Kerja sambilan bukan perkara baharu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kerja sambilan bukan perkara baharu

CARI pengalaman awal, duit tambahan untuk beli keperluan pengajian.

Kerja sambilan yang dilakukan  penuntut pusat pengajian tinggi, baik awam mahu pun swasta, bukan lagi perkara asing.

Jika dilihat sekarang, memang ramai yang sanggup berhempas-pulas bekerja sambilan, tidak kiralah membaiki motosikal, komputer, berniaga di pasar malam, bekerja di restoran makanan segera, menjadi guru tuisyen atau apa sahaja, asalkan 'masyuk'.

Soal rehat dan tidur, memang sudah lama diketepikan oleh mereka yang nekad kerja part time atau sambilan ini.

Walau penat sekalipun, siswa-siswi ini sudah tidak kisah lagi. Hidup pada zaman sekarang begitulah. Walaupun pendapatan yang diraih hasil kerja sambilan itu tidaklah sebesar mana, namun ia sedikit sebanyak dapat digunakan untuk menampung kos sara hidup masing-masing.

Ketua, Pusat Penempatan Graduan, Universiti Sains Malaysia (USM), Roslan Kamarudin berkata, fenomena penuntut membuat kerja sambilan ini bukan perkara baharu, malah kerja yang diceburi itu tidak mengabaikan pengajian masing-masing asalkan bijak membahagikan masa.

"Banyak faktor penuntut mencari kerja kerja sambilan ini. Mungkin sebab tidak mendapat pinjaman atau mungkin desakan kos sara hidup yang makin tinggi sekarang.

Mungkin juga mereka ingin mencari duit tambahan untuk membeli keperluan yang diinginkan. Jadi, keinginan bekerja sambilan tersebut bergantung pada diri masing-masing," katanya.

Jika dilihat di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah, kata Roslan, kerja sambilan ini adalah satu lumrah kehidupan bagi penuntut di sana.

Ia telah menjadi satu trend terutamanya pada cuti musim panas dan perkara sebegini sepatutnya menjadi ikutan penuntut di Malaysia, terutamanya musim cuti panjang semester.

"Kebiasaannya penuntut yang berani tampil untuk kerja sambilan ini adalah mereka yang mempunyai keyakinan tinggi dan bijak membahagikan masa. Oleh itu mereka dapat melalui hari-hari mendatang dengan lebih terancang.

"Penuntut yang bekerja sambilan harus memastikan mereka mempunyai cukup waktu untuk membuat tugasan pengajian di samping menghadiri kuliah. Di sinilah terletaknya keistimewaan mereka yang mempunyai hasrat untuk bekerja sambilan.

"Di USM pula, saya tidak mempunyai data yang tepat mengenai bilangan penuntut yang melakukan kerja sambilan ini. Jika ada pun, saya berasa bilangannya masih kecil. Ini mungkin kerana sebilangan besar siswa tinggal di asrama dan kos sara hidup tidaklah tinggi berbanding mereka yang tinggal di luar kampus," katanya.

Menurut Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU), pihak universiti tidak mempunyai apa-apa halangan bagi seseorang penuntut itu untuk bekerja secara sambilan selagi pekerjaan itu tidak menyalahi undang-undang serta tidak mencemarkan nama baik sesebuah universiti.

"Walau bagaimanapun bagi USM, kami amat menggalakkan siswa yang berhasrat untuk bekerja secara sambilan itu memaklumkan kepada kami di Pusat Penempatan Graduan ini agar kami dapat memberikan panduan dan nasihat mengenainya," ujarnya.

Langkah bijak

Realiti kini, kos kewangan melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi adalah tinggi. Ia meliputi yuran pengajian, pembelian bahan rujukan dan sara hidup.

Bagi penuntut yang mendapat biasiswa atau pinjaman,  ia memberi sedikit kelegaan dalam menampung tuntutan kewangan ini tetapi dengan anggaran 70 peratus digunakan untuk keperluan pengajian manakala bakinya untuk sara hidup, ia bukanlah sesuatu yang melegakan.

"Melalui penelitian saya, pilihan untuk bekerja sambilan semasa pengajian untuk menampung perbelanjaan adalah tindakan yang bijak bagi meneruskan kelangsungan hidup dan meneruskan pengajian mereka di kampus tanpa dibelenggu isu kewangan yang mendesak.

"Jika dahulu bekerja sambilan sinonim dengan bekerja di kedai makan tetapi kini bekerja sambilan juga boleh dilakukan secara jualan dalam talian (online).

"Bukan sesuatu yang bersalahan apabila mereka mencari duit tambahan, sama ada semasa tempoh pengkuliahan atau cuti semester.

Ini kerana, bekerja adalah salah satu perbuatan yang menunjukkan seseorang itu mampu berdikari dan membina kematangan diri serta pengalaman hidup," kata Pegawai Pusat Pembangunan Keusahawanan Siswa (PPKS), Usim, Siti Norfaza Abdul Halit.

Menurutnya, setiap siswa mempunyai keselesaan masing-masing dalam menyesuaikan waktu bekerja sambilan dengan tuntutan memenuhi jadual kuliah.

"Kadangkala kerja sambilan ini tidak memerlukan tempoh masa kerja yang lama. Jika perniagaan online misalnya, waktunya lebih fleksibel dan ini adalah trend pekerjaan terkini yang memberi pulangan lumayan.

"Pandangan saya, tidak kisah pada waktu bila pun asalkan pandai membahagikan masa dan tidak mengganggu pelajaran dan kesihatan diri," katanya sambil menambah keburukan bekerja sambilan tetap ada, namun ia dapat diatasi jika penuntut itu bijak menguruskannya.

Cebur dunia peragaan

Sementara itu, penuntut Universiti Malaya (UM) yang juga model sambilan, Cassandra Dewi Jeremiah, 22, antara mahasiswa contoh yang berjaya menyeimbangkan antara belajar dengan bekerja sambilan.

Penuntut jurusan Pengurusan Sukan ini terkenal dalam kalangan rakan-rakan UM sebagai siswi yang aktif bola sepak (sebagai penjaga gol kebangsaan) dan futsal.

Sebelum melanjutkan pengajian di UM, Cassandra @ Cassie telah menempa banyak kejayaan peribadi antaranya finalis Unduk Ngaday DBKK 2012 dan seterusnya juara Sabah Female Icon 2012.

Kemudian, Cassie meraih pula gelaran Naib Juara Unduk Ngadau Lembah Klang sebelum terpilih sebagai finalis Miss Malaysia World 2014.

Kata anak kelahiran Penampang, Sabah ini, dek kejayaan tersebut, dirinya mula memasang angan-angan untuk terlibat dalam lapangan kecantikan.

"Saya sangat meminati bidang modeling. Namun dek sibuk dengan pengajian di UM, saya lupakan sahaja hasrat tersebut. Walaupun begitu, bila ada masa lapang, saya buat kerja sambilan sebagai modeling.

"Keluarga, pensyarah dan kawan-kawan menyokong penuh keinginan saya ini dengan syarat tidak mengabaikan pelajaran," katanya kepada Kampus.

Beritahu Cassie, sejak dia bekerja sambilan sebagai model, banyak juga wang poket yang telah diperoleh.

"Saya simpan separuh wang berkenaan dalam bank. Selebihnya saya gunakan untuk membeli keperluan pengajian. Saya jarang minta wang dengan keluarga kerana sudah ada duit sendiri.

"Gembira memanglah ada sebab dapat meringankan beban keluarga di kampung. Mungkin bila ada duit lebih lagi, saya teringin untuk beli beberapa aset lain sebagai kemudahan untuk belajar di sini," ujarnya.

Cassie yang berimpian untuk membuka sebuah restoran hasil simpanan daripada kerjaya modeling berkata, pembelajaran di UM tidak pernah diabaikan walaupun dia sibuk dengan dunia peragaan.

"Saya mempunyai jadual kerja yang tersendiri. Saya akan pastikan jadual tersebut tidak mengganggu sesi kuliah. Jika bertindih, saya akan usahakan agar akademik didahulukan berbanding kerja sambilan," katanya yang telah dilantik sebagai duta Figos.

Nasihat Cassie pada mereka yang ingin bekerja sambilan, teruskanlah jika kerja berkenaan tidak mengganggu waktu belajar. Jika tidak, mungkin anda perlu cari alternatif lain. Jangan terlalu mengejar duit nanti pengajian terabai, nanti apa yang dikejar tak dapat, yang dikendong pula berciciran.

0 Komentar untuk " Kerja sambilan bukan perkara baharu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ