Rempah tandoori segera jadi rebutan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rempah tandoori segera jadi rebutan

CAPATI, tosai, naan, dal, beriani dan tandoori merupakan beberapa masakan popular India yang sudah sebati dengan selera rakyat Malaysia

Setiap kali berkunjung ke restoran India Muslim, pasti ada tempayan besar berwarna merah khas untuk memasak tandoori. Kebiasaannya tandoori dimakan bersama roti naan dengan hirisan bawang dan potongan limau nipis, ada yang gemar memakannya tanpa kuah. Barulah terasa rempah tandoori yang dikatakan terlalu istimewa itu.

Dengan pelbagai rempah ratus yang digunakan, tandoori yang sinonim dengan ayam ini memerlukan masa yang agak lama untuk menyediakannya.

Namun, kini penggemar tandoori tidak perlu lagi menunggu lama kerana rempah ayam goreng tandoori segera yang menjadi satu fenomena luar biasa, berjaya membantu penggemarnya menyediakan masakan tersebut di rumah sahaja. Dengan menggunakan rempah yang digaul bersama ayam, seterusnya digorengkan, tidak sampai 20 minit, ia sedia dihidangkan.

Apabila menjadi fenomena, sudah pasti untuk mendapatkannya juga tidak sukar. Hidangan asli India yang menyelerakan dalam suasana yang selesa dan santai.

Rempah tandoori sesuai dengan selera tempatan

Bagi Afizah Abdul Jalil, rempah ayam tandoori segera mula dikenali pada penghujung tahun lalu apabila rakannya sendiri, menghasilkan resipi rempah ayam goreng tandoori dan memberikannya peluang untuk merasai produk tersebut,

“Ayam tandoori ini mempunyai rasa rempah ratus dan bahan-bahan yang digunakan seperti serai, bawang putih kering dan halia kering. Rempah ini bukan sahaja boleh digunakan untuk menggoreng tetapi ia digunakan untuk panggang.

“Malah, ia juga boleh digunakan untuk menggoreng udang, ikan, sotong dan sebagainya. Mula-mula saya sekadar mencubanya sahaja tetapi saya mencadangkan kepada kawan supaya ia dikomersialkan kerana rasanya sedap dan bersesuaian dengan selera penduduk tempatan,” katanya.

Kerana keenakannya, Afizah turut memperkenalkan rempah tandoori segera kepada pelanggan yang mengunjungi kedainya, AZ Store. Dalam tempoh seminggu, 1,000 paket berjaya dijual.

“Rempah ayam tandoori segera ini kini dijual di seluruh Malaysia. Permintaan yang tinggi memberikan peluang kepada saya menjadi pembekal rempah tersebut untuk pasaran negara ini,” katanya.

Tambahnya, rakannya itu kini bersyukur kerana rempah yang dihasilkan berjaya dipasarkan di seluruh Malaysia dan membekalkannya kepada hotel di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Perak.

“Alhamdulillah, beliau juga menjadi pembekal utama kepada restoran di seluruh negara,” katanya.

Jimatkan masa,  kos

Bagi suri rumah, Aishah Shaari, rempah ayam goreng tandoori segera memudahkannya menyediakan hidangan makanan tengah hari dan malam kepada keluarganya.

“Sebelum ini, saya terpaksa membeli ayam tandoori dari kedai berhampiran dan menunggu masa yang lama. Kini, penyediaan ayam tandoori hanya mengambil masa tidak sampai 30 minit,” katanya.

Aishah berkata, rempah ayam tandoori segera ini rasanya sedap kerana tidak pedas. Enak dimakan bersama nasi beriani dan roti nan.

“Malah, rahsia rempah ratus seperti kulit kayu manis, bunga cengkih, buah pelaga dan lawang sememangnya terkenal dalam penjagaan kesihatan dan kecantikan sejak dahulu kala. Ia juga mampu memanaskan badan dan mengusir angin dari badan,” katanya.

Tambahnya, penggunaan rempah ratus juga memberikan lebih lazat dan menjadi penawar kepada penyakit.

Menu wajib, mudah disediakan

Sementara itu, pesara, Jamilah Mohd Ali, 56, berkata, hidangan ayam tandoori menjadi menu wajib setiap kali hujung minggu kerana ahli keluarganya akan berkumpul di rumahnya yang terletak di Petaling Jaya, Selangor.

“Anak-anak saya menggemari ayam tandoori dan terpaksa menyediakan bahan-bahan dengan mengambil masa yang lama. Kini dengan adanya rempah tandoori segera ia mudah disediakan dan cukup rasanya,” katanya.

Tambahnya, ayam tandoori penambah selera anak-anaknya dan selalunya ia disediakan bersama kari kepala ikan dan di makan dengan nasi putih.

“Kini, cucu-cucu saya pula menggemarinya kerana ia rangup, kenyal dan tidak berminyak. Kadang- kadang mereka membandingkan ayam tandoori dengan makanan segera lain,” katanya.

Peluang perniagaan

Bagi peniaga di Silibin, Ipoh, Zaharuddin Zainal mengakui rempah ayam goreng tandoori yang diperkenalkan isterinya menarik perhatiannya untuk terlibat dalam perniagaan.

“Saya berpendapat rempah tersebut mempunyai rasa yang lazat, pelbagai guna dan boleh dimasak dengan pelbagai cara,” katanya.

Katanya, permintaan yang tinggi terhadap rempah ayam goreng tandoori menyebabkan dia tidak mahu melepaskan peluang berniaga produk itu sepenuh masa.

“Saya juga mempunyai pengedar di seluruh negara. Alhamdulillah, perniagaan rempah ayam goreng tandoori ini semakin maju,” katanya.

0 Komentar untuk " Rempah tandoori segera jadi rebutan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ