SI WIRA Mercy Malaysia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

SI WIRA Mercy Malaysia

BELAJAR, bekerja dan berbakti sudah sebati dalam jiwa Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, 48. Beliau sebagai Pakar Perunding Perubatan (Penyakit Dalaman
dan Respitori) di KPJ Johor Specialist Hospital dan Presiden Mercy Malaysia ternyata berkredibiliti dan menggalas tanggungjawab di dalam dan luar negara.

Mengimbas latar belakang dirinya, anak kelahiran Kuala Lumpur ini mendapat sokongan dan inspirasi untuk berjaya daripada bapanya, Mohd Perdaus Badiuzzaman, 83, berkelulusan dari Maktab Perguruan Kirby, England dan ibunya, Azizah Ayub, 74, graduan dari Rida (kini dikenali Universiti Teknologi Mara).

Bekas murid Melayu tunggal mendapat 5A dalam Peperiksaan Penilaian Darjah 5 di Sekolah Kebangsaan St John, Bukit Nanas, ini juga aktif dalam sukan bola sepak dan olah raga.

“Ketika umur 12 tahun, saya tinggal di London mengikut ayah ditugaskan di Jabatan Penuntut Malaysia. Saya mendapati masyarakat di sana lebih matang. Itu mempengaruhi cara saya berfi kir,” kata bapa tiga anak.

TIDAK DUDUK DIAM

Sekembali ke tanah air, Dr Faizal memasuki Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak. Katanya, budaya di MCKK memberi ruang kepada pelajar untuk
berani ke depan. Ini memberi kesan kepada jati diri dan keupayaan pelajar untuk berfi kir jauh.

Aktiviti kurikulum menjadi medan latihan dan pendedahan untuk menonjolkan ciri-ciri kepimpinan penyelarasan dan pengurusan.

Dr Faizal memilih bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana jiwanya lebih dekat dengan orang ramai.

“Di sebalik kesibukan belajar dalam bidang perubatan, saya aktif bersukan, walaupun pernah tercedera patah tangan, lutut terseliuh dan ligamen terkoyak.

“Di tahun kedua, saya menjadi ahli exco Majlis Perwakilan Pelajar UKM dan jawatankuasa Kolej  Kediaman Kamsis.

Semasa menjadi Presiden Persatuan Mahasiswa Perubatan UKM di tahun keempat dan kelima, saya mengadakan aktiviti kemahasiswaan yang tulen dan bertanggungjawab, serta pemikiran baru yang merentas perbezaan politik kepartian pelajar,” katanya.

Pasangan kepada Datin Dr Norherah Syed Omar ini pernah diberi kepercayaan menjadi pemangku Pengarah di Hospital Daerah Kluang. Ketika itu, beliau berjaya
menangani krisis keracunan banduan Pusat Tahanan Simpang Renggam, Johor di pertengahan 1990-an.

JADI SUKARELAWAN

Pada 1996, Dr Faizal menyambung pengajian di peringkat sarjana perubatan kepakaran penyakit dalaman di UKM selama empat tahun.

Namun beliau kekal aktifkan minda dan jiwa serta peka perkembangan semasa melalui internet dan televisyen. “Saya berbincang dengan rakan berlainan bidang di masa terluang. Kita perlu terus berhubung dengan dunia luar yang sentiasa berubah dan bergerak.

“Selalulah membaca di luar bidang kita yang boleh meningkatkan kematangan dan kepelbagaian pengetahuan,” tambahnya. Semasa beliau bergelut di tahun akhir sarjana kepakaran di UKM, 1999, Mercy Malaysia baru ditubuhkan oleh pengasasnya, Tan Sri Dr Jemilah Mahmood, pakar perbidanan dan sakit puan yang baru pulang bersama sekumpulan sukarelawan dari misi bantuan kemanusiaan di Kosovo.

“Kepulangan mereka mendapat liputan media, walaupun sebelumn ini sudah ada sukarelawan dan NGO lain yang pergi ke sana. Ia menjadi fenomena masyarakat terutama golongan profesional dalam memberi bantuan kemanusiaan,” katanya yang menjadi ahli Mercy Malaysia pada 20 Januari 2003.

Di peringkat awalnya, beliau dilantik sebagai ketua Program Bantuan Rehabilitasi Dadah, seterusnya mengetuai pelbagai misi bantuan kemanusiaan di dalam dan luar negara termasuk Sri Lanka, Iran, Sudan (Darfur), Indonesia (Aceh dan Nias), Pakistan, Myanmar, Jepun dan Filipina (Mindanao).

Melihat dedikasi dan komitmen Dr Faizal sebagai aktivis, beliau dipilih menjadi ahli exco Mercy Malaysia, seterusnya menjadi Naib Presiden (2008) dan Presiden (2009) sehingga kini.

"Bagi saya, kepuasan tidak dapat dinilai dengan wang ringgit. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada rakan seperjuangan yang sentiasa bersemangat dan motivasi tinggi untuk terus berbakti kepada orang lain, tanpa mengira masa dan tenaga.

"Orang ramai dialu-alukan menjadi sukarelawan serta memberi sumbangan Mercy untuk menjalankan kerja amal dan bantuan kemanusiaan," katanya.

0 Komentar untuk " SI WIRA Mercy Malaysia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ