, mempunyai pelbagai bangsa seperti Melayu, Cina, India, Siam, dan pelbagai etnik seperti Orang Asli di Semenanjung dan pelbagai etnik di Sabah dan Sarawak seperti Dusun, Kadazan, Bidayuh, Bajau dan sebagainya.

Daripada pelbagai bangsa dan etnik ini juga, kita mempunyai pelbagai agama, fahaman, anutan seperti Islam, Kristian, Hindu, Buddha sehinggalah pelbagai anutan nenek moyang seperti di Sabah dan Sarawak. Malah adat istiadat sesuatu kaum dan etnik juga berbeza antara satu sama lain.

Kepelbagaian dan perbezaan yang unik ini bukanlah suatu yang pelik, tetapi sebenarnya kepelbagaian ini adalah suatu kekuatan kepada negara kita. Malah Islam juga tidak menafikan kewujudan pelbagai bangsa, etnik, dan suku puak dalam keberadaan manusia di dunia ini, sebagaimana firman ALLAH:

“Wahai umat manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu saling berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain” (al-Hujurat ayat 13)

Inilah dasar kemanusiaan yang telah digariskan oleh Islam dalam hubungan antara sesama manusia, iaitu untuk saling kenal-mengenal dan beramah mesra antara satu sama lain, dan bukannya saling membenci, provokasi dan menyebarkan rasa tidak puas hati antara satu sama lain.

Hakikatnya, kemanusiaan kita ini adalah daripada keturunan yang sama iaitu dari keturunan Nabi Adam as yang berasal daripada tanah, sebagaimana sabda Rasulullah SAW: “Kamu semua adalah daripada Adam dan Adam diciptakan daripada tanah”. (Hadith Sahih Riwayat Imam Ahmad dan Abu Daud).

Justeru sebagai orang Islam, wajib berbuat kebaikan kepada manusia yang lain walaupun bukan beragama Islam sebagaimana firman ALLAH:

 “ALLAH tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya ALLAH mengasihi orang-orang yang berlaku adil”. (Surah al-Mumtahanah, ayat 8).

Malah ayat ini jelas menyatakan tentang kepentingan berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang bukan Islam yang tidak memerangi agama Islam, bukannya dengan membenci, melakukan khianat dan berbuat zalim kepada mereka disebabkan perbezaan agama.

Malah jika kita melihat kepada sejarah perkembangan Islam terutamanya perkembangan Islam di Nusantara ini, kita akan dapati bahawa Islam berkembang dengan pesatnya disebabkan akhlak-akhlak yang terpuji yang ditunjukkan oleh pendakwah-pendakwah Islam yang datang ke Nusantara ini.

Malah, inilah sebenarnya antara tujuan Nabi SAW diutuskan sebagai Rasulullah atau utusan ALLAH, sebagaimana hadis yang dinilai sahih oleh al-Haithami dan al-Albani: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan-kemuliaan akhlak”.

Inilah yang perlu ditunjukkan oleh orang-orang Islam kepada mereka yang bukan beragama Islam, agar mereka tidak melihat Islam sebagai agama yang buruk disebabkan akhlak buruk orang-orang Islam sendiri.

Lebih-lebih lagi dalam dunia sekarang yang dilanda gejala Islamofobia disebabkan apa yang dilakukan oleh orang Islam sendiri seperti isu Islamic State (IS) dan sebagainya.

Keunikan dan keistimewaan dalam kepelbagaian bangsa, agama, dan adat inilah yang patut kita jaga dan pelihara agar negara terus kekal aman dan sejahtera.

Namun, dalam hubungan antara orang-orang Islam dan bukan Islam ini juga, ada batasan yang perlu dijaga dan diberi perhatian, sebagaimana sambungan ayat ke lapan dalam Surah al-Mumtahanah::

 “Sesungguhnya ALLAH hanyalah melarang kamu daripada menjadikan teman rapat orang-orang yang memerangi kamu kerana agama (kamu), dan mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu, serta membantu (orang lain) untuk mengusir kamu.

Dan (ingatlah), sesiapa yang menjadikan mereka teman rapat, maka mereka itulah orang-orang yang zalim” (al-Mumtahanah: 9).

 Ayat ini menjelaskan sekiranya orang bukan Islam tidak menghormati orang Islam berkenaan agama bahkan sanggup menzalimi orang-orang Islam maka barulah dibenarkan bagi orang Islam untuk bangun dan bangkit menentang mereka yang berlaku zalim tadi.

Dalam keadaan ini juga, tiada lagi istilah “zimmi” atau terpelihara jaminan keamanan mereka sebagai orang bukan Islam yang berada dalam negara Islam.

Inilah dasar-dasar Islam yang perlu menjadi pegangan kepada umat Islam di negara ini. Asas-asas ini jugalah yang mendasari Perlembagaan Persekutuan yang mencerakinkan dan menjelaskan secara tuntas hak dan tanggungjawab setiap warga tanpa mengira agama, kaum mahupun latar-belakang.

Jika ini difahami dan dihormati oleh setiap warga, barulah unsur-unsur yang boleh mencetuskan ketidakstabilan dan menggugat ketenteraman dapat dielakkan.

* Penulis Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

0 Komentar untuk " Islam hormati kepelbagaian agama agama "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ