Dakwah touch n go - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Dakwah touch n go

NABI Muhammad SAW bersabda: "Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat dan ceritakanlah mengenai Bani Israel tanpa perlu takut. Dan barang siapa berbohong ke atasku dengan sengaja maka bersiaplah dia mengambil tempatnya di neraka." (Riwayat Bukhari)

Begitulah dakwah! Dakwah menyeru umat manusia ke arah kebaikan dengan meninggalkan perkara yang mungkar. Dakwah perlu dilakukan berdasarkan maklumat sahih dan memenuhi tuntutan Islam. Elok lagi kiranya kegiatan berdakwah itu dilakukan  secara senyap-senyap tanpa menghebohkan kepada khalayak.

Namun, ada juga sesetengah individu atau pihak yang ingin berkongsi dengan orang ramai apa yang dilakukan. Semuanya bergantung kepada niat, jika hebahan itu untuk mendatangkan keuntungan ataupun memasyhurkan dirinya, kemungkinan besar ia menimbulkan perasaan riak, takabbur dan bermegah langsung tidak digalakkan.

Seorang pendakwah perlu memiliki ilmu yang sahih. Dia juga melalui proses pembelajaran yang praktikal yakni berguru, boleh menguasai dalam bidang tertentu yang boleh memberikan banyak kepada orang awam.

Individu itu juga tidak boleh sewenangnya menghukum orang yang melakukan kesalahan, zuhud, warak dengan menjaga peribadi dan akhlak.

Pantau individu didakwah

Individu yang menjalankan kegiatan berdakwah seharusnya perlu memantau orang yang ditarbiahkannya. Golongan yang baru bersyahadah ini masih memerlukan tangan untuk menunjuknya jalan yang bercahaya. Mungkin kerana kesibukan atau terlampau ramai individu yang didakwah menyebabkan dia terlepas pandang hingga akhirnya muncullah fenomena dakwah touch n go.

Pendakwah, Ustaz Shahrizan Mohd Daud At-Turabi menjelaskan perkembangan dakwah zaman moden hari ini sangat memberangsangkan.

Ramai pendakwah  menjalankan aktiviti dakwah jalanan (street dakwah) seperti di luar negara. Ditambah pula dengan penglibatan golongan muda yang berani dan bersedia mempelopori bidang dakwah santai ini.

"Pada saya, ia memang mempunyai impak tersendiri dan sangat positif. Street dakwah atau buskin dakwah adalah salah satu medium dakwah baharu di negara kita namun ia sudah lama bertapak di luar negara.

Jika kita mengikuti perkembangan dakwah dari zaman awal Islam di Nusantara hingga hari ini, pendekatan dakwah memang dilihat banyak perbezaan bergantung pada tempat, tarikh, golongan sasaran dan seumpamanya.

"Kalau dilihat di negara Barat atau Eropah sebagai contoh, street dakwah sangat memberi impak positif dalam mendekati golongan sasaran kerana untuk mengharapkan sasaran dakwah pergi mencari kelas agama, masjid atau pusat Islam tertentu memang akan menyulitkan.

"Dakwah jalanan berbentuk santai dan mudah ini akan mudah menarik golongan sasar untuk mengenali dan mendalami Islam dengan mudah. Tambahan lagi apabila  Islamafobia di Barat semakin dijaja, maka street dakwah dengan cara mempamerkan watak Islam sebenar adalah sangat memberi kesan positif dan baik," katanya kepada Rehal.

Menurutnya, memang banyak kes yang mana sasaran dakwah mula mengenali, mendekati Islam dan akhirnya memeluk Islam dengan apa jua sebab dan alasan. Namun yang paling utama adalah, follow up atau program susulan selepas bersyahadah.

Di negara ini, kebiasaannya program dibuat dengan kerjasama Jabatan Agama Islam atau pertubuhan saudara baru untuk memudahkan peringkat dakwah seterusnya, sama ada melalui kelas pengajian agama sehinggalah kepada bantuan kewangan dan seumpamanya atau paling mudah, setelah mengislamkan seseorang individu maka dapatkan biodata dan latar belakang mereka untuk tindakan susulan.

KERJA DAKWAH TUGASAN SEMUA

Street dakwah adalah medium yang sangat bersesuaian kerana lebih mudah dan cepat namun seperti yang disebutkan tadi, program atau pertemuan susulan sangat penting. Jangan dilepas atau dibiarkan individu penting itu pergi begitu sahaja.

Contoh program di bahagian saudara baru Jabatan Agama Islam Negeri sangat berkesan dan banyak membantu di samping pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain seperti Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), Jemaah Islam Malaysia (Jim), Macma, persatuan dakwah dan seumpamanya.

Tunjukkan akhlak baik

Namun bagi saudara baru, yang sering menjadi persoalan adalah adakah dengan mengucap dua kalimah syahadah menjaminnya untuk menjadi Muslim sejati?.

Ustaz Shahrizan menegaskan, ia belum lagi, dengan syahadah akan mewajibkan kita melakukan yang wajib dan meninggalkan yang haram. Barulah kita boleh bergelar Muslim dan mukmin sejati, sekali gus syurga pasti untuk kita.

"Persoalan berkenaan ramai yang tanya, begitu juga dengan ungkapan aku Islam, Islam hanya pada nama dan atas kertas. Kita boleh menuturkan kata-kata itu namun ia mestilah dengan bukti pada watak dan akhlak yang berkata. Ia adalah janji dan pengakuan kita kepada ALLAH!

"Selepas takbiratulihram kita selalu baca dalam doa iftitah yang bermaksud: "Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Tuhan sekalian alam. Tiada sekutu bagi-Nya, dan dengan semua perkara itu aku diperintahkan dan akulah dalam kalangan orang Islam".

Kita mengucapkannya lima kali sehari kerana itu kita perlu mendalaminya dengan sepenuh hati," ujar anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan ini lagi.

Tarbiah sebaiknya

Ustaz Shahrizan berkongsi, apabila seseorang memeluk Islam didasari kerana ingin berkahwin semata-mata, akan wujudlah masalah akidah, perasaan tidak dapat menerima gaya hidup sebagai Muslim dan sebagainya.

"Situasi itu akan berlaku sama ada ketika masih dalam perkahwinan, apatah lagi sesudah berlaku perceraian. Tidak mudah untuk mempraktikkan Islam tanpa ilmu dan budaya Islam yang betul jika tidak mengenali Islam dan mendalami agama itu dengan betul.

"Malah ada kes keluarga yang hanya sekadar lafaz syahadah di mulut untuk pengesahan Islam untuk berkahwin dan tidak langsung mempraktikkan kewajipan seorang Muslim.

"Pada saya, usaha dakwah hari ni adalah bukan semata-mata dengan ceramah, forum sahaja, malah amalan dan akhlak Muslim itulah yang menjadi dakwah sebenar.

"Bayangkan bukan Muslim melihat perbuatan dan akhlak orang Islam yang baik sebagaimana cara Rasulullah SAW," katanya lagi.

Malah frasa Barat juga menyebutkan, action speak louder than words. Kita memandu kereta dengan berakhlak, memberi jalan kepada orang yang mahu keluar simpang, meletak kereta dengan tidak menghalang laluan dan semua ini adalah dakwah.

Kereta juga boleh menjadi alat dakwah. Troli di pasar raya juga boleh menjadi dakwah.

Sedang kita beratur dengan troli yang penuh dengan barang, kita memberi ruang kepada orang lain yang barangnya mungkin dua atau tiga barang sahaja dan kebetulan orang itu bukan Muslim.

Kita memberi dia peluang membayar terlebih dahulu. Tidakkah itu menggembirakan dirinya dan menaikkan nama agama Islam? bukankah itu dakwah?. Dakwah bukan hanya eksklusif untuk golongan agamawan dan pendakwah sahaja. Ia adalah tugas semua dengan cara yang pelbagai dan berbeza-beza.

Empat dekad Yadim

Meraikan golongan pendakwah yang selama ini mungkin kurang dikenali walaupun memberikan sumbangan yang besar kepada masyarakat melalui aktiviti dakwah, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menganjurkan Majlis Anugerah Dakwah Negara (ADN), pada 6 Mac, baru-baru ini di Dewan Merak Kayangan Felda, Kuala Lumpur.

Majlis Anugerah Dakwah Negara memberi penghargaan kepada tokoh dan organisasi yang terlibat dalam gerakan dakwah di negara ini.

Ia diadakan bersempena sambutan 40 tahun penubuhan Yadim dalam medan dakwah yang memulakan pegerakannya sejak 1974. Yadim adalah inspirasi dan idea mantan perdana menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein.

Yadim sebagai organisasi dakwah, bertujuan menyelaraskan kegiatan menyemarakkan kesedaran dan meratakan kefahaman Islam di Malaysia.

Tun Abdul Razak melihat Yadim mempunyai peranan besar antara kerajaan dengan NGO dalam gerak kerja dakwah melalui penganjuran pelbagai program. Sehingga kini 10 individu diangkat menduduki kerusi Yang Dipertuanya.

Majlis Anugerah Dakwah Negara menyediakan enam kategori anugerah untuk diberikan kepada mereka yang berkenaan, iaitu Anugerah Pendakwah Negara disampaikan kepada Datuk Dr Abdul Razak Kechik; Anugerah Pendakwah Wanita kepada Prof Dr Muhaya Muhammad; Anugerah Pendakwah NGO untuk Perkim; Anugerah Pendakwah Saudara Kita kepada Shah Kirit Kakulal Govindji; Anugerah Pendakwah Seni Hiburan (Kumpulan Raihan) dan Anugerah Pendakwah Muda (Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan atau Imam Muda Asyraf).

Majlis ADN adalah acara penutup kepada Program Dakwah Negara yang dianjurkan Yadim sepanjang 2014 dan dihadiri wakil NGO Islam seluruh negara.

Penerima anugerah setiap kategori menerima hadiah berupa wang tunai bernilai RM15,000 dan sijil penghargaan serta hadiah iringan. Hadiah ditaja oleh Yayasan Taqwa Wilayah Persekutuan, Habib Jewels, Tabung Haji Travel, Syarikat Harapan Padu Ent dan Bernas.

Majlis yang mendapat kerjasama daripada Institut Wasatiyah Malaysia (IWM) turut mengenang jasa mantan YDP dan ahli-ahli lembaga pemegang amanah Yadim.

0 Komentar untuk " Dakwah touch n go "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ