Agama: Minta dengan niat ikhlas pasti dimakmulkan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agama: Minta dengan niat ikhlas pasti dimakmulkan


Kisah Nabi Zakaria yang dikurniakan anak hasil kesungguhan Baginda berdoa tanpa jemu. Permohonannya dimakbulkan bukti kekuasaan Ilahi yang tiada had. Ikuti kupasan lanjut disampaikan oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman dalam rancangan Ibrah IKIMfm.

Komunikasi yang baik adalah satu perkara utama dalam memastikan tujuan dan matlamat perbicaraan itu sampai kepada penerima. Begitulah peranan komunikasi yang ditunjukkan oleh Nabi Zakaria yang dibincangkan pada minggu lalu kepada Allah Taala.

Masih ingatkah lagi kita tatkala permintaan Nabi Zakaria yang ingin dikurniakan zuriat sebagai penyebab meneruskan perjuangan Baginda untuk berdakwah kepada bangsanya sendiri. Ungkapan itu dihuraikan oleh Ustaz Muhammad Syaari Ab Rahman dalam rancangan Ibrah minggu lalu.

Nabi Zakaria memilih meletakkan kelemahan diri sebagai hamba yang tidak mampu melawan kehendak Allah yang Maha Esa. Tidak ketinggalan, bagaimana Baginda mengungkapkan mengenai perihal sebagai hamba yang tidak jemu, terus berdoa walaupun berasakan amat 'pelik' sekiranya permintaannya diperkenankan Allah.

Selain daripada itu, objektif permintaan Nabi Zakaria kepada Allah itu mempunyai satu matlamat jelas iaitu untuk mendapatkan zuriat yang baik. Begitulah kisah Nabi Zakaria yang dibicarakan.

Doa sebagai senjata Mukmin

Perkara utama yang perlu diketahui ialah bagaimana doa itu digunakan sebagai senjata, lalu ungkapan doa itu mempunyai ciri-ciri yang dijelaskan pada minggu lalu.

Firman Allah dalam Surah al-Anbiyaa ayat 89 yang bermaksud: "Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Zakaria, ketika dia merayu kepada Tuhannya dengan berkata: Wahai Tuhanku, janganlah Engkau biarkan daku seorang diri (dengan tidak meninggalkan zuriat), dan Engkaulah jua sebaik-baik mewarisi."

Dalam ayat lain, Surah Ali Imran ayat 38 menceritakan perihal bagaimana Nabi Zakaria merayu kepada Allah Taala untuk mendapatkan zuriat.

Firman Allah Taala, "Ketika itu Nabi Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya: "Wahai Tuhanku, kurniakanlah kepadaku dari sisi-Mu zuriat keturunan yang baik, sesungguhnya Engkau sentiasa mendengar (menerima) doa permohonan."

Allah menjawab permintaan Nabi Zakaria itu dengan berkata: "Maka kami perkenankan doanya, dan kami kurniakan kepadanya (anak) Yahya, dan kami perelokkan keadaan isterinya yang mandul, (untuk melahirkan anak) baginya. Kami limpahkan pelbagai ihsan kepada Rasul-Rasul itu ialah kerana sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam melakukan kebaikan, dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut, dan mereka pula sentiasa khusyuk (taat) kepada kami." (Surah al-Anbiyaa ayat 90)

Ayat di atas memberi gambaran bagaimana cara Nabi Zakaria menunjukkan kesungguhannya dalam merayu dan mengharapkan agar permintaannya dimakbulkan oleh Allah. Lalu, Nabi Zakaria pun terkejut apabila doanya dimakbulkan oleh Allah. Namun Baginda percaya bahawa Allah itu Maha Hidup.

Kemudian, Allah sendiri yang memberi nama anak yang bakal lahir itu Yahya bagi menunjukkan sifat Allah itu yang Maha Hidup.

Hal ini dijelaskan pada ayat di dalam Surah Ali Imran ayat 39 yang bermaksud, "Lalu ia diseru oleh malaikat sedang dia berdiri sembahyang di mihrab dengan katanya, 'Bahawasanya Allah memberi khabar yang menggembirakanmu, dengan mengurniakanmu seorang anak lelaki bernama Yahya, yang akan beriman kepada kalimah dari Allah, dan akan menjadi ketua, dan juga akan menahan diri daripada berkahwin, dan akan menjadi seorang Nabi daripada orang-orang yang salih."

Ulama mengatakan bahawa nama Yahya adalah kali pertama digunakan oleh Nabi Yahya, anak kepada Nabi Zakaria dalam peristiwa ini.

Lalu, Nabi Zakaria berkata, "Wahai Tuhanku, bagaimanakah aku akan beroleh seorang anak, pada hal sebenarnya aku telah tua dan isteriku pula mandul? Allah berfirman, "Demikianlah keadaannya, Allah melakukan apa yang dikehendaki-Nya." (Surah Ali Imran ayat 40)

Kekuasaan Ilahi tiada had

Allah Taala memberi jawapan yang mudah kepada Nabi Zakaria menunjukkan bahawa kekuasaan Allah itu tiada had. Allah berhak menentukan sesuatu yang di luar kotak pemikiran sebenar kita.

Daripada peristiwa ini, kita memahami bahawa setiap permintaan dan permohonan yang ingin dilakukan hendaklah benar-benar dengan niat yang ikhlas. Allah akan menjawab setiap permintaan jika kita memahami konsep jawapan Ilahi yang sebenar.

Nabi Zakaria menjadi contoh kerana sering kali dibibirnya menyebut perkataan 'Allah', dan permohonannya dikabulkan kerana amalan yang dilaksanakan itu dalam mentaati perintah-Nya serta diperkenankan.

Fokus kepada usaha yang dilakukan oleh Nabi Zakaria ialah sejauhmana Baginda terlalu menitikberatkan soal komunikasi dan adab berdoa kepada Allah bagi merayu mendapatkan sesuatu.

Justeru, sebagai hamba yang mengakui banyak kesilapan dan kelemahan di dalam diri, Nabi Zakaria adalah contoh terbaik yang wajar diteladani bagi menanti jawapan Ilahi.

Penulis ialah Penyampai dan Penerbit Rancangan Radio IKIMfm

0 Komentar untuk " Agama: Minta dengan niat ikhlas pasti dimakmulkan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ