Balas pantun M&N berterusan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Balas pantun M&N berterusan

*WALAUpun dikritik bertalu-talu oleh Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap menghormati bekas perdana menteri itu. Dalam temu ramah dengan TV3 Khamis lalu Najib berkata beliau meneliti setiap kritikan Tun M.

Menerusi program Soal Jawab Edisi Khas di stesen swasta itu PM telah menjelaskan beberapa perkara yang sehari dua ini dibangkitkan oleh Tun, termasuk isu Altantuya, 1MDB dan banyak lagi.

Bagi sesetengah pihak jawapan ikhlas Najib itu telah menjelaskan semua perkara yang ditanya oleh Tun M. Tetapi bagi sesetengah pihak lain pula, jawapan PM tidak menjelaskan sebaliknya mengeruhkan lagi keadaan.

Pendek kata dalam kes Tun M – Najib ini perkara tidak akan selesai walau apa pun jawapan pihak yang ditanya. Umum sekarang ingin melihat berapa lama lagi siri berbalas pantun dua tokoh ini akan dilanjutkan.

*TIDAK kira berapa lama lagi akan dilanjutkan, siri berbalas pantun M&N ini tidak ada menang-kalah. Masing-masing ada sahaja hujah yang dianggap paling munasabah, tepat lagi relevan.

Ada pun yang jelas kalah setakat ini ialah orang Melayu. Nampak sangat apa yang dihujahkan menunjukkan kita tidak bijak mentadbir, tidak tahu menguruskan duit, tamak, bodoh, dan kaki bertekak.

Selain orang Melayu, satu lagi yang akan kalah ialah Umno sendiri. Tun M kata kalau Najib tidak berundur ada kemungkinan parti terbesar Melayu itu akan tewas pada PRU akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula berkata, sekiranya Tun terus mengkritik pentadbiran Najib,  boleh membuatkan Umno kalah dalam PRU14.
Maka ada yang mencadangkan M&N lupakan sengketa demi kesinambungan Umno dan demi penerusan ketuanan Melayu.

*LAIN dirancang, lain yang jadi. Demikian tanggapan sebahagian besar rakyat terhadap cukai barangan dan perkhidmatan @ GST yang dilaksanakan sejak ‘April Fools’ kira-kira dua minggu lalu.

Sepanjang kempen sebelum pelaksanaannya kerajaan menguar-uarkan cukai ini tidak akan memberi kesan kepada rakyat berpendapatan rendah. Tetapi apa yang terjadi sekarang orang ramai tanpa kedudukan – termasuk pengemis di kaki lima – terkena tempias dan tekanan GST.
Dulu kerajaan menegaskan semuanya sudah diatur dengan tepat lagi sistematik untuk menguatkuasakan GST. Ternyata baru beberapa hari dikuatkuasakan, banyak isu tidak beres.
Antara kekeliruan yang menyakitkan hati ialah cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang terus dikenakan, isu top up prabayar handphone. Ada barang yang sepatutnya turun harga tetapi tidak turun. Ada pula barang yang sepatutnya tidak naik tetapi terus naik.

Pendek kata setelah dicanangkan begitu gah sebagai sistem cukai paling baik, ternyata GST masih banyak yang mengelirukan.

*SALAH satu pihak yang kesal dan mengeluh dengan GST ialah Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs). Presidennya Datuk Azih Muda menggesa kerajaan memantau pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan lebih agresif.

Katanya, pihak penguat kuasa perlu bertindak lebih tegas bagi memastikan nasib golongan yang berpendapatan rendah terus terbela. “Kini seramai 1.6 juta ahli kami menghadapi tekanan ekoran sesetengah pihak mengambil kesempatan dengan menjadikan GST sebagai alasan menaikkan harga.”

Dalam pada itu Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mengesahkan pendakwaan akan dilakukan terhadap beberapa peniaga yang mengenakan GST secara tidak sah.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Khazali Ahmad berkata, setakat ini, kertas siasatan telah dibuka berdasarkan aduan yang dikemukakan pengguna di seluruh negara.

Ada beribu-ribu aduan diterima daripada orang ramai mengenai GST. Harap-harap semua aduan itu disiasat, supaya banyak peniaga akan didakwa, bukan hanya seorang dua.

*AKHIR kalam, Dewan Rakyat diberitahu 1,613 rakyat Malaysia telah dipenjarakan di luar negara atas pelbagai kesalahan sehingga bulan Februari tahun ini. Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, tiga negara yang mempunyai jumlah tertinggi rakyat Malaysia yang ditahan atas pelbagai kesalahan ialah Singapura seramai 698 orang, China (292) dan Thailand (210).

Kesalahan yang dilakukan termasuklah penyeludupan dadah (867), pemalsuan kad kredit (162), mencuri (119), jenayah komersial (78), menipu (65), kesalahan imigresen (19), penyeludupan manusia (12) dan lain-lain kesalahan (291). Hebat juga orang kita!

TOK PERAK

0 Komentar untuk " Balas pantun M&N berterusan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ