TNB labur RM30.8j beli 292 pikap - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

TNB labur RM30.8j beli 292 pikap

TENAGA Nasional Berhad (TNB) melaburkan RM30.8 juta untuk membiayai pembelian 292 unit Toyota Hilux untuk melancarkan komitmen syarikat bagi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

Pengurus Besar Kanan Perolehan dan Pengurusan Vendor, Bahagian Pembahagian, Mohd Akibi Ambak berkata, TNB sebagai syarikat utiliti elektrik terbesar negara dan syarikat tenaga terbesar di Asia Tenggara akan menerima kenderaan tersebut secara berperingkat menerusi UMW Toyota Motor.

Menurutnya, setakat ini TNB mempunyai lebih 4,000 kenderaan dan penambahan 292 Toyota Hilux dijangka meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan di seluruh negara.

“TNB menerima 100 unit Toyota Hilux yang bernilai RM10.9 juta dan selebihnya akan diterima September dan hujung tahun ini. Kenderaan ini akan membantu pekerja di Team 33KV dan unit meter serta pembaikan dan kerosakkan.

“TNB akan terus melabur untuk mendapatkan aset bernilai dan meningkatkan efisien pekerja kepada syarikat kami,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Toyota Hilux kepada TNB, di Serdang, semalam.

Akibi berkata, setakat ini TNB mempunyai lebih 450 pikap daripada pelbagai jenama di seluruh negara.

“Aktiviti teras TNB adalah dalam penjanaan, penyampaian dan pengedaran tenaga elektrik. Tuntutan operasi perniagaan harian kami amat bergantung kepada kenderaan yang tahan lasak,” katanya.

Tambahnya modal perbelanjaan TNB lebih RM50 juta pada tahun ini untuk pembelian kenderaan beberapa jenama terpilih.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Kumpulan Operasi dan Sokongan UMW Toyota Motor, Mohd Shamsor Mohd Zain berkata, syarikat yakin Hilux akan memenuhi kualiti dan mencapai standard yang dikehendaki TNB.

Mohd Shamsor berkata, UMW Motor memberikan sokongan dan berusaha untuk memenuhi keperluan TNB terutama dari segi servis selepas jualan.

“Hilux merupakan salah sebuah trak pikap popular. Sejak 2005 di Malaysia, lebih 180,000 unit terjual dan menjadikan ia popular dan masih menerajui segmen Pikap dengan penguasaan pasaran hampir 50 peratus.

“Syarikat menjangkakan Hilux kekal sebagai peneraju segmen Pikap di negara ini dengan menyasarkan jualan sebanyak 22,000 sehingga 23,000 pada tahun ini,” katanya.
Mohd Shamsor berkata, jangkaan tersebut juga akan dipacu oleh beberapa strategi pasaran yang akan dilaksanakan.

“Antaranya ialah pelancaran  kereta  model baharu Hilux yang dilancarkan pada Januari lepas dan terus melakukan penambahbaikan terhadap setiap produknya,” katanya.

0 Komentar untuk " TNB labur RM30.8j beli 292 pikap "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ