Seseorang yang ingin hidup tenang, diberkati Tuhan perlu mengikhlaskan diri dalam setiap kerja dilakukan. Ikuti kupasan mengenai mencari barakah oleh Ustaz Mohd Nazrul Abdul Nasir dalam Tarbiah.
Pertolongan yang dilakukan dengan ikhlas akan mendapat
Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesiapa yang beramal salih, dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman, maka sesungguhnya Kami akan menghidupkan dia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya kami akan membalas mereka, dengan memberikan pahala yang lebih dari apa yang mereka telah kerjakan." (Surah an-Nahl, ayat 97)
Apabila membicarakan perkara berkaitan barakah, setiap manusia mahukan kehidupan yang dilimpahi keberkatan kerana sesuatu yang Allah SWT kurniakan barakah kepadanya pasti akan mencukupi walaupun jika dilihat dari segi angka dan bilangan, jumlahnya kecil atau sedikit.
Menurut Ustaz Mohd Nazrul Abd Nasir dan program Tarbiah, keberkatan hidup seseorang Muslim bergantung kepada keikhlasan dirinya kepada Allah SWT. Apabila seseorang mengikhlaskan diri dan membetulkan niat, sudah tentu akan menemui keberkatan dalam perkara yang dilakukan.
Antara sebab yang menjadikan seseorang Muslim itu diberkati Allah SWT dalam kehidupannya adalah keimanan dan ketakwaan terhadap Allah Yang Maha Besar.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Sekiranya penduduk negeri beriman dan bertakwa, pastilah Kami akan melimpahkan kepada mereka barakah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat Kami) itu, maka kami seksa mereka disebabkan perbuatannya." (Surah al-Araf, ayat 96)
Sedikit tetapi berterusan
Keberkatan bukan bermakna mempunyai nilai wang ringgit yang banyak, kenderaan mewah atau rumah besar. Keberkatan merujuk kepada sesuatu yang sedikit tetapi mencukupi malah kebaikannya berterusan umpama mata air jernih yang sentiasa mengalir memberi manfaat kepada seluruh manusia.
Sungguh pun jika kita mempunyai wang yang banyak atau kehidupan mewah tetapi selalu berasa tidak cukup, tidak bahagia, tidak tenang, ia boleh disifatkan kepada sesuatu yang tidak mengundang keberkatan kepada kehidupan kita.
Diriwayatkan daripada Jabir, katanya: "Kalaulah engkau melihat bagaimana saya bersama Nabi SAW, ketika itu waktu Asar sudah tiba sedangkan air tidak ada untuk berwuduk, kecuali lebihan air sedikit.
Maka air yang sedikit itu dimasukkan dalam satu bekas lalu dibawa kepada Nabi Muhammad SAW. Baginda telah masukkan tangan ke dalam bekas itu lalu merenggangkan anak jarinya, kemudian Baginda berkata: Hai orang yang akan berwuduk, ke marilah, barakah daripada Allah. Jabir berkata: Saya lihat air keluar dari anak jari Baginda, maka berwuduklah semua orang dan minumlah. Saya tidak peduli lalu memenuhkan perut saya dengan air itu. Saya tahu betul bahawa air itu memberi barakah. Salim bin Abi Ja'd bertanya kepada Jabir: Berapa orang kamu semua ketika itu? Jawab Jabir: 1,400 orang."
Begitulah nilai sesuatu barakah buat kita yang mengharap kebaikan dan rahmat Allah SWT. Tentunya kita juga tertanya bagaimanakah untuk menjemput keberkatan dalam hidup kerana kita semua tentunya tidak ada jawapan yang tepat apakah hidup kita ini diberkati atau sebaliknya.
Nikmat beribadah
Namun, melalui nikmat yang diperoleh adalah kemuncak kepada kebaikan anugerah Allah SWT buat kita. Keberkatan yang Allah SWT berikan melalui kenikmatan beribadah, merintih, bersujud memohon keampunan daripada Allah SWT adalah barakah yang membuat hati lapang serta tenang.
Rasulullah SAW bersabda: "Barang siapa memperbanyak istighfar maka Allah SWT akan menghapuskan segala kedukaannya, menyelesaikan segala masalahnya dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka." (Riwayat Ahmad, Abu Daud, an-Nasa'i, Ibnu Majah, al-Hakim daripada Abdullah bin Abbas)
Bagaimanapun, kita dianjurkan melaksanakan pelbagai amalan seperti terkandung dalam al-Quran dan al-hadis. Antaranya, mencari keberkatan hidup melalui amalan bersedekah kerana dalam setiap sedekah yang diberikan mengandungi nilai barakah selain ia membersihkan rezeki, juga melaksanakan hak orang lain dalam rezeki kita.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda: "Sedekah tidak akan mengurangi harta seseorang. Seseorang yang pemaaf, Allah menambahkan kemuliaan baginya. Dan seorang yang tawaduk (merendahkan diri) kepada Allah, maka Allah menaikkan darjatnya." (Riwayat Muslim)
Begitu juga melaksanakan amalan menunaikan solat sunat duha adalah salah satu pintu untuk mengetuk barakah dalam kehidupan seperti sabda Nabi Muhammad SAW: "Wahai anak Adam! Janganlah sekali-kali kamu malas mengerjakan empat rakaat solat duha, maka akan aku cukupkan keperluanmu sehingga waktu petang." (Riwayat al-Hakim dan at-Tabrani)
Keberkatan bagi mereka yang sering menunaikan solat sunat duha juga tidak harus dipandang enteng, kerana solat sunat duha selain sebagai membuka rezeki, ia juga memberi keberkatan kepada rezeki yang kita peroleh.
Kelebihan solat duha
Keberkatan rezeki di sini merujuk kepada kehidupan yang dijamin, kesihatan baik, anak salih, ilmu dapat diamalkan, hidup lapang, dipermudahkan dan banyak lagi. Solat sunat duha juga disebut sebagai amalan yang dapat membersihkan dosa.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang masih berdiam diri di masjid atau tempat solatnya setelah solat Subuh kerana melakukan iktikaf, berzikir, dan melakukan dua rakaat solat duha disertai tidak berkata sesuatu kecuali kebaikan, maka dosanya akan diampuni meskipun banyaknya melebihi buih di lautan." (Riwayat Abu Daud)
Sesungguhnya tiada apa yang lebih bermakna dalam hidup ini melainkan kehidupan yang diberkati kerana diampuni Allah SWT setiap kekhilafan serta kesalahan yang kita lakukan. Orang yang bersih daripada noda dan dosa tentu dapat menikmati kemanisan iman sebenar-benarnya.
Mudah-mudahan kita juga dikurniakan hidup yang barakah dan selalu dibukakan hati untuk menyedari kekhilafan diri serta bermohon keampunan daripada Allah SWT.
* Penulis ialah penyampai dan Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm
0 Komentar untuk " Agama: Amalan baik, ikhlas dibalas keberkatan "