Jaminan laluan kapal bebas daripada ancaman lanun - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jaminan laluan kapal bebas daripada ancaman lanun

Persoalan tentang kerjasama serantau dan antarabangsa dalam usaha mengawal dan membanteras kegiatan lanun di Selat Melaka dan Selat Singapura sering menjadi pokok perbincangan tiga buah negara pesisir di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia. Keprihatinan ketiga-tiga negara itu terhadap persoalan ini adalah jelas apabila negara-negara tersebut mempunyai kepentingan bersama dari segi geo-politik, ekonomi, sosial dan keselamatan.

Artikel ini bertujuan mengenal pasti faktor yang mendorong berlakunya serangan serta percubaan serangan lanun di kedua-dua selat itu.

Antara faktor yang telah dikenal pasti termasuklah kepentingan ekonomi seperti laluan perkapalan di mana kedua-dua selat itu, terutama Selat Melaka adalah laluan kritikal bagi perdagangan dunia. Lebih 100,000 kapal melalui selat itu pada tahun 2004 yang mana bilangannya dijangka meningkat dari tahun ke tahun.

Usaha banteras serangan lanun

Ada pelbagai cadangan dan pandangan yang telah diberikan masyarakat maritim antarabangsa termasuk dari segi perundangan dalam usaha untuk membanteras kejadian tersebut.

Sedar akan kepentingan Selat Melaka sebagai laluan perkapalan paling kritikal dalam perdagangan antarabangsa maka terdapat tiga kaedah atau pendekatan yang diambil berhubung isu kegiatan lanun ini. Pertama, melalui inisiatif dan peranan yang dilakukan Malaysia, Singapura dan Indonesia bagi memastikan Selat Melaka dan Selat Singapura selamat atau bebas daripada ancaman lanun.

Pendekatan kedua membabitkan peranan dan inisiatif yang diambil oleh negara pengguna selat itu seperti Jepun, Korea Selatan, China dan Amerika Syarikat, manakala pendekatan ketiga adalah dari segi perundangan di bawah International Maritime Organisation (IMO).

Selat Melaka yang adalah laluan perkapalan strategik yang menghubungkan negara di Timur dan Barat telah sekian lama berperanan sebagai laluan utama perdagangan antarabangsa sejak zaman Kesultanan Melaka pada abad ke 15. Pada hari ini jumlah kapal yang melalui selat ini semakin bertambah dari semasa ke semasa terutama apabila China mula membuka perdagangannya dan muncul sebagai pasaran utama dunia selain daripada pertumbuhan ekonomi yang pesat yang dialami oleh negara Asia Timur seperti Korea Selatan, Jepun dan Taiwan.

Selain kemunculan China sebagai kuasa ekonomi dunia, faktor lain seperti kestabilan politik turut menyumbang kepada peningkatan bilangan kapal apabila hubungan perdagangan dapat dilakukan dengan selamat serta bebas daripada sebarang ancaman. Selat Melaka juga berperanan sebagai laluan utama kapal tangki yang membawa bahan bakar seperti bahan petroleum dan gas.

Kepentingan laluan Selat Melaka kepada perdagangan dunia dapat dilihat dari statistik bilangan kapal yang melalui Selat Melaka dari tahun 2000 hingga 2005. Perkembangan persekitaran global ekoran kejadian serangan 11 September 2001 ke atas Pusat Dagangan Amerika Syarikat di New York serta pengisytiharan yang dibuat oleh Jawatankuasa Penasihat Perang (JWC) pada bulan Jun 2005 bahawa Selat Melaka adalah salah sebuah daripada 21 kawasan di seluruh dunia yang diklasifikasikan sebagai berisiko tinggi tidak sekali-kali menjejaskan aktiviti perdagangan antarabangsa malahan berlaku peningkatan dari segi bilangan kapal yang melalui nya.

Keselamatan laluan selat penting

Ini jelas menunjukkan keyakinan masyarakat maritim antarabangsa yang tidak dapat menafikan kepentingan kedua-dua selat itu sebagai laluan perkapalan paling kritikal bagi negara perdagangan utama dunia seperti di Asia Timur, Amerika Utara dan Eropah.

Justeru, keperluan memastikan keamanan dan keselamatan di kedua-dua selat itu supaya bebas daripada ancaman serangan lanun serta rompakan bersenjata adalah amat penting bagi menjamin keselamatan penggunanya.

Selain kepentingan ekonomi kepada masyarakat maritim antarabangsa, Selat Melaka dan Selat Singapura juga menjadi tumpuan pelabuhan utama dunia seperti Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Singapura di Malaysia dan Singapura yang mempunyai potensi mendapat ancaman atau percubaan serangan lanun. Kedua-dua buah pelabuhan ini mengendalikan pelbagai jenis kargo yang bernilai termasuk kontena, petroleum dan gas untuk pasaran antarabangsa.

Bagi Malaysia, lebih 90 peratus daripada eksport negara adalah melalui laut, manakala selebihnya adalah melalui udara dan darat. Selain Pelabuhan Klang, Malaysia mempunyai tiga pelabuhan utama lain yang terletak di sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia iaitu Pelabuhan Pulau Pinang di utara dan Pelabuhan Johor dan Tanjung Pelepas (PTP) di selatan.

Semua pelabuhan ini menjadi tumpuan persinggahan perkapalan antarabangsa seperti Maersk, Evegreen dan Orient Overseas Container Line (OOCL) yang menjadikan pelabuhan di Malaysia terutama Pelabuhan Northport, Westport di Pelabuhan Klang dan PTP sebagai pelabuhan pelabuhan penting atau hab yang mesti disinggahi dalam laluan perkapalan mereka.

Dalam pada itu, Singapura adalah sebuah negara yang bergantung sepenuhnya kepada sektor pelabuhannya yang kini adalah pelabuhan kontena paling utama di dunia. Kebolehan pelabuhan ini menyediakan perkhidmatan pengendalian kargo dan kapal secara profesional adalah faktor utama yang mendorong pengguna pelabuhan untuk terus singgah di pelabuhan ini

Selain pelabuhan di Malaysia dan Singapura, terdapat beberapa pelabuhan penting yang terletak di sepanjang pantai Pulau Sumatera, Indonesia seperti Pelabuhan Belawan, Tanjung Balai dan Dumai yang sering menjadi tumpuan serangan serta percubaan serangan lanun.

Dengan perkembangan ini, ia jelas menunjukkan bahawa bilangan trafik di Selat Melaka dan Selat Singapura akan terus meningkat dan seterusnya menuntut kepada kesejahteraan, keamanan dan keselamatan laluan perkapalan tersebut dari sebarang ancaman bagi jangka masa panjang.

Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa kesejahteraan ekonomi negara-negara pesisir terutama Malaysia dan Singapura bergantung kepada kedua-dua selat ini. Selain menjadi tumpuan utama bagi laluan perkapalan dan pelabuhan, kedua-dua selat ini turut menjadi tumpuan pelbagai aktiviti maritim lain seperti perikanan dan pusat rekreasi.

Industri perikanan adalah salah satu sektor utama yang membantu dalam menjana pendapatan Malaysia. Ada dua jenis kegiatan perikanan diusahakan di Malaysia iaitu perikanan pesisir pantai dan perikanan laut dalam.

Di samping itu, terdapat banyak pusat rekreasi yang terletak di sepanjang Pantai Barat Semenanjung Malaysia seperti di Port Dickson, Negeri Sembilan, Melaka dan Pulau Langkawi di Kedah yang sentiasa dikunjungi oleh pelancong domestik dan antarabangsa.

Berbanding dengan kejadian yang berlaku di Selat Melaka dan Selat Singapura, peristiwa serangan lanun dan percubaan serangan di perairan lain seperti di India, Afrika dan Indonesia telah lama meningkat sejak 10 tahun yang lalu.

Daripada analisis yang dilakukan berdasarkan statistik kejadian lanun yang disediakan oleh pihak International Maritime Bureau, IMB pada tahun 2005, antara tahun 1994 hingga tahun 1998 serangan lanun dan percubaan serangan di kedua-dua selat itu tidak pernah menjadi satu isu penting seperti yang berlaku pada hari ini apabila purata jumlah serangan lanun di kawasan berkenaan adalah sebanyak lima serangan sahaja pada setiap tahun.

Singapura iaitu dari satu serangan sahaja pada tahun 1998 kepada 14 serangan dalam tahun berikutnya. Bagi Selat Melaka peningkatan dalam jumlah serangan lanun meningkat hampir 80 peratus pada tahun 2000 berbanding pada tahun 1997 iaitu hanya satu serangan sahaja dilaporkan.


Pasukan penguat kuasa Malaysia, Singapura dan Indonesia membuat rondaan bersama bagi memastikan keselamatan Selat Melaka bebas daripada ancaman lanun.

Kesan krisis kewangan Asia

Peningkatan ini telah mendapat perhatian daripada pelbagai pihak terutama IMO dan masyarakat maritim antarabangsa. Walaupun tidak ada bukti yang jelas, namun peningkatan ini turut dikaitkan dengan kesan krisis kewangan Asia 1997/1998 yang mana negara Asia Tenggara terutama Indonesia telah terjejas teruk dari segi ekonomi.

Berikutan sebahagian besar daripada lanun yang telah dikenal pasti adalah rakyat Indonesia maka ia boleh dijadikan sebagai satu faktor yang menyumbang kepada peningkatan itu.

Selepas tahun 2000 jumlah serangan lanun mencatat penurunan yang stabil terutama di Selat Melaka sebelum meningkat semula pada tahun 2003 dan 2004. Pada tahun 2005 jumlah serangan lanun di kedua-dua selat itu turun mendadak terutama di Selat Melaka dengan 12 kes berbanding 38 kes pada tahun 2004, manakala di Selat Singapura sebanyak tujuh kes serangan lanun dilaporkan.

Mengikut laporan IMB, penurunan yang mendadak ini adalah disebabkan oleh kekerapan pasukan tentera laut Indonesia meronda di kawasan perairan yang kurang menjadi tumpuan serangan lanun dalam Operasi Gurita7 yang dilancarkan pada Julai 2005. Walau bagaimanapun sejurus selepas rondaan diberhentikan percubaan serangan berlaku semula.

Mengikut penganalisis keselamatan, kenaikan harga minyak telah membebankan kerajaan Indonesia untuk mengekalkan kos petrol yang digunakan ketika melakukan rondaan seperti yang dihadapi oleh kerajaan Filipina. Dalam pada itu didapati bahawa kejadian tsunami pada 26 Disember 2004 telah menyumbang kepada pengurangan kejadian serangan lanun di kedua-dua selat berkenaan.

Sementara itu, jumlah kes yang semakin berkurangan juga menunjukkan jumlah serangan lanun di kedua-dua buah selat itu telah mengalami penurunan memberangsangkan pada tahun 2006 iaitu sehingga bulan September tahun itu, hanya enam serangan dan dua percubaan serangan dilaporkan di Selat Melaka dan satu serangan di Selat Singapura.

Rondaan berterusan tiga negara

Pengurangan dalam jumlah serangan ini juga didorong oleh rondaan yang berterusan oleh ketiga-tiga buah negara pesisir iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Terdapat tiga kategori kapal yang melalui Selat Melaka dan Singapura iaitu kapal yang terbabit dalam pelayaran transit melalui kedua-dua selat itu sama ada dari atau ke Teluk Benggala di Barat dan ke Singapura/Laut China Selatan di Timur yang terdiri kapal bersaiz besar seperti kapal tangki, kapal kargo termasuk kontena, kapal kargo pukal, kapal kenderaan dan kapal penumpang.

Keduanya, kapal-kapal tempatan yang terbabit dalam pelayaran singkat antara pelabuhan di Indonesia, Malaysia, Thailand dan Singapura seperti kapal kontena bersaiz kecil, kapal "feeder", kapal penunda dan kapal kargo am.

Kategori ketiga ialah lain-lain jenis kapal yang menggunakan kedua-dua selat itu termasuk kapal perikanan, kapal layar dan kapal penggerudi.

Isu kegiatan lanun adalah satu isu global yang perlu ditangani oleh masyarakat maritim antarabangsa. Walaupun statistik serangan lanun bagi tempoh lima tahun iaitu dari tahun 2000-2005 telah menunjukkan penurunan yang memberangsangkan namun ini tidak bermakna segala aktiviti rondaan dan kawalan yang sedang dijalankan perlu dikurangkan.

Sebaliknya, setiap rondaan dan kawalan perlu dipertingkatkan untuk mengelak sebarang percubaan serangan baru. Jika percubaan serangan ini berjaya sudah tentu ia akan menyumbang kepada peningkatan dalam jumlah serangan sebenar.

Justeru, usaha menangani masalah kegiatan lanun di Selat Melaka dan Selat Singapura bukan sahaja menjadi tanggungjawab negara pesisir semata-mata kerana ia juga adalah laluan perkapalan utama bagi negara perdagangan utama dunia seperti Amerika Syarikat, China, Jepun dan Korea.

Dari segi konvensyen antarabangsa, ada beberapa konvensyen yang berkaitan dengan keamanan dan keselamatan maritim yang boleh diterima pakai untuk membanteras kejadian serangan lanun. Ini termasuklah konvensyen undang-undang laut antarabangsa (UNCLOS), pencemaran laut (MARPOL 73/78), konvensyen keselamatan kehidupan di laut (SOLAS 74) dan mencari serta menyelamat (SAR 79) yang telah ditandatangani oleh hampir semua negara Asia Tenggara kecuali SAR 79 yang hanya ditandatangani oleh India dan Singapura.

Justeru, adalah menjadi tanggungjawab negara Asia Tenggara termasuk Malaysia untuk segera menandatangani konvensyen berkenaan bagi memastikan operasi membanteras lanun dapat dilaksanakan dengan lebih efektif di kedua-dua selat itu.

0 Komentar untuk " Jaminan laluan kapal bebas daripada ancaman lanun "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ