Pos Malaysia ejen pentadbiran harta - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pos Malaysia ejen pentadbiran harta

AMANAHRAYA Berhad melantik Pos Malaysia Berhad sebagai ejen rasmi urusan Pentadbiran Harta Pusaka yang dijalankan. Kerjasama ini melibatkan 600 pejabat pos di Semenanjung Malaysia bermula Khamis lalu.

Kerjasama strategik itu dilihat sebagai salah satu usaha kedua agensi tersebut untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan mereka demi kemudahan dan keselesaan rakyat di negara ini.

Simbolik pelancaran yang termeterai dua agensi tersebut disempurnakan Pengerusi AmanahRaya, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Pengerusi Pos, Tan Sri Mohd Khamil Jamil.

Reezal Merican berkata, usaha pihaknya itu untuk menyelesaikan permasalahan rakyat dalam soal harta pusaka yang mungkin sukar dilakukan di pejabat AmanahRaya disebabkan faktor jarak yang jauh.

“Pelan ini juga bertujuan untuk memberi keselesaan kepada rakyat yang tinggal jauh di pedalaman tanpa perlu ke pejabat cawangan kami, sebaliknya anda boleh berkunjung di pejabat pos yang berdekatan untuk proses pendaftaran.

“Bahkan posmen turut dilantik sebagai ejen promosi untuk mengendalikan urusan permohonan dan borang yang dihantar akan diproses dalam masa 14 hari,” katanya.

Menurutnya, sebanyak  RM206 juta harta pusaka yang tidak dituntut oleh pewaris sejak AmanahRaya ditubuhkan.

Manakala, jumlah kematian yang dicatatkan pula seramai 1,003 setahun.

“Sejak program ini dilancarkan secara tidak rasmi pada Disember tahun lalu, kami menerima 11 permohonan sehingga kini dan ianya akan meningkat dengan adanya promosi ini.

“Saya percaya rakyat lebih selesa berurusan dengan pejabat pos berbanding cawangan kami kerana mereka lebih dekat dengan rakyat dan mesra pelanggan,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama ini diharap akan dapat membantu pelanggan menggunakan perkhidmatan ini sebagai langkah pertama mereka bagi membuat permohonan Pentadbiran Harta Pusaka tanpa perlu mengunjungi cawangan AmanahRaya yang mungkin terletak agak jauh dari tempat tinggal mereka.

"Melalui kerjasama tersebut, pelanggan hanya perlu mendapatkan Borang Permohonan Pentadbiran Harta Pusaka dan menyerahkan semula borang yang telah lengkap, di mana-mana cawangan pejabat pos yang berhampiran bagi menyelesaikan Pentadbiran Harta Pusaka dengan AmanahRaya.

“Kami percaya kerjasama strategik ini akan memudahkan orang ramai untuk melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap ahli keluarga dalam urusan Pentadbiran Harta Pusaka.

"Adalah diharapkan ikatan ini akan dapat membina hubungan murni yang saling memberi manfaat kepada semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan beberapa projek baharu yang bakal dilancarkan tidak lama lagi seperti wasiat dan hibah.

0 Komentar untuk " Pos Malaysia ejen pentadbiran harta "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ