Street dakwah sekadar Touch & Go? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Street dakwah sekadar Touch & Go?

“APA pendapat Xifu tentang street dakwah?” Biasanya, saya tepis soalan ini dengan menggunakan retorik KPI, “Street dakwah berjaya menyampaikan Islam kepada 20,000 kafirun dalam sehari! Risalah tentang Islam telah disampaikan kepada mereka semua!”

Ayat ini sebenarnya menguji kepintaran penanya. Saya mengajar pemikiran kritis, maka ‘suap jawapan’ kepada para pelajar memang haram! Yang penting ialah pelajar kena belajar tanya soalan yang kritis.

Saya masih ingat seorang pendakwah tanya balik, “Mereka itu kafirun atau mualaf? Mana istilah yang tepat?” Di sini saya ingin menarik perhatian kepada persoalan utama: Apakah “menyampaikan risalah tentang Islam” sama makna dengan “menyampaikan Islam”?

Biasanya, street dakwah dilihat dalam kerangka yang sempit. Menyampaikan Islam maknanya menjadi posmen. Ambil surat, sampaikan kepada penerima. Ambil risalah, sampaikan. Adakah ia sekadar dakwah Touch & Go?

Kalau anda melihat seorang salesman datang membawa risalah tentang produknya semasa anda sedang menikmati hidangan makanan di restoran, apa perasaan anda? Terganggu sikit? Masih ada selera makan?

Sekarang tiba-tiba seorang “pendakwah Touch & Go” datang membawa risalah tentang agamanya. Mesej yang terselit ialah  “Hanya Islam agama yang benar. Kalau kamu tak puas hati, jom debat! Kitab suci kamu banyak percanggahan!” Mana yang lebih menghilangkan selera?

Yang lagi tidak menyelerakan ialah salesman itu menjual produk kuruskan badan tetapi dia sendiri sangatlah kolesterolnya! Street dakwah tidak mengubah wacana umat Islam secara umum.

Umat Islam aktif tapi masih selesa dengan wacana yang sedia ada walaupun perkauman makin serius. Ekstremisme atas nama Islam makin rumit. NGO-NGO dakwah sendiri diam diri bila agama lain difitnah oleh segelintir pendakwah.

Contohnya, fitnah bahawa Holy Water dibuat daripada najis babi dan kencing. Mindset dakwah Touch & Go ialah kami hanya bela hak Islam, bukan hak agama lain. Kalau penganut agama lain buat fitnah pada kami, kami repot polis. Kami saman!

Saya tertanya-tanya mengapa nak buat repot polis dan saman pula? Bukankah dengan mobilisasi beribu tenaga pendakwah jalanan untuk street dakwah sudah cukup untuk hilangkan fitnah itu? Kalau fitnah terhadap sesebuah grup dakwah tidak mampu dihilangkan secara street dakwah, apatah lagi Islamofobia yang jauh bersifat global!

Street dakwah atau dakwah Touch & Go kelihatan sudah menjadi zon selesa bagi sebahagian pendakwah-pendakwah yang ingin play safe tanpa memikirkan masalah dalam konteks wacana yang lebih luas.

Adakah street dakwah mampu mengharmonikan rakyat dan membersihkan imej Islam jika pendakwah kita begitu play safe dan defensif?

Sikap defensif sebahagian pendakwah kita jelas bila tiba isu penyebaran terjemahan al-Quran pelbagai bahasa kepada penganut agama bukan Islam. Mereka memberi alasan bahawa mereka beri terjemahan al-Quran untuk menangani salah faham terhadap Islam.

Isu sekarang ialah siapa yang menimbulkan salah faham? Saya suka wacana yang dibawa oleh Wong Chin Huat dalam artikelnya yang bertajuk “Adakah Umat Islam Malaysia bersedia respons bukan Islam terhadap al-Quran?”

Beliau berkata bahawa memahami Islam tidak semestinya setuju dengan semua ajarannya. Sejauh manakah penganut agama bukan Islam diberi peluang untuk menyuarakan apa yang mereka tidak setuju dengan Islam?

Memang mudah bagi seorang pendakwah untuk petik dalil al-Quran bahawa tiada masalah untuk menyuarakan persoalan kritis terhadap Islam dan menyebarkan bible kepada umat Islam, tetapi adakah ini wacana perdana? Bagaimana terjemahkan pendapat peribadi ini kepada arus perdana?

Saya tidak kata street dakwah tiada manfaat. Saya nampak keikhlasan dan kesungguhan yang hebat daripada NGO seperti MRM, MACMA IPOH, IIS, IDT. Tetapi sebagai pendakwah, kritik bina terhadap strategi dakwah perlu sentiasa dijalankan.

Bagi saya, street dakwah akan lebih berjaya jika tidak dikomersialkan seperti jual ubat tradisional di pasar malam. Tetapi ubat ini akan lebih mendapat sambutan jika terbukti secara praktis kejayaannya.

Buktikan umat Islam umat yang hebat kerana penghayatan Islam, bukan sekadar risalah atau debat tentang Islam sahaja yang hebat.  Menang hujah tidak semestinya menang hati. Sampaikan Islam, bukan risalah, bukan air liur.

* Abdul Naser Tun Rahman tokoh pendakwah Perak

0 Komentar untuk " Street dakwah sekadar Touch & Go? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ