Koperasi pondok buka lembaran baru - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Koperasi pondok buka lembaran baru

ALHAMDULILLAH, Mesyuarat Agung pertama Koperasi Pembangunan Pondok Malaysia (KPPM) berjalan lancar dan dalam suasana baik serta mesra Sabtu lalu.

Mesyuarat yang diadakan di Sri Pondok, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur, dihadiri lebih 70 bakal ahli, melebihi bilangan minimum 50 orang seperti keperluan peraturan yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Penubuhan KPPM adalah satu tanda aras (milestone) bagi Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM) yang menjelang usia tiga tahun. KPPM bukan sahaja badan koperasi pertama, malah satu-satunya yang ditubuhkan di Malaysia yang mensasarkan warga dan aktivis pondok sebagai ahli dan pemegang saham, walaupun ia juga terbuka kepada orang lain.

Harapan Lembaga Pengarah YPPM yang mengambil inisiatif ini adalah supaya manfaat, hasil dan impak daripada penubuhan KPPM dapat disalur kepada golongan yang bergiat dalam pendidikan Islam dan usaha mendaulatkan agama, khususnya warga pondok.

Seramai 10 orang telah dicalon dan dipilih sebagai Anggota Lembaga KPPM bagi tempoh satu tahun. Mereka semua akan diminta mengikuti kursus di Maktab Koperasi Malaysia di Petaling Jaya untuk melengkapkan diri masing-masing dengan tugas, tanggungjawab dan kewajipan.

Dalam mesyuarat pertama, dipersetujui saya dipilih sebagai Pengerusi KPPM, Juhaidi Yean Abdullah sebagai Setiausaha dan Datuk Seri Amir Hussein sebagai Bendahari.

Perjalanan mesyuarat dan pemilihan Lembaga KPPM dipantau dan diperakui oleh Muhammad Amran Che Abdullah, Penolong Pengarah Kanan Nasional A, SKM Cawangan Wilayah Persekutuan.

Lembaga KPPM yang baru dipilih menetapkan bahawa yuran keahlian ialah RM10 sahaja, manakala nilai setiap satu saham KPMM ialah RM200. Di bawah Undang-Undang Kecil yang diterima pakai, ahli merujuk kepada individu dan bukannya institusi.

Maksudnya, semua warga dalam sesuatu pondok – tok guru, mudir, pelajar yang berusia lebih 18 tahun, warga emas – layak mohon jadi ahli dan beli saham, tapi pondok itu sendiri tidak boleh didaftarkan sebagai ahli koperasi.

Juga dipersetujui bahawa bidang komersial yang akan diceburi oleh KPPM termasuk perkhidmatan telekomunikasi, pelancongan, hartanah, peruncitan dan kewangan. Had pelaburan yang bakal dibiayai oleh kumpulan wang lebihan koperasi tidak melebihi RM20 juta. Had maksimum keterhutangan koperasi juga ditetapkan pada RM20 juta.

Anggota Lembaga sebulat suara bersetuju bahawa jawatan yang dipegang adalah secara sukarela, dan berkhidmat tanpa bayaran. Walaupun dalam koperasi lain, ahli lembaga berhak menerima elaun atau bayaran, kita di KPPM menerima tugas dan tanggungjawab ini sebagai fardu kifayah dan fisabilillah.

Sudah tentu antara cabaran besar kita ialah bagaimana membangun dan memajukan koperasi dari peringkat paling bawah, serta mencari dana untuk menjalankan aktiviti, termasuk perniagaan dan pelaburan yang mana keuntungan daripadanya akan diagihkan kepada semua ahli dalam bentuk dividen.

Mulai sekarang, KPPM akan menjalankan kegiatan mempromosi koperasi dan menambah keahlian. Dengan penubuhannya, KPPM kini menjadi sebahagian daripada keluarga gerakan koperasi di Malaysia yang berjumlah 12,000 buah dengan bilangan keahlian mencecah lapan juta.

Sudah tentu, ini menjadikan koperasi antara gerakan paling berpengaruh. Selain sektor awam dan swasta, koperasi adalah sektor penting yang mampu menjana pendapatan besar kepada negara.

Sebagai satu gerakan, koperasi akan menyambut ulang tahunnya yang ke-100 di Malaysia tujuh tahun lagi. Pada waktu itu, kita berharap KPPM sudah menjadi badan koperasi yang berpengaruh dan disegani.

Tentunya ini menuntut semua ahli lembaga bekerja keras selain sentiasa aktif, kreatif dan konstruktif. Juga sokongan kuat daripada ahli yang menaruh keyakinan kepada keupayaan, keikhlasan dan kepimpinan Anggota Lembaga.

*Datuk Dr Mashitah Ibrahim Pengerusi Eksekutif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia (YPPM)

0 Komentar untuk " Koperasi pondok buka lembaran baru "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ