MEMEGANG prinsip tersendiri terutama ingin mewujudkan suasana Islam di dalam kampus, menjadi dasar utama kepada perjuangan yang mengisi ruangan Kami Cakna minggu ini.
Persatuan ini dikenali Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) bergerak dengan wadah dan perjuangan untuk mengembalikan martabat umat yang terbaik berperanan sebagai pendidik dan pemimpin.
PMIUPM memegang prinsip menyeru kepada kebaikan, menyuruh yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar bertindak sebagai persatuan yang tidak bersekongkol dengan sebarang kemungkaran.
Menurut barisan kepimpinan tertinggi PMIUPM, prinsip yang digariskan bukan didorong perasan fanatik tetapi berdasarkan rasa yakin dan kefahaman yang jelas tentang Islam serta keupayaan menyelesaikan segala permasalahan yang dihadapi umat manusia sepanjang zaman.
PMIUPM 2015, diterajui Muhamad Farhanaim Jamaluddin selaku Presiden bersama Timbalan Presiden II, Wan Nur Athirah Wan Ahlim, Syarifah Nurjannah Syed Zainul Abidin sebagai Setiausaha Kerja, dan Muhammad Al Zubair Ahmad Yusoff sebagai Setiausaha Agung.
Menurut Timbalan Presiden II, Wan Nur Athirah Wan Ahlim, dasar PMIUPM adalah Islam. Sejak ia mula ditubuhkan pada 1975, persatuan ini bergerak aktif khusus dalam program yang berkepentingan Islam.
Setiap aktiviti yang dianjurkan adalah bertujuan membentuk suasana Islam dan menyerapkan unsur-unsur kerohanian dalam setiap individu masyarakat kampus.
Semua siswa adalah ahli
"Semua mahasiswa Islam di kampus secara automatik adalah ahli PMIUPM walaupun tidak aktif, dan semua program yang disediakan menerapkan unsur kerohanian," katanya.
Objektif utama penubuhan PMIUPM adalah menjaga kesucian Islam. Pendekatan secara langsung dengan mahasiswa secara lebih dekat dilakukan mengikut visi tersendiri.
"Bagi mencapai golongan sasaran, kami akan mengedarkan risalah keagamaan yang secara tidak langsung sebagai panduan siswa-siswi mengenali kami secara lebih dekat.
Selain aktiviti turun padang dengan golongan sasaran, kami juga anjurkan program seperti bual bicara agama yang mengundang panel-panel khas membabitkan golongan profesional dalam bidang masing-masing," kata Wan Nur Athirah.
Menurut Nurjannah pula, aktiviti ifest (inspiration festival) contohnya adalah acara tahunan yang menjadi program wajib PMIUPM untuk mendekati golongan mahasiswa.
"Walaupun kami bukan dari latar belakang siswa-siswi kalangan pengajian Islam, namun semangat untuk mengajak rakan-rakan berbuat kebaikan itu begitu tinggi, hal ini adalah selaras matlamat persatuan untuk Menyeru kepada kebaikan, menyuruh yang makruf dan mencegah kemungkaran.
"Kami juga berusaha mengembang dan menjaga cara hidup dan budaya Islam, di samping kebajikan sesama ahli. Program usra umpamanya, diadakan tiap-tiap minggu yang lebih kepada perkongsian hal-hal pelajaran dan peribadi," katanya.
Menurutnya, dalam program terbuka seperti ifest juga turut diserap konsep cara hidup Islam yang betul, sama ada dari segi pergaulan, berhibur dan keperibadian.
Hal yang sama juga dipersetujui Muhamad Al Zubair.
Katanya, pelbagai program dirancang bagi memantapkan ilmu kerohanian. Antaranya, PMIUPM terlibat dalam penganjuran Kem Inspirasi Putra yang dianjurkan setiap tahun.
"Program seperti ini selalunya diadakan di luar kampus, dan berlangsung dalam tempoh tertentu, pengisiannya cukup berguna lebih-lebih lagi kepada mereka yang ingin mendalami ilmu keagamaan secara terperinci.
Kami terapkan nilai-nilai Islam seperti fardu ain, penekanan kepada ilmu akidah, akhlak, serta disokong dengan kehadiran panel-penel berpengalaman mengikut profesionalisme masing-masing," katanya.
Menurut Muhamad Al Zubair, kerjasama dari kolej kediaman untuk menarik lebih ramai penyertaan juga adalah salah satu usaha bagi melancarkan lagi aktiviti ini.
Katanya, walaupun menekankan aspek keagamaan, diselitkan juga program yang secara tidak langsung menanam dan merapatkan semangat pergaulan kalangan ahli dan penuntut lain, serta penuntut bukan Islam di universiti ini.
Ujarnya, PMIUPM juga berusaha mencapai misi tersendiri untuk membentuk mahasiswa yang produktif dalam pelbagai bidang dengan membudayakan nilai-nilai ilmiah dalam diri penuntut, di samping menerapkan prinsip wasatiyyah dan mesra mahasiswa. Ia juga akan menyuburkan nilai-nilai Islam dalam pembentukan bi’ah solehah di kampus (ukhuwah).
Persatuan ini juga sedaya upaya meningkatkan kefahaman ilmu asas Islam dalam melahirkan Muslim berkualiti dan dalam masa sama menyuburkan suasana Islam melalui pendekatan dakwah secara kreatif.
0 Komentar untuk " Memperkasa penuntut Muslim "