Hantaran kahwin mahal? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Hantaran kahwin mahal?

PERIHAL hantaran perkahwinan yang mahal ini sebenarnya isu klise yang berbolak-balik sejak zaman pasca moden.

Meski pun klise tetapi ia isu sejagat yang relevan dibincangkan kerana saban hari ada perkahwinan bah kan setiap individu bujang pasti ingin berkahwin.

Dalam adat perkahwinan Islam di Malaysia (khususnya Melayu) dan tidak menolak kebarangkalian bangsa lain; terdapat dua jenis hantaran iaitu mas kahwin dan hantaran perkahwinan.

Mas Kahwin adalah mahar. Dan jumlah mahar disebut semasa akad nikah. Ia merupakan bayaran wajib daripada lelaki kepada pengantin perempuan dan amaunnya telah ditetapkan oleh jabatan agama Islam peringkat negeri. Bagaimanapun pihak lelaki bebas memberikan sebarang amaun yang dikehendakinya buat bakal isteri.

Wang mahar ini menjadi hak mutlak isteri dan terpulang kepada si isteri untuk memperuntukkan perkara apa.

Wang hantaran perkahwinan pula adalah wang hadiah daripada pihak lelaki kepada pihak perempuan.

Ia lebih kepada membudayakan adat resam dan bukan kewajipan buat si lelaki untuk membayarnya. Tiada jumlah tetap dan mutlak untuk menentukan nilai hantaran perkahwinan.

Ia sebenarnya tergantung kepada perbincangan kedua-dua belah pihak keluarga lelaki dan perempuan selepas kata sepakat mengenai perkahwinan dipersetujui. Kebiasaannya wang hantaran dibincangkan semasa rombongan pihak lelaki datang melamar, merisik atau bertunang.

Wang hantaran ini juga disebut sebagai wang pemberian bagi membantu pihak perempuan meringankan beban mengeluarkan modal belanja kenduri dan sebagainya untuk hari bahagia pasangan pengantin nanti.

Seakan suatu kemestian

Orang dulu-dulu, untuk tidak menimbulkan sebarang masalah mahu pun pertikaian bersabit wang hantaran, ungkit-mengungkit atau berasa tidak puas hati di belakang hari, mereka biasanya memasukkan sekali nilai hantaran dalam jumlah mahar. Maka ia menjadi hak mutlak pengantin perempuan dan terpulang kepada si perempuan, sama ada mahu memperuntukkan wang tersebut untuk belanja kahwin atau tidak.
Hanya selepas masyarakat menempa arus kemodenan, wang hadiah ini terpisah daripada mahar dan menjadi satu elemen perkahwinan yang baharu.

Terdapat kekeliruan dalam sentimen masyarakat masa kini di mana jumlah wang hantaran dinilai seakan suatu kemestian dalam sesebuah perkahwinan. Ada pula yang menganggap ia harga diri dan semakin tinggi nilai wang hantaran semakin gah serta tinggilah martabat pengantin di mata masyarakat.

Perkara sebeginilah yang membawa kepada permasalahan kepada bakal pengantin sehingga ada yang takut menghantar rombongan meminang.

Begitu pun, peningkatan kos sara hidup masa kini khususnya bagi mereka yang tinggal di bandar wajar diberikan perhatian sebagai suatu faktor kenaikan nilai wang hantaran yang relevan. Wang ini bertujuan membantu kos makan minum dan persiapan majlis berdasarkan harga semasa. Bukan semata-mata mahu tunjuk gah.

Apa pun, sama-samalah mengukur baju di badan sendiri. Jangan sampai pinjam-meminjam sehingga anak masuk darjah satu pun hutang kahwin belum selesai! Perkara ini akan menjadi isu dan pergaduhan yang membawa kepada keberantakan rumah tangga.

Sebab itulah pentingnya mengadakan rundingan antara kedua-dua keluarga untuk saling meringankan beban demi membantu menyatukan dua hati dalam sebuah mahligai bernama perkahwinan.

Berkahwin kerana ALLAH SWT

Bagi wanita yang bakal bergelar isteri, pendapat kami pula nikahilah seorang lelaki itu kerana keimanannya. Bukan kerana harga yang dia laburkan bagi membuktikan kelas layanannya kepada anda.

“Bagi hantaran mahal baru lelaki rasa mencabar dan hargai kita!”

Itu pendapat serong. Boleh jadi tiris-miris. Jika seseorang lelaki itu menikahi anda kerana ALLAH SWT dan sekiranya dia tahu bahawa melayan seorang isteri dengan baik itu termasuk dalam amal soleh yang dituntut, pasti dia akan melayan anda selayaknya.

Anda perlu melihat tahap kestabilan kewangannya. Tidak menjadi masalah sekiranya bakal suami anda seorang yang mampu tetapi jika sebaliknya, apa guna menuntut wang hantaran yang tinggi sehingga menjejaskan kewangannya selepas kahwin? Tepuk dada tanya selera.

0 Komentar untuk " Hantaran kahwin mahal? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ