Masjid Cyberjaya pertama terima platinum GBI - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Masjid Cyberjaya pertama terima platinum GBI

TANGGAL 27 Februari lalu mencatatkan sejarah apabila lebih 6,000 jemaah sertai solat Jumaat pertama yang diketuai Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Muhammad Farhan Wijaya di Masjid Cyberjaya, Persiaran Semarak Api, Cyber1, Cyberjaya.

Masjid yang dibina oleh Atsa Architects Sdn Bhd berkonsep terbuka, moden, hypostyle dan kehijauan.

Baru-baru ini, penulis dan rakan media meninjau reka bentuk Masjid Cyberjaya yang menjadi masjid pertama dianugerahkan platinum Indeks Bangunan Hijau (GBI) di tanah air, kerana binaannya terdiri daripada bahan mesra alam dan tenaga efisien.

Ketua Pegawai Eksekutif Atsa Architects Sdn Bhd, Ar Azim A Aziz berkata, projek pembangunan kompleks Masjid Cyberjaya termasuk dewan serba guna dan kuarters kakitangan bermula sejak 2013 dan dibina di atas tapak tanah seluas 6.1 hektar.

“Masjid dua tingkat ini boleh memuatkan lebih 8,300 jemaah. Binaan dinding terbuka di dewan solat utama dapat memberi laluan pengudaraan dan pencahayaan semula jadi. Kolam air juga menjadi elemen menyejukkan suasana.

“Untuk penjimatan elektrik dan tenaga manusia, lampu sensor dipasang. Manakala, binaan pada plaster siling di dewan solat utama adalah daripada jenis ionized dengan tourmaline and silicate minerals,” katanya.

Jimat tenaga

Pengarah Eksekutif Atsa Architects Sdn Bhd, Ar Zulqaisar Hamidin berkata, reka bentuk asal bangunan masjid ini tidak mempunyai kubah dan menara. Namun, sedikit pengubahsuaian dibuat apabila masyarakat Islam di negara ini melihat masjid lebih ‘sempurna’ dengan adanya dua elemen tersebut.

“Kami mengambil kira pandangan beberapa pihak lain dalam membina masjid asalkan masih mengekalkan konsep moden dan kehijauan. Ini selari dengan Cyberjaya sebagai bandar raya hijau terpilih di dunia.

“Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga memberi idea yang kami gunakan seperti taman Islam di persekitaran masjid dan menanam pokok rendang untuk memberi kehijauan.

“Baginda juga mencadangkan pembinaan mihrab yang diperbuat daripada kayu merbau, berserta ukiran khat al-Quran berwarna emas. Ini secara langsung dapat mempromosi seni kraf tangan tempatan dari Besut, Terengganu,” ujarnya.

Mesra pengunjung

Azim berkata, reka bentuk bangunan masjid diilhamkan daripada Masjid Negara yang direka bentuk oleh Datuk Baharudin Kassim.

“Perkara pertama terdetik di hati apabila mendapat projek masjid bernilai RM35 juta ini, kami mahu bangunan mesra pengunjung terutamanya warga emas dan orang kurang upaya. Contohnya penyediaan kemudahan lif dan travelator.

“Tempat wuduk di luar dan di dalam masjid disediakan bagi kemudahan jemaah. Air wuduk yang telah digunakan dikitar semula untuk kegunaan siraman tanaman di sekitar kompleks tersebut,” katanya.

Beliau menambah, untuk penambahan masa hadapan, ruang solat terbuka boleh digunakan di bahagian atas bumbung masjid. Panel solar yang akan dipasang kemudian boleh dijadikan tempat teduhan.

Antara kemudahan lain dalam masjid tersebut adalah ruang terbuka solat, bilik tetamu, bilik mesyuarat, bilik kelas, bilik imam, bilik bilal, pejabat urusan, ruang makan, tandas dan tempat wuduk lelaki/perempuan serta bilik urusan jenazah.

Azim berkata, untuk fasa kedua, dewan serba guna boleh digunakan untuk majlis perkahwinan, seminar dan aktiviti sukan dalamam bagi menampung 1,000 orang.

Manakala fasa seterusnya, kuarters dengan reka bentuk kluster berkonsep tradisional, dapat mengeratkan silaturahim kalangan penghuninya.

“Kami menjangkakan projek kompleks Masjid Cyberjaya akan disiapkan sepenuhnya dalam masa sebulan,” katanya.

0 Komentar untuk " Masjid Cyberjaya pertama terima platinum GBI "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ