Kembara jalan kaki bersihkan masjid - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Kembara jalan kaki bersihkan masjid

KUALA LUMPUR - Dalam cuaca panas terik, kumpulan pejalan kaki ‘A Day Without Tomorrow’ (ADWT) dianggotai tiga anak muda berjalan kaki meredah laluan sejauh 43 kilometer dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Kuala Linggi, Melaka.

Sambil menyorong troli berisi beg pakaian, Annas Aiman Jaffry, 27, dan adiknya, Muhammad Aidil Jaffry, 24, beserta rakan karib mereka, Hizamuddin Alidin, 25, membulatkan tekad untuk sampai ke destinasi sebelum azan solat Asar berkumandang.

Jalur Gemilang dan bendera negeri Selangor turut dikibarkan dengan megah di sisi beg.

Tiga anak jati Sabak Bernam, Selangor ini sedang menjalankan misi mengembara ke masjid-masjid di seluruh Semenanjung dengan berjalan kaki, bermula 24 Januari lepas di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz di Shah Alam, Selangor.

Misi perjalanan mereka ialah untuk melawat sebanyak mungkin masjid di seluruh Semenanjung Malaysia sambil menjalankan kerja amal membersih masjid dan melaksanakan ibadah iktikaf.

Dalam masa sama, mereka turut mengambil peluang untuk mengetahui kisah dan sejarah kawasan-kawasan yang dilawati.

Pengembaraan ini dijangka tamat pada Jun ini.

Bila ditanya mengenai kisah di sebalik pengembaraan ini, Annas yang menggalas tugas sebagai jurucakap pasukan memberitahu bahawa sewaktu bekerja sebagai pengawal keselamatan, beliau sering terfikir, mengapa seseorang perlu terperangkap dalam rutin harian yang sama.

Soalan itu juga diajukan kepada rakan-rakan dan ada yang menyatakan bahawa jika mahu melihat dunia, wang adalah perkara utama. Tanpa wang, tiadalah kembara.

Tetapi bila melayari blog pengembara Malaysia seperti Zaharis Khuzaimah dan Rayyan Harries, barulah beliau faham bahawa azam yang kuat adalah perkara paling penting buat seseorang pengembara.

"Saya teruja dan terus jatuh hati mahu mengembara. Tapi jika Zaharis dan Rayyan banyak ke luar negara, saya fikir kenapa tidak saya jelajah seluruh Malaysia? Lagipun orang dari Eropah pun ramai yang sanggup ke sini dan terbukti negara ini banyak destinasi menarik", katanya.

Maka dari situ bermulalah perbincangan antara Annas, Aidil dan Hizamuddin.

Mereka sepakat untuk menjadikan pengembaraan mereka satu jambatan yang mendekatkan diri kepada Allah dan ciptaanNYA.

Yang paling penting, adalah peluang untuk mengenali dengan lebih dekat sejarah dan keadaan tempat-tempat di negara ini, berkomunikasi dengan masyarakat pelbagai latar belakang dan dalam masa yang sama, memberi sumbangan kepada masyarakat melalui kerja amal.

"Tidak pernah terlintas di fikiran kami untuk mencipta sebarang rekod. Kami mahu belajar mengenai alam dan menghargai ciptaan Tuhan yang menguasai alam semesta," tambah Annas.

ADWT turut berharap melalui pengalaman mereka yang dikongsi melalui laman Facebook ‘Ibnu Batutta ADWT’ dapat meningkatkan minat orang ramai untuk melancong di negara sendiri.

Pada peringkat awal, pasukan ini berhasrat untuk mengembara secara berbasikal,malangnya usaha mereka tidak kesampaian dan ini membuatkan ADWT perlu memikirkan cara lain untuk meneruskan niat mereka.

"Waktu berbincang, Hizamuddin menegaskan bahawa kami sudah tidak punya banyak masa. Selepas kami tukar plan kepada kembara jalan kaki, barulah kami sedar bahawa cara ini akan lebih berkesan untuk merapatkan hubungan kami dengan masyarakat".

Pada waktu inilah baru timbul ide untuk memasukkan aktiviti membersih masjid dalam perancangan kami, jelas Annas.

Gagal mendapat tajaan tidak mematahkan semangat ADWT, yang kemudian bersetuju untuk meneruskan kembara mengguna duit poket yang tidak seberapa.

Kerana niat ADWT itu sendiri murni, tanpa disangka, bantuan mula datang mencurah-curah.

Antara yang biasa berlaku ialah bila duduk di kedai makan, kerap sahaja ada yang tolong bayarkan makan dan minum mereka.

Satu lagi pengalaman menarik ADWT ialah sewaktu singgah berehat di satu destinasi, apabila telefon pintar seorang daripada mereka dicuri. Puas mereka mencari tetapi tidak berhasil.

"Malamnya, tiba-tiba datang seorang anak muda memulangkan kembali telefon itu. Beliau mengaku telah mencurinya dan sehingga saat ini kami tidak pasti apa yang menggerakkan hatinya untuk memulangkan semula (telefon),” kata Annas.

Walaupun pengembaraan ADWT kelihatan seperti pengembaraan spiritual, mereka menerima sokongan melampaui sempadan agama dan bangsa.

Sewaktu di Port Dickson, Negeri Sembilan ADWT terpaksa menaiki teksi selepas menziarah Muzium Tentera Darat.Pemandu teksi berbangsa India tidak mengenakan caj tambang sebagai tanda sokongan.

Respon serupa diterima di sepanjang perjalanan bila pemandu kenderaan membunyikan hon sambil melaungkan kata-kata semangat “Malaysia Boleh”, “Satu Malaysia”, dan seumpamanya.

Ada juga anak muda yang memberhentikan kenderaan semata-mata untuk bergambar ‘selfie’ dengan ADWT.

Pihak pengurusan masjid-masjid yang dikunjungi juga sentiasa tidak lokek untuk menghulurkan bantuan dari segi keperluan penginapan, makanan dan kewangan demi menjayakan hasrat ADWT.

Ibnu Batutta, Marco Polo, Laksamana Cheng Ho. Tiga nama besar ini amat terkenal dalam bidang pengembaraan dunia pada masa dalalu. Inilah nama-nama gelaran yang digunakan Annas, Aidil dan Hizamuddin di sepanjang perjalanan ini.

Annas memilih Ibnu Batutta kerana kagum dengan pencapaian pengembara ini merentasi lautan dan merekod perjalanannya.

Adiknya Aidil pula memilih nama kembara Marco Polo sempena sikap lagenda ini yang gemar mencatat perjalanannya secara terperinci.

"Saya juga sedang mencatat kisah perjalanan ADWT. Nanti jika ada rezeki, boleh dijadikan buku agar memberi manfaat kepada orang lain," kata Aidil.

Hizamuddin pula memilih Laksamana Cheng Ho sebagai idola, sempena kejayaan pelayar yang dikatakan orang pertama mengelilingi dunia itu menyebarkan syiar Islam.

"Cheng Ho juga pernah datang ke Tanah Melayu. Jadi nama itu juga adalah simbolik kepada perjalanan kami ini," jelas Hizamuddin.

Melalui perjalanan lebih 30 kilometer sehari, ADWT berharap usaha murni mereka sentiasa mendapat doa daripada seluruh rakyat Malaysia.

Cuaca panas yang sedang melanda negara juga tidak menjejaskan perancangan ketiga-tiga pemuda ini malah ia menaikkan lagi semangat mereka.

Mereka turut menyatakan syukur yang tidak terhingga atas rezeki yang dikurniakan ALLAH yang datang melalui pelbagai pihak.

Untuk sebarang bentuk bantuan boleh hubungi Annas, nombor telefon 017-8723891. - Bernama

0 Komentar untuk " Kembara jalan kaki bersihkan masjid "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ