Malaysia tiada data lengkap khunsa - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Malaysia tiada data lengkap khunsa

Malaysia belum memiliki statistik atau pangkalan data lengkap mengenai khunsa, manusia dua organ kelamin kerana kekurangan kesedaran dan perkembangan maklumat yang sahih mengenai punca, rawatan dan kesan kehidupan golongan ini.

Akibatnya, golongan ini atau ahli keluarga mereka tidak mendapat bantuan, nasihat dan rujukan pakar. Lebih teruk, jika sebahagian mereka mengambil jalan salah dengan menyertai pertubuhan tertentu berkiblatkan Barat dan bertentangan agama.

Laporan eksklusif BH

Pendedahan laporan eksklusif BH mengenai kelompok ini bertujuan menyedarkan masyarakat bahawa masih ada saluran yang betul dan rawatan tertentu bagi membantu khunsa mendapat hak mereka.

Daripada istilah Fiqah, khunsa adalah seseorang yang mempunyai dua alat kelamin iaitu lelaki dan perempuan.

Ulama Fiqah membahagikan khunsa kepada dua (Mohd. Al-Bakri 2011): Pertama, khunsa wadhih; iaitu yang nyata memiliki tanda lelaki atau perempuan dan dapat dibezakan sama ada lelaki atau perempuan ketika bayi oleh warisnya melalui pemerhatian sifat dan ciri alat kelamin atau dari alat yang mana satu tempat keluar air kencing terlebih dahulu dan keduanya, khunsa musykil; iaitu yang mempunyai dua alat kelamin dan air kencing keluar serentak dari kedua-duanya dan identiti jantinanya sukar dibezakan atau hanya dapat dibezakan selepas baligh.

Mengikut pakar sakit puan, Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr Ani Amelia Zainuddin, dari segi perubatan, individu yang mempunyai kecacatan atau abnormal dari segi kromosom (genetik), gonad (iaitu testes atau ovari) atau secara anatomi (kemaluan atau organ pembiakan atau alat reproduktif dalaman) diberikan istilah yang baharu iaitu Disorders of Sex Development (DSD) menggantikan istilah dahulu seperti hermaphrodite atau intersex.

DSD ini pula diklasifikasikan kepada tiga kategori berdasarkan kromosom iaitu, 46, XY DSD, individu dalam kategori ini memiliki kromosom lelaki normal tetapi keabnormalan dari segi gonadnya atau alat reproduktifnya.

Sebagai contoh satu daripada sindrom dalam kategori ini adalah AIS atau Androgen Insensitivity Syndrome iaitu individu ini dilahirkan dengan kemaluan yang menyerupai alat kemaluan wanita, justeru mereka dibesarkan sebagai perempuan. Tetapi mereka mempunyai testis di dalam badan mereka dan tidak mempunyai organ reproduktif dalaman wanita.

Organ reproduktif tak sensitif

Mereka mempunyai kecacatan iaitu organ reproduktif mereka tidak sensitif atau tidak boleh distimulasi oleh hormon lelaki (androgen), oleh itu mereka tidak mempunyai kemaluan lelaki dan selalunya tidak melalui akil baligh seperti lelaki. Mereka juga tidak mengalami haid dan tidak boleh mengandung.

46, XX DSD, individu dalam kategori ini mempunyai kromosom wanita yang normal tetapi keabnormalan dari segi gonadnya atau alat reproduktifnya atau penghasilan hormon. Contohnya adalah CAH atau congenital adrenal hyperplasia. Kanak-kanak CAH yang mempunyai kromosom wanita normal 46,XX dilahirkan dalam keadaan khunsa yang mana kemaluan mereka ada kedua-dua alat perempuan dan lelaki (celaru).

Jika mereka tidak didiagnosa dengan tepat pada peringkat bayi dan menerima rawatan yang betul, mereka mungkin akan dibesarkan sebagai lelaki dan mempunyai perangai seperti lelaki dan mungkin melalui akil baligh sebagai lelaki. Tetapi mereka ini mempunyai alat reproduktif dalaman wanita.

Kecacatan kromosom

Kromosom Seks DSD, individu dalam kategori ini mempunyai kecacatan dari segi kromosom mereka. Contoh seperti Turner's Syndrome yang mempunyai kromosom 45, X (kurang satu kromosom wanita X), atau Klinefelter's syndrome yang mempunyai kromosom 47, XXY (terlebih satu kromosom wanita) dan mixed gonadal dysgnesis yang mempunyai kromosom 45,X atau 46, XY yang mana sebahagian daripada sel-sel badannya mempunyai kromosom 45, X dan sebahagian lain mempunyai kromosom 46, XY. Mereka ini akan mempunyai masalah kemandulan dan mungkin juga masalah kecelaruan identiti jantina.

Kajian akan dijalankan di PPUKM membabitkan pakar perubatan dan syariah untuk mengenal pasti sindrom perubatan untuk diklasifikasikan sebagai khunsa wadhih atau khunsa musykil dan permasalahan serta penyelesaian dari segi fiqah yang mereka mungkin hadapi jika individu ini beragama Islam.

Masalah ini terutama sekali jika ada kecelaruan identiti jantina akan membawa kepada masalah dari segi pengamalan ibadat, penutupan aurat, pewarisan harta dan perkahwinan.

0 Komentar untuk " Malaysia tiada data lengkap khunsa "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ