Amanahraya, Pos Malaysia jalin kerjasama - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Amanahraya, Pos Malaysia jalin kerjasama

AMANAH Raya Berhad (AmanahRaya) hari ini menjalin kerjasama dengan Pos Malaysia Berhad untuk menyediakan platform bagi memudahkan pelanggan melakukan urusan berkaitan pengurusan harta.
 
Pengerusi AmanahRaya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kerjasama strategik itu akan memudahkan pelanggan yang tinggal jauh dari cawangan AmanahRaya melaksanakan pentadbiran harta Pusaka dengan hanya mengunjungi cawangan Pos Malaysia.
 
"Kita cuma ada 19 cawangan di seluruh negara tetapi Pos Malaysia mempunyai 596 cawangan pejabat pos di semenanjung.
 
"Pejabat pos akan menerima borang permohonan daripada pelanggan untuk melantik AmanahRaya sebagai pentadbir harta pusaka simati.
 
"Kemudian ia akan dipanjangkan kepada cawangan AmanahRaya dan akan diproses dalam tempoh 14 hari bekerja, jadi pelanggan tidak perlu pergi jauh, hanya ke pejabat pos untuk berurusan," katanya pada Majlis Pelancaran Kerjasama Strategik Amanah Raya dan Pos Malaysia di Kuala Lumpur hari ini.
 
Reezal Merican berkata, bagi tujuan pendaftaran, yuran minimum hanya akan dikenakan sekali kepada pelanggan iaitu RM350.

Beliau berkata, individu bukan Islam juga dialukan-alukan untuk melantik AmanahRaya sebagai pentadbir harta pusaka.
 
"Pada masa ini, pelanggan kita terdiri daripada 80 peratus Muslim dan 20 peratus bukan Muslim.
 
"Kita menggalakkan orang ramai melantik pentadbir harta bagi membolehkan ia diuruskan secara yang betul apabila berlaku kematian," katanya.
 
Sementara itu, sejak 2000 hingga sekarang, wang menunggu untuk dituntut yang ditadbir oleh AmanahRaya mencecah RM206 juta.
 
"Bukan senang untuk uruskan harta kerana ada kes yang makan masa 18 tahun untuk menemui waris yang boleh menuntut harta si mati," katanya.

Pengerusi Pos Malaysia Tan Sri Mohd Khamil Jamil berkata pihaknya percaya kerjasama strategik itu akan memudahkan orang ramai melaksanakan tanggungjawab terhadap anggota keluarga dalam urusan pentadbiran harta pusaka.
 
"Diharapkan kerjasama ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak selain memberi peluang kepada kedua-dua agensi itu mempelbagaikan lagi capaian pelanggan dan memberi nilai tambah kepada perkhidmatan," katanya. - Bernama

0 Komentar untuk " Amanahraya, Pos Malaysia jalin kerjasama "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ