Teknologi hijau tingkat kualiti hidup, pacu ekonomi negara - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Teknologi hijau tingkat kualiti hidup, pacu ekonomi negara

Apabila sesebuah negara semakin pesat membangun, populasinya semakin meningkat. Ini menyebabkan kadar permintaan terhadap sesuatu keperluan adalah tinggi. Gaya hidup manusia yang mahukan kehidupan lebih baik seperti rumah, bekalan elektrik dan air, kereta dan lain-lain menyebabkan permintaan terhadap sumber semula jadi semakin meningkat.

Pengurusan sumber semula jadi yang tidak terancang seperti pembalakan tidak terkawal, penerokaan tanah secara berleluasa, pelepasan gas karbon dioksida ke atmosfera, pembuangan sisa pepejal dan sebagainya menyebabkan pencemaran. Jika pengurusan sumber semula jadi ini tidak diuruskan dengan baik, ia turut menjejaskan kualiti hidup manusia dan alam sekitar.

Justeru, masyarakat dunia kini menghadapi dua cabaran utama, iaitu isu perubahan iklim dan keselamatan tenaga. Kedua-dua isu ini harus ditangani secara kolektif dan efektif. Satu pendekatan yang kritis amatlah penting.

Berdasarkan keperluan ini, teknologi hijau menjadi portfolio Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, (KeTHHA) yang ditubuhkan pada 9 April 2009. Teknologi hijau mempunyai peranan strategik yang lebih jauh daripada setakat mencapai autonomi tenaga dan menangani perubahan cuaca.

Teknologi hijau turut membantu pembangunan masyarakat berilmu yang mendorong ke arah mempraktikkan tenaga lestari dan cara hidup lebih baik. Kita boleh hidup lebih lestari jika kita menjadi seorang yang lebih celik alam sekitar, belajar daripada alam semula jadi, hidup dengan lebih sederhana dan menjadi rakyat yang aktif dalam membangunkan alam sekitar.

Teknologi hijau adalah pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi, dan meminimumkan kesan negatif daripada aktiviti manusia.

Teknologi hijau merujuk produk, peralatan atau sistem yang memenuhi kriteria seperti meminimumkan degradasi kualiti persekitaran, mempunyai pembebasan gas rumah hijau yang rendah atau sifar, selamat untuk digunakan dan menyediakan persekitaran sihat dan lebih baik untuk semua hidupan, menjimatkan tenaga dan sumber asli dan menggalakkan sumber yang boleh diperbaharui.

Ia adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding dengan teknologi sedia ada. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kita menggunakan sumber-sumber seperti tenaga, air dan sebagainya secara minimum untuk menghasilkan sesuatu produk.

Dasar Teknologi Hijau

Dasar Teknologi Hijau Negara (DTHN) dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada Julai 2009 dan menekankan aspek pemacuan pertumbuhan ekonomi negara dan pembangunan mapan. Pembangunan mapan hendaklah memenuhi keperluan masyarakat masa kini tanpa mengabaikan keperluan generasi akan datang.

Ia adalah berasaskan empat tunggak iaitu tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Dari aspek tenaga, teknologi hijau mencari kaedah untuk mengurangkan penggunaan tenaga dan pada masa sama mempromosikan kecekapan guna tenaga. Dari aspek alam sekitar, kesan kepada alam sekitar dapat diminimumkan dan dipelihara.

Dari aspek ekonomi, teknologi hijau meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi. Dari segi sosial pula, kualiti hidup rakyat dapat dipertingkatkan.

Seperti kita semua sedia maklum, pemanasan global dikaitkan dengan kenaikan suhu dunia. Dunia dikatakan semakin hari semakin panas. Kenaikan elemen suhu di seluruh dunia ini berkait rapat dengan aktiviti manusia yang mengganggu keseimbangan sistem bumi khususnya sistem atmosfera.

Fenomena pemanasan global

Dari sudut imbangan haba, fenomena pemanasan global memberi makna wujudnya ketidakseimbangan dalam bajet haba. Input haba diterima oleh sistem bumi berlebihan berbanding outputnya. Justeru, kenaikan suhu pada semua skala sama ada mikro atau makro.

Mengikut Profesor James G Titus dari Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat: 'Terdapat peningkatan suhu dunia antara 0.4 hingga 0.5 darjah Celsius pada setiap lima tahun bermula pada tahun 1952. Dianggarkan antara tahun 1990 hingga 2025 suhu dunia akan meningkat antara 0.8 hingga 3.6 darjah Celsius.'

Pemanasan global terjadi melalui dua mekanisme penting iaitu melalui kesan rumah hijau dan juga penipisan lapisan ozon. Walaupun terdapat punca semulajadi, tetapi aktiviti manusia lebih banyak menyumbang terhadap kedua-dua mekanisme di atas. Kesan rumah hijau banyak disumbangkan oleh gas karbon dioksida.

Lantaran itu penekanan terhadap 'teknologi hijau' adalah alternatif tepat dalam menangani masalah kesan rumah hijau ini selaras dengan agenda utama kerajaan seluruh dunia pada masa kini yang memberi keutamaan kepada isu alam sekitar khususnya fenomena perubahan cuaca.

Kita sebagai penduduk dunia perlu bertanggungjawab untuk bersama-sama memainkan peranan dalam menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik.

Seperti yang kita tahu, teknologi hijau adalah aplikasi sains alam sekitar untuk memulihara sumber dan alam semula jadi bagi menangani impak negatif aktiviti manusia seperti pengeluaran asap hitam yang membahayakan oleh kilang, penggunaan bahan bakar kenderaan bermotor, pemusnahan alam semula jadi, pencemaran sungai, pelepasan karbon ke udara dan sebagainya. Teknologi hijau adalah teknologi rendah karbon dan lebih mesra alam berbanding teknologi sedia ada.

Untuk menggalakkan pembangunan aktiviti teknologi hijau, kerajaan telah menyediakan insentif berikut:

1) Dalam Bajet 2010 memperuntukkan RM1.5 billion sebagai pinjaman mudah kepada pengeluar serta pengguna Teknologi Hijau di seluruh Negara melalui Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS);

2) Pemilik bangunan yang memperoleh sijil Indeks Bangunan Hijau (GBI) mulai 24 Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014 diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan perbelanjaan modal tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan;

3) Pembeli rumah yang memperoleh sijil GBI daripada pemaju hartanah diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik; dan

4) Jumlah pengecualian adalah bersamaan dengan kos tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan. Pengecualian ini adalah layak bagi pembeli yang menyempurnakan perjanjian jual beli mulai 24 Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014.


Polis wanita bergambar bersama motosikal menggunakan teknologi hijau. - Foto hiasan

Manfaat teknologi hijau

Umumnya, teknologi hijau memfokuskan kepada empat kebaikan. Dari aspek tenaga, teknologi hijau diharapkan dapat membantu mencari ketidakbergantungan tenaga dan mempromosikan kecekapan tenaga negara. Teknologi hijau merangkumi sumber tenaga seperti angin, air, solar, hibrid dan lain-lain yang bersumberkan alam semula jadi.

Teknologi hijau terbukti lebih cekap kerana ia boleh menjana tenaga dalam pelbagai keadaan dengan kos murah, selamat dan mesra pengguna. Ini dapat dibuktikan melalui pengalaman dan amalan di negara maju yang telah membangunkan industri ini sejak sekian lama.

Teknologi hijau dapat membantu memulihara dan meminimumkan kesan buruk kepada alam sekitar. Pencemaran udara, air, bunyi dan sebagainya akan menjejaskan kualiti hidup rakyat jika dibiarkan berterusan. Apabila kita menggunakan teknologi hijau, kesan negatif terhadap alam sekitar adalah minimum. Ia dapat meningkatkan dan melindungi ekosistem dan kepelbagaian hidup, meningkatkan kualiti udara dan air, mengurangkan pembuangan bahan tercemar dan melindungi sumber semula jadi.

Dari aspek ekonomi, teknologi ini mampu meningkatkan pembangunan ekonomi negara melalui penggunaan teknologi dan meningkatkan kualiti hidup untuk semua kehidupan manusia dan biodiversiti umumnya.

Teknologi hijau mempunyai potensi besar dalam memacu pembangunan negara. Ia dapat membantu mengurangkan kos operasi, meningkatkan nilai aset dan keuntungan. Teknologi ini juga dapat meningkatkan produktiviti dan kepuasan pekerja. Industri yang menggunakan atau membangunkan produk berhubung teknologi hijau dapat menyediakan peluang pekerjaan untuk masyarakat tempatan. Prestasi kitar hidup ekonomi juga dapat dioptimumkan.

Kita boleh juga meneroka peluang mengeksport produk 'hijau' yang telah kita hasilkan. Pasaran untuk teknologi dan produk hijau amat besar, khususnya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui. Contohnya, industri solar photovoltaic telah dikenal pasti sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baru untuk Malaysia.

Dari segi komuniti, teknologi hijau dapat meningkatkan kualiti udara, terma dan bunyi persekitaran. Contoh, penggunaan kereta enjin hibrid. Hal ini dapat meningkatkan keselesaan dan kesihatan penghuni bandar, mengurangkan masalah infrastruktur tempatan dan meningkatkan kualiti hidup.

Antara bangunan hijau di Malaysia ialah Pusat Tenaga Malaysia (PTM), iaitu bangunan hijau berkonsepkan bangunan tenaga rendah dan mesra alam, selain dilengkapi sistem building integrated photovoltaic (BIPV) yang mesra alam kerana tidak mencemar selain mengurangkan penggunaan tenaga daripada sumber bahan api fosil.

Tonggak utama DTHN meliputi tenaga, alam sekitar, ekonomi dan sosial. Walau bagaimanapun, kesungguhan kerajaan menggerakkan pembangunan dan penggunaan teknologi hijau tidak akan menghasilkan impak yang diharapkan tanpa bantuan dan kesedaran rakyat.

Berikutan itu, dana sebanyak RM20 juta diperuntukkan kerajaan untuk memperhebat aktiviti kesedaran rakyat mengenai perlunya menghijaukan persekitaran dan mengamalkan budaya hidup yang mesra alam. Ini selaras dengan strategi pelaksanaan DTHN iaitu mempertingkat promosi dan kesedaran awam mengenai teknologi hijau dan kepenggunaannya.


SWM perkenal kaedah sistem kutipan baharu menggunakan jentera kompaktor yang mesra alam. - Foto hiasan

Langkah kerajaan memajukan teknologi hijau

Usaha ini juga sejajar dengan keputusan mewujudkan dana berjumlah RM1.5 bilion dalam memajukan pembekalan dan penggunaan teknologi hijau. Melalui dana ini, syarikat pengeluar dan pengguna teknologi hijau dapat membuat pinjaman untuk membiayai aktiviti yang menyokong pertumbuhan industri teknologi hijau. Pinjaman maksimum untuk syarikat pengeluar sehingga RM50 juta dan syarikat pengguna sehingga RM10 juta membuktikan bahawa kerajaan benar-benar komited memajukan industri ini.

Kerajaan turut menanggung dua peratus daripada jumlah kadar faedah pinjaman tersebut dengan nisbah jaminan 60 peratus dan institusi perbankan 40 peratus. Permohonan pinjaman pula boleh dibuat melalui Pusat Teknologi Hijau Negara. Skim ini yang berkuat kuasa pada 1 Januari 2010 memberikan faedah kepada lebih daripada 140 syarikat.

Beberapa langkah diambil memperkukuh struktur pelaksanaan dan pembangunan teknologi hijau serta mengantarabangsakan potensi penggunaannya.

Misalnya, dalam Bajet 2010 kerajaan menstrukturkan semula Pusat Tenaga Malaysia menjadi Pusat Teknologi Hijau Negara. Pusat ini bertanggungjawab sepenuhnya dalam menyediakan pelan tindakan pembangunan teknologi hijau dan berperanan sebagai agensi yang menetapkan piawaian dan mempromosi teknologi hijau.

Strategi mewujudkan persekitaran kondusif bagi pembangunan teknologi hijau juga penting. Strategi ini pastinya tidak berjaya dilaksanakan tanpa instrumen ekonomi yang inovatif. Strategi ini juga sukar dilaksanakan tanpa sebarang dana untuk menggalakkan usaha merancakkan promosi terutama untuk menarik pelaburan langsung asing dalam industri teknologi hijau dan merangsang pelaburan langsung domestik industri tempatan.

Strategi mewujudkan persekitaran kondusif ini penting dalam usaha menjadikan Malaysia pangkalan teknologi hijau serantau khususnya bagi tenaga yang boleh diperbaharui seperti teknologi solar fotovoltanik. Begitu juga galakan fiskal dan peruntukan bajet diperlukan untuk melaksanakan program latihan dan pendidikan bagi merangsang pembangunan modal insan dalam industri teknologi hijau.

Selain itu, dana juga diperlukan bagi menyediakan bantuan kewangan dan insentif untuk menggalakkan pelajar di institusi pengajian tinggi memilih bidang pengajian yang berkaitan dengan teknologi hijau.

Kejayaan DTHN turut dipengaruhi ketelusan dan kecekapan pentadbiran dan pengurusan pelaksanaan. Sehubungan itu, strategi membabitkan langkah memperkukuh rangka kerja pada peringkat institusi seperti kementerian, agensi, sektor swasta, dan pihak yang berkepentingan.

Untuk menjayakan strategi ini, kerajaan menubuhkan Majlis Teknologi Hijau yang bertujuan memastikan penyelarasan pada peringkat tertinggi bagi mengimplementasikan dasar yang cekap. Majlis ini dipengerusikan Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri secara bergilir-gilir. Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air pula memainkan peranan utama menyelaras dan mempermudah peranan semua pihak berkepentingan demi kejayaan pelaksanaan teknologi hijau.

Aplikasi Teknologi Hijau adalah selaras dengan konsep pembangunan mapan yang mana pembangunan dilaksanakan perlu memenuhi keperluan semasa tanpa menjejaskan keperluan generasi masa depan. Sehubungan itu, kita bertanggungjawab memastikan generasi akan datang dapat sekurang-kurangnya menikmati kualiti kehidupan yang kita peroleh sekarang atau kualiti lebih baik dari sekarang.

Penulis ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA Kelantan

0 Komentar untuk " Teknologi hijau tingkat kualiti hidup, pacu ekonomi negara "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ