Agama: Bekerja sara keluarga tugas mulia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agama: Bekerja sara keluarga tugas mulia

Modal paling berharga untuk mencari kemuliaan di akhirat ialah bekerja mencari rezeki untuk menyara keluarga. Ikuti kupasan mengenainya oleh Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam Islam Itu Indah.

Tanda cinta pada akhirat adalah menjadikan dunia sebagai alat dan jalan. Caranya, menjadikan setiap yang ditempuh sebagai sumber pahala.

Ustaz Pahrol Mohd Juoi dalam Islam Itu Indah yang bersiaran jam 10.15 pagi di IKIMfm, berkata cara paling mudah untuk meraih pahala daripada setiap tenaga dan masa yang dilalui adalah menerusi pekerjaan. Kerja sebagai amanah, tanggungjawab seorang khalifah kepada Pentadbir seluruh alam.

Jadikan modal di dunia sebagai sebesar-besar keuntungan di akhirat menggunakan kerja dilaksanakan dengan hati. Isu curi tulang menular dalam kalangan kakitangan awam menerusi aktiviti makan dan membeli-belah pada waktu bekerja semakin galak diperkatakan kebelakangan ini.

Persoalannya, adakah umat Islam hari ini sudah tidak mementingkan kerja atau memandang remeh dan enteng pekerjaannya? Pada yang endah tak endah terhadap kerja diamanahkan mungkin sudah tiba masa untuk memikirkan mengenai pahala boleh diperoleh menerusi pekerjaan.

Promosi ini akan memberi gambaran tingginya nilai profesion di sisi Islam sehingga melihat pekerjaan mengikut pandangan yang ditetapkan oleh Allah SWT bukannya pandangan sendiri.

Bina kekuatan untuk bekerja

Bagi mengelakkan cuai dan culas dalam melaksanakan tugasan selain memberi persepsi lebih tepat mengenai kerja, Pahrol menggariskan beberapa perkara untuk membina kekuatan serta anjakan paradigma. Kerja adalah ibadah dan sangat berkaitan dengan tujuan hidup, justeru kerja membawa kepada ketaatan kepada Allah SWT.

Jelaslah kerja itu ada nilai pahala dan jika tersilap langkah dalam pelaksanaannya akan bertukar menjadi dosa. Maka wujudlah nilaian syurga dan neraka pada pekerjaan. Jika kerja dikaitkan syurga akan wujud tanggapan kerja itu penting.

Meskipun kerja dilakukan di dunia tetapi impaknya berkekalan di akhirat. Jika syurga dan neraka menjadi ukuran, maka akan termansuh pandangan remeh terhadap sesuatu pekerjaan.

Selain itu, kerja dan profesion yang dijawat adalah satu tanggungjawab khalifah yang berkait tujuan hidup manusia sebagai wakil ditugaskan Allah SWT mengurus tadbir dunia ini dengan agama. Sebagai khalifah, semestinya tugas untuk memberi kebaikan kepada orang dan makhluk lain.

Kerja adalah landasan untuk melunaskan tanggungjawab sebagai khalifah. Memetik sabda Rasulullah SAW dalam menghayati kerja sebagai cara menyumbang kebaikan: "Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat pada manusia."

Sesungguhnya cara untuk mendapatkan kebaikan adalah dengan memberi kebaikan terlebih dahulu. Kebaikan dan manfaat ini boleh direalisasikan menerusi pekerjaan dilakukan.

Sesungguhnya setiap manusia yang lahir ke dunia telah berjanji dengan Allah SWT di alam roh untuk memikul amanah yang diingatkan berkali-kali menerusi bacaan doa iftitah ketika menunaikan solat. Berjanji untuk amanah menerusi kerja sebagai bukti pelaksanaan amanah itu.

Amanah itu berat kerana berkait dengan iman. Jika berlaku pecah amanah atau khianat dalam tugasan, bukan hanya melanggar etika kerja dan aku janji dengan majikan, malah lebih daripada itu telah melanggar aku janji kepada Allah SWT.

Secara tidak langsung, ia memberi kesan terhadap iman kerana salah satu ciri orang munafik adalah khianat atau curang apabila diberi amanah. Ternyata elemen gaji, surat amaran dan surat tunjuk sebab bukan fokus utama pelaksanaan kerja tetapi elemen amanah itu jauh lebih penting.

Sumber raih cinta Tuhan

Kerja juga penting sebagai sumber memperoleh kecintaan daripada Allah SWT. Hiraki cinta tertinggi yang mesti diraih dan digapai semestinya cinta kepada Allah SWT. Apabila wujud cinta kepada Allah SWT, secara automatik segala-galanya akan menjadi milik kita.

Tetapi sebaliknya, segala-galanya dimiliki tanpa cinta Allah SWT akan hilang. Bagi meraih cinta Allah SWT dengan pekerjaan hendaklah kerja dibuat seelok-eloknya bagi menepati sabda Rasulullah SAW: "Bahawa Allah suka apabila seseorang daripada kamu membuat sesuatu kerja dengan memperelokkan kerjanya." (Riwayat Baihaqi)

Ada tiga tangan yang dicium oleh Rasulullah SAW iaitu tangan pertama adalah tangan Sa'ad bin Mua'adz. Diriwayatkan daripada Anas bin Malik, ketika pulang dari perang Tabuk', Rasulullah SAW bertemu Sa'ad bin Mua'adz Al Anshari lalu berjabat tangan. Rasulullah SAW melihat tangan Sa'ad bin Mua'adz yang kulitnya kehitam-hitaman dan melepuh seperti terpanggang, Kemudian Rasulullah bertanya: Apa yang terjadi dengan tanganmu? Sa'ad menjawab: Wahai Rasulullah, aku menggunakan tanganku untuk mengolah tanah dengan cangkul, untuk menafkah keluargaku dengan halal sehingga tanganku tebal dan kasar. Rasulullah SAW pun mencium tangan Sa'ad bin Mua'adz Al Anshari sebagai penghormatan seraya berkata: Tangan ini tidak akan disentuh api neraka."

Rasulullah SAW mencium tangan Mu'adz bin Jabal r.a yang kasar dan tebal juga disebabkan bekerja untuk menyara keluarga. Tangan itu sangat dicintai oleh Allah SWT dan Rasul-Nya.

Terakhir adalah tangan puteri Baginda, Saidatina Fathimah az-Zahra. Tangannya juga kasar dan keras tetapi Baginda dengan penuh perhatian mencium tangan puterinya kerana tangan itu digunakan untuk bekerja keras menggiling gandum menyiapkan makanan bagi kedua-dua puteranya serta suami.

Dalam meraih cinta Allah SWT melalui kerja, kita boleh mengamalkan beberapa doa antaranya doa Nabi Ibrahim: "Ya Allah aku pinta cintaMu. Aku pinta cinta orang yang mencintai-Mu dan aku pinta cinta kepada sesuatu yang membawa kepada kecintaan-Mu."

Akhir sekali, lakukan kerja untuk mendapatkan keampunan Allah SWT. Terdapat dosa yang akan di ampunkan jika kita minta ampun, ada dosa yang akan di ampunkan oleh Allah SWT apabila bertaubat. Ada dosa yang diampunkan tanpa minta ampun mahupun bertaubat iaitu dosa kecil letih bekerja, waktu petang dosanya akan diampunkan.

Usah biarkan gaji yang kecil membawa bersama pahala yang kecil, biar bergaji kecil asalkan pahala besar di sisi Allah SWT. Usah jadikan diri dungu, terjun ke dalam jurang kebinasaan yang dimasuki oleh orang atasan yang tidak punya rasa tanggungjawab pada dirinya sendiri apatah lagi orang lain.

* Penulis adalah Penerbit Rancangan Kanan IKIMfm

0 Komentar untuk " Agama: Bekerja sara keluarga tugas mulia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ