Apa ada dengan waktu? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Apa ada dengan waktu?

SEGALA yang terancang tak semestinya terpateri dengan ketentuan – dalam hidup selalunya, Sabtu lepas semestinya. Jika saya lurut kembali pelan penulisan yang dirangka atas buku conteng, saya ada pelbagai isu yang harus ditulis (macam bagus-bagus saja).

Bermula dari bagaimana untuk memperkasa wanita kembali bekerja, merangka sistem pendidikan yang lebih holistik, merapatkan jurang pendapatan dalam negara dan menyindir karenah politik semasa.

Tapi tidak berkesudahan. Ketika masa yang diberi oleh ketua pengarang hampir tamat, draf saya masih di tahap infantil.

Lalu minggu ini saya pohon diberi izin untuk mengelus sedikit melankoli di hati. Tentang hidup – saya tidak akan boleh menulis dengan mudah kerana saya tidak faham keseluruhannya. Tapi ada satu perkara yang saya tahu: ia singkat, efemeral, kadang-kadang suntuk.

Petang Sabtu lalu, saya ketepikan dunia kerana idea datang bertalu-talu. Kalau lambat ditaip ia bakal jadi air atas daun keladi, datang tak diundang perginya cepat sekali. Tapi lewat jam 6 petang, tumpuan saya diganggu mesej yang berdentum-dentum masuk melalui WhatsApp dan tiga panggilan tidak terjawab yang mampir saat saya mengetepikan dunia. Berita tentang kemalangan helikopter maut di Semenyih menggugah segala yang tenang.

Ini bukan eulogi untuk Tan Sri Dr Jamaluddin Jarjis atau Datuk Seri Azlin Alias; ini eulogi untuk waktu-waktu yang terlalu deras berlalu, yang tak pernah menunggu, yang bikin saya terganggu. Pemergian mereka berdua sudah tersurat, mereka pergi selepas meninggalkan kesan dalam hidup saya – sama seperti ayah 15 tahun yang lalu, sama seperti Abang Remy yang tewas di tangan kanser Februari lepas.

Kematian, selain dari memberi kesedaran ia sering menanya kembali tentang apa yang kita cari, tentang prioriti. Kematian juga menempelak kita yang leka dengan urusan dunia bahawa segalanya tak pernah kekal, segalanya transitori semata. Jika ada yang perlu saya betul-betul belajar tentang hidup dan mati, saya sudah tidak punya banyak waktu, saya harus mendepankan apa yang lebih perlu.

Tetapi untuk hari ini, saya ingin terus tinggal dalam melankoli ini, bila saya keluar kelak saya mahu jadi orang yang berkira dengan waktu, orang yang tidak betah membazir masa atas nama cita-cita.

Pendek kata, saya enggan terus-terusan lelah mengejar sementara. Anda bagaimana?

Walau apa yang saya tulis minggu ini mungkin prosais semata untuk si bijak-pandai, tapi prosais ini mengingatkan setiap kita bahawa giliran anda dan saya bakal tiba bila-bila masa kerana ia sebahagian daripada riwayat manusia. Bila waktu itu tiba untuk kita atau orang yang kita sayang, kudrat insani tak terdaya melawan ketentuan Ilahi.

Kesuraman ini, pembaca budiman, punyai puisi yang tersendiri. Tapi tiada puisi yang boleh buat saya tersenyum bila para karyawan menulis tentang kematian. Jalaluddin Al-Rumi hanya menambah sayu, manakala Dylan Thomas pula hanya bercakap tentang melawan apa yang pasti. Tapi ada seorang penyair yang menulis tentang kematian tapi masih mampu buat saya tersenyum: Chairil Anwar. Saya pinjamkan di bawah keramat kata-kata beliau tentang kematian.


Lihatlah, kawan, mataku masih berkobar
Menyala-nyala
Walau tubuhku dihempas badai waktu
Tapi ruhku tetap menderu
Walau terik mentari menguras sumur keringatku
Tapi aku masih punya stok lautan semangat
Yang sampai kapan pun takkan habis tertelan suhu
Sehingga jiwaku takkan gersang dan beku
Walau hujan mengguyur tubuhku
Aku takkan menggigil
Karena kobaran semangat terus membakar tekadku
Tolong sampaikan pada dunia
Mataku masih belum lelah
Menatap dan menjemput mimpi-mimpiku
Dan akan kujemput kematian dengan senyuman
Dan karya dalam genggaman

Dan bila tiba giliran saya untuk pergi, tolong sampaikan pada dunia, saya ini tak punya melainkan karya-karya saya semata. Bijaklah mengawal waktu yang cemburu, jangan betah mendukung kesal dalam siklus kehidupan.

*Elviza seorang penulis di metropolis Kuala Lumpur.

0 Komentar untuk " Apa ada dengan waktu? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ