Kembara ke kota purba - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kembara ke kota purba

KISAH pemuda, Sultan Muhammad Al-Fateh yang berjaya menakluk Kota Konstatinopel atau Istanbul daripada Empayar Byzantine ketika usia masih muda begitu dikagumi. Beliau juga disegani kerana menaiki takhta seawal usia 19 tahun menggantikan ayahandanya, Sultan Murad I.

Selain itu, Istanbul juga terkenal dengan peninggalan sejarah Islam ketika zaman Khalifah Uthmaniyyah.

Dalam sejarah Islam, keistimewaan Konstatinopel telah pun diumumkan oleh Rasulullah SAW sendiri ketika Baginda menggali parit Khandak.

Terpanggil untuk melihat sendiri kesan peninggalan sejarah Islam tersebut, satu rombongan dari Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang terdiri daripada 25 peserta termasuk pegawai pengiring buat pertama kalinya terbang ke negara Turki Uthmaniyyah pada, 25 Januari, 2015.

Lawatan ilmiah ini dianjurkan siswa tahun akhir Sarjana Muda Pengajian Quran dengan Multimedia (QM), Usim sesi akademik 2014/2015, bertujuan memberi pendedahan meluas kepada penuntut berkaitan ketabahan Sultan Muhammad Al-Fateh yang berjaya menakluki Kota Konstatinopel ketika usia masih muda di samping menerapkan semangat juang terhadap diri peserta pada masa akan datang.

Program ini juga merupakan medium mempromosikan Usim khasnya dan Malaysia umumnya. Bagi memastikan objektif ini berhasil, peserta sepakat memilih Istanbul sebagai destinasi utama dan berada di sana selama tujuh hari.

PENINGGALAN SEJARAH ISLAM

Berkunjung ke Istanbul, rugi rasanya jika tidak melihat keunikan serta keindahan Masjid Biru. Masjid Biru begitu unik sehingga mampu menampakkan warna kebiruan pada kubah-kubahnya hasil pantulan cahaya dari lautan Selat Bhosphorus yang terletak berhampiran.

Masjid ini sangat indah dan teduh. Ia dibangunkan Sultan Ahmed I yang berasal daripada Dinasti Ottoman yang berjaya menguasai Turki pada abad ke-14.

Masjid ini mempunyai enam menara. Tidak jauh dari Masjid Biru terletak Museum Hagia Sophia (Aya Sofya). Selain terkenal dengan keindahan strukturnya, Aya Sofya pada awalnya dibina sebagai gereja umat empayar Kristian Timur (Byzantine) yang dibina oleh Constantius.

Gereja ini sering dibaik pulih akibat gempa bumi. Aya Sofya kemudian diubah menjadi masjid selama 500 tahun ketika pemerintahan Sultan Muhammad Al-Fateh.
Setelah Turki Uthamniyyah kalah pada perang dunia pertama, pasukan sekutu menguasai Istanbul pada 1922. Bangunan ini akhirnya ditukar semasa pemerintahan sekular kerajaan Turki Mustafa Kamal Ataturk.

DISKUSI ILMIAH

Pada hari pertama, rombongan ini mengadakan diskusi dua hala bersama Fakulti Teologi, Universiti Marmara yang terletak di bahagian Asia.

Objektif utama diskusi ini bagi membincangkan sedikit sebanyak kerjasama yang boleh dilakukan antara dua universiti dari segi jurnal akademik, projek siswa dan lain-lain, sekali gus mempromosi Usim sebagai hab pendidikan berintegrasikan naqli dan ‘aqli di Malaysia.

Pada sebelah malam, rombongan menerima jemputan khas daripada Yayasan Hayrat (Hayrat Foundation) yang sudi meluangkan masa bersama peserta bagi mendedahkan sedikit sebanyak berkaitan peninggalan Sheikh Said Nursi Badi’uzzaman seorang mujaddid serta pemikir Islam yang menulis tafsirnya sendiri berjudul Risalah an-Nur.

Beliau adalah ulama bertakwa yang sentiasa keluar masuk penjara kerana menentang pemerintahan Kamal Atarturk.  Beliau menghafaz lebih kurang 80 buah matan.
Ketika berusia 16 tahun, beliau mengalahkan beberapa ulama terkemuka pada majlis perbahasan.

Ketika itu perbahasan adalah satu perkara biasa kalangan ulama. Mereka kemudian menggelarkan Badi’uzzaman, bermaksud keunggulan zaman.

Selain itu, Yayasan Hayrat juga menyelitkan slot tambahan bagi memperingati pemergian mahasiswa yang mengikut jejak Sheikh Said Nursi, Ahmad Ammar Mohd Azam, penuntut Malaysia yang belajar di Universiti Marmara yang menggemparkan dunia dengan pemergiannya ke rahmatullah.

PENGALAMAN BERHARGA

Setiap detik di Istanbul adalah pengalaman manis buat peserta. Pengalaman tersebut mengajar mereka aspek kehidupan, antaranya dari sudut semangat perpaduan yang diterapkan pejuang-pejuang Islam demi menakluk kota tersebut.

Setiap tempat yang dilawati mempunyai keunikan serta sejarah peninggalan tersendiri. Pelbagai kenangan yang sangat berharga telah didapati selama tujuh hari berada di bumi Istanbul di antaranya menaiki tram yang bercampur laluannya dengan kenderaan biasa, keunikan aiskrim Turki dengan helah yang pasti mentertawakan pengunjung serta syurga beli-belah di Spice Bazaar yang terletak di Eminonu.

Kenangan paling bermakna adalah ketika menaiki feri besar merentasi Selat Bhosphorus antara benua Eropah dan Asia dengan keindahan serta kesejukan yang mengujakan peserta dan melihat keindahan kawanan camar yang berterbangan sepanjang perjalanan.

Selain itu, peserta juga dapat menikmati keindahan masjid  yang menghimpunkan tinggalan sejarah tidak ternilai harganya. Mereka juga tertarik dan mahu mencontohi sikap masyarakat di Turki yang sentiasa mengimarahkan masjid pada setiap waktu solat.

Ditambah dengan musim sejuk yang melanda Turki, ini sedikit sebanyak memberi kenangan manis kepada rombongan yang datang, dan dapat melihat keindahan musim sejuk serta berasa pengalaman bermain salji di Gunung Uludag, Bursa buat pertama kalinya.

Riak keriangan jelas terpancar pada wajah setiap peserta tatkala mengabadikan foto sebagai kenangan terindah.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada seluruh individu dan badan korporat yang memberi sumbangan dan tajaan bagi menjayakan program ini.

Tidak dilupakan juga kepada pihak Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Usim serta pegawai pengiring dan Kementerian Pelancongan Negeri Sembilan atas sumbangan diberikan.

0 Komentar untuk " Kembara ke kota purba "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ