Yaman dicemari tangan kotor, hilang perikemanusiaan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Yaman dicemari tangan kotor, hilang perikemanusiaan

Ketika Baginda SAW berjuang menegakkan kalimah Allah SWT, Baginda bertemu dengan segenap lapisan masyarakat, dekat dan jauh. Namun, apabila Baginda menelusuri lereng-lereng gunung di Yaman, Baginda berasakan akan kemudahan berdakwah di negeri Yaman. Ini terbukti apabila pembukaan negeri Yaman disempurnakan tanpa berlaku pertumpahan darah. Begitu juga apabila delegasi daripada Yaman datang untuk bertemu Baginda SAW di Madinah, Baginda bersabda: "Telah datang saudara daripada Yaman yang mempunyai hati yang lembut serta baik akhlaknya. Keimanan adalah dari Yaman dan ilmu dan hikmat juga datang dari sana." (Riwayat Bukhari) Muslim pula meriwayatkan, negeri Yaman dipenuhi ilmu dan iman. Pada zaman keagungan Islam, bumi Hijaz umpama seekor burung di mana Syria dan Yaman adalah dua sayap yang terbang megah. Apabila membincangkan mengenai jihad dan kelebihannya, Yaman adalah perbandingan Baginda kepada sahabat. Mereka menjadi asas kepada bangsa Arab dengan kemanisan kata-kata, pengajaran serta gedung ilmu pengetahuan. Baginda SAW pernah berdoa untuk penduduk Yaman dengan limpahan keberkatan dan menyatakan ia adalah bumi keimanan serta bumi yang akan memberi pertolongan kepada Islam pada akhir zaman. Hadis daripada Abu Umamah Al-Bahili mengatakan, Baginda SAW bersabda: "Allah SWT menghadapkan aku ke arah bumi Syria dan membelakangkan aku dengan bumi Yaman lalu berkata, wahai Muhammad, negeri di hadapanmu adalah ghanimah dan di belakangmu adalah penolongnya." (Riwayat At Tabrani). Utama kepentingan puak Keberkatan penduduk Yaman telah diceritakan oleh Ibnu Umar dalam sebuah hadis di mana Baginda SAW berdoa untuk Syria dan Yaman: "Ya, Allah, berkatilah bagi kamu negeri Syria dan Yaman." (Riwayat Bukhari) Negeri Yaman dilimpahi ilmu dan ulama terbilang serta insan soleh. Namun, pada hari ini Yaman yang pernah didoakan Baginda SAW telah dicemari oleh tangan-tangan yang kotor demi kepentingan puak dan kumpulan tertentu. Mereka tidak mengindahkan perjanjian dan hilang perikemanusiaan. Jiwa yang tidak berdosa menjadi pertaruhan sehingga darah ulama ditumpahkan bagi mencapai cita-cita buruk mereka. Rumah kediaman, sekolah, masjid dan dewan orang ramai menjadi sasaran kemusnahan yang dahsyat. Ada yang membuat kesimpulan golongan pelampau akan tumbuh dengan pesatnya di sana. Suara mereka lantang kedengaran mengancam semua kawasan seluruhnya dengan ancaman perang terhadap dunia Islam lain. Sesungguhnya mereka dan keadaan yang berlaku sudah dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman yang bermaksud: "Mereka menyukai apa yang menyusahkan kamu. Telah nyata kebencian dari mulut mereka dan apa yang disembunyikan oleh hati mereka adalah lebih dahsyat." (Surah Ali-Imran, ayat 118) Sudah menjadi tanggungjawab setiap Muslim bagi memadamkan api fitnah yang akan merebak jauh ke tanah suci umat Islam seterusnya merugikan umat Islam sendiri. Ketaatan kepada Allah SWT amat wajar untuk memadamkan api itu dan meredakan semula perpecahan umat kini. Hilang rasa takut Mengembalikan ajaran dan hukum Allah SWT pada tempatnya sudah menjadi kewajipan demi keselamatan semua kaum muslimin. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Taatlah kepada Allah SWT dan Rasul-Nya dan jangan kamu bertelagah. Jika diteruskan, kamu akan kehilangan rasa takut daripada pihak musuh. Bersabarlah, sesungguhnya Allah akan bersama orang yang sabar." (Surah al-Anfal, ayat 46) Dengan tercetusnya pertembungan ini, maka pihak musuh sudah mula berehat selepas sekian lama berusaha mencipta keadaan ini. Bagi mereka yang berhadapan dengan situasi ini, Allah SWT tidak menyuruh mereka berdiam diri melihat kemusnahan. Allah SWT tetap memberi peluang untuk mempertahankan kehormatan mereka. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesiapa yang melanggar kamu dengan perseteruan, maka langgarlah mereka sebagaimana mereka perlakukan terhadap kamu." (Surah al-Baqarah, ayat 194) Begitu juga bagi umat Islam yang lain, mereka diwajibkan untuk mengamankan umat Islam kerana ia adalah amanah daripada Allah SWT yang telah dinyatakan dalam firman-Nya yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, janganlah kamu khianat terhadap Allah dan rasul-Nya dan janganlah kamu khianat amanah ini sedangkan kamu mengetahui." (Surah al-Anfal, ayat 27) Wajib dibantu Seruan kepada orang yang beriman adalah nilaian Allah SWT kepada pokok keimanan kita sama ada sudah goyang ataupun masih kukuh. Seruan ulama hari ini mestilah tegas terutama terhadap fahaman, akidah sesat dan menyesatkan. Tiada yang lebih zalim daripada mereka yang menyesatkan orang terdahulu daripada Muhajirin dan Ansar yang dijanjikan kebaikan oleh Allah SWT kepada mereka. Ini disebabkan usaha Muhajirin dan Ansar memartabatkan Islam serta mengukuhkan asas agama ini. Begitu juga mereka yang mengkafirkan sahabat serta isteri Baginda SAW yang dikahwini mengikut kehendak Allah SWT. Jelas mereka yang dizalimi dalam negara sendiri wajib dibantu walaupun hanya dengan sekalung doa. Sesungguhnya dengan pengurusan dan ketentuan Allah SWT serta keadilannya, akan mengembalikan bumi ini kepada kebenaran dan mereka yang membantu agamanya. Kebatilan dan kerosakan akan kembali kepada tengkuk musuh Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah pasti akan membantu mereka yang menolong agamanya dan Allah Maha Perkasa. Mereka adalah orang yang Kami teguhkan kedudukan mereka di bumi dengan mendirikan sembahyang, menunaikan zakat serta menyuruh ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran." (Surah al-Haj, ayat 40-41) Inilah syarat mereka yang berhak mendapat pertolongan Allah SWT jika terlaksana apa yang difirmankan oleh Allah SWT. Jika pelaksanaan itu tidak kesampaian, maka umat Islam akan terus diuji sehingga terlaksana perintah Allah SWT. Yaman adalah bumi yang didoakan dan dijanjikan keberkatan oleh Allah SWT, bahkan Yaman negeri yang terawal pengislamannya berlaku tanpa pertumpahan darah. Mereka datang selepasnya dengan delegasi keamanan bagi menyatakan taat setia kepada Baginda SAW. Hari ini datang ketentuan daripada Allah SWT dengan kumpulan dan fahaman yang menggugat keamanan umat Islam di Yaman. Akhirnya, pertolongan Allah SWT akan tetap datang selepas lengkapnya syarat pertolongan yang ditetapkan Allah SWT. Dunia Islam hari ini diselubungi dengan penyakit cintakan dunia dan bencikan kematian seperti mana disifatkan Baginda SAW. Allah SWT akan terus menzahirkan mereka yang berjuang ikhlas untuk agamanya dan umat Islam mestilah bijak mencari serta ikhlas.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/48486
0 Komentar untuk " Yaman dicemari tangan kotor, hilang perikemanusiaan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ