Rangka pelan bertindak kurangkan kemusnahan banjir - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Rangka pelan bertindak kurangkan kemusnahan banjir

Bencana banjir di Kelantan, Pahang dan Terengganu pada akhir tahun lalu dikatakan banjir paling besar pernah dialami penduduk di Pantai Timur. Kelantan seakan lumpuh, segala pengalaman dan persediaan berhadapan banjir selama ini seperti tidak dapat digunakan.

Berdasarkan curahan hujan ketika berlakunya banjir, ada yang mentafsirkan ia seperti peristiwa yang berlaku sekali dalam 1,000 tahun. Ada juga menyatakan mungkin sekali dalam 5,000 tahun! Yang jelas, kebanyakan mangsa berusia lebih 50 tahun menyatakan 'inilah paras banjir paling tinggi pernah mereka alami'.

Saya sempat melakukan tinjauan di beberapa tempat yang teruk di landa banjir. Saya mudik menyusuri Sungai Galas dari Kuala Krai sehingga ke Dabong. Di kiri dan kanan tebing sungai, tanda dan kesan banjir masih jelas kelihatan.

Saya juga sempat meneliti beberapa lokasi terimpak di kuala, bahagian tengah dan hulu Sungai Lebir berhampiran Taman Negara Kelantan. Pada masa sama, saya sempat melawat beberapa kampung, pekan dan bandar yang di landa banjir teruk. Antaranya, Kuala Krai, sekitar Dabong, Manik Urai Lama, Kampung Bahagia dan Gua Musang Lama.

Ketinggian paras banjir

Sungai Kelantan, khususnya cabang utamanya seperti Sungai Galas dan Sungai Lebir adalah alur sungai terbentuk oleh proses banjir yang berulang. Paras dasar sungai berada pada aras 10 hingga 15 meter di bawah dataran limpah (dikenali juga dataran banjir) yang mana kebanyakan penempatan dibina.


Stesen motor galah terapung dan tangga ke dataran banjir.

Sungai yang bertebing curam ini boleh menampung aliran air deras serta kenaikan paras air sehingga 15 meter ketika musim tengkujuh. Peristiwa banjir lumrah di lembangan ini, pada musim banjir sebelum ini, paras air hanya sampai satu sehingga dua meter di atas dataran banjir.

Penduduk di pesisir Sungai Kelantan cukup faham dan bersedia dengan fenomena banjir yang melanda hampir setiap tahun. Mereka menyediakan rumah rakit sebagai stesen motor galah yang terapung mengikut perubahan paras air. Dari paras sungai biasa ke dataran banjir, mereka sediakan tangga batu atau kayu untuk berjalan menaiki tebing sungai.

Rumah mereka pula biasanya di atas tiang dan mempunyai loteng untuk menyimpan barangan ketika musim banjir. Tidak hairanlah, kebanyakan penduduk di sini tidak mahu berpindah ketika air banjir masih meningkat naik.

Ketinggian paras air di atas dataran banjir kali ini sangat luar biasa. Di pekan lama Kuala Krai, paras air berada pada ketinggian lebih lima meter (satu setengah tingkat rumah kedai), di Dabong paras banjir mencapai lebih 10 meter di atas dataran banjir sehingga hampir semua rumah dua tingkat tenggelam.

Keadaan sama berlaku di pekan Manik Urai dan Gua Musang. Di kebanyakan penempatan, kawasan rendah di antara bukit menjadi alur banjir baharu dan air terus naik dari pelbagai arah. Ramai yang tidak menduga air banjir boleh naik begitu tinggi dan ternyata mereka tidak bersedia untuk menghadapi fenomena terbaharu ini.

Punca kemusnahan besar

Hujan yang luar biasa lebatnya telah menyebabkan paras banjir tertinggi pernah direkodkan. Sememangnya dalam alur sungai kelajuan air meningkat, tetapi pada dataran limpah, kelajuan aliran air sepatutnya berkurangan kerana kawasan dilimpahi semakin meluas.

Sepanjang pesisir sungai, khususnya di kawasan berliku, rempuhan air banjir boleh memusnahkan binaan yang kurang kukuh, tetapi lazimnya tidak untuk infrastruktur berat seperti jambatan dan binaan konkrit. Banjir kali ini berbeza, kemusnahan seakan berlakunya tsunami atau empangan pecah. Mengapa?

Banyak faktor yang boleh menyumbang kepada kemusnahan besar ini. Sebagai seorang ahli sains, saya berminat mencari jawapan dan menjelaskan berdasarkan beberapa penelitian lapangan. Satu pemerhatian penting ialah air banjir mengandungi kuantiti lempung, lodak, pasir dan debris (tumbuhan dan kayu kayan) yang luar biasa banyaknya.


Tangga Bradley (Tangga Krai) dibina pada tahun 1927 untuk mengukur paras banjir di Sungai Kelantan.

Kuasa pemusnah utama ialah keupayaan kandungan beban terampai (terutama lodak dan debris) yang dibawa bersama oleh air banjir meroboh dan mengangkut harta benda.

Ramai beranggapan kerja pembersihan hutan seperti aktiviti pembalakan dan pertanian menyebabkan kerosakan besar ketika banjir. Tidak dapat dinafikan aktiviti ini telah menyebabkan kadar hakisan tanah meningkat ratusan kali ganda. Apa yang berlaku ialah setiap musim hujan, lodak dan pasir akan diangkut dan diendapkan ke dasar sungai.

Longgokan pasir yang banyak akan menyebabkan sungai menjadi semakin cetek, sementara lodak sebagai beban terampai menyebabkan sungai sentiasa berwarna teh susu. Ketika banjir besar, kuantiti pasir dan lodak (lumpur) yang tinggi sememangnya disumbangkan oleh proses pembersihan hutan ini.

Ramai yang tidak menyedari ketika hujan lebat berpanjangan, banyak tanah runtuh dan aliran debris berlaku di kawasan berbukit dan pergunungan di hulu sungai. Saya dapat perhatikan ratusan tanah runtuh berlaku di sepanjang jalan dan lereng bukit di kawasan hulu Sungai Lebir dan Galas.

Proses ini telah membawa tanah, batuan dan debris masuk ke anak sungai atau dari tebing sungai. Ketika paras air sungai meningkat, kuantiti debris yang sangat banyak ini berupaya menghakis tebing sungai dan meningkatkan lagi jumlah lumpur dan tumbuh-tumbuhan yang terapung dalam air banjir. Hakisan tebing dan kuantiti debris yang terapung dalam air banjir menjadi penyebab utama pemusnahan yang besar musim banjir kali ini.

Geomorfologi sungai dan lokasi kawasan penempatan juga mempengaruhi kuasa pemusnah banjir besar. Kuala Krai ialah tempat pertemuan Sungai Lebir dan Galas, sementara Dabong pula tempat pertemuan Sungai Galas dan Pergau. Pastinya, dua lokasi ini mengalami impak banjir terbesar kerana tempat pertembungan air banjir dari dua sungai utama.

Kita sudah boleh menduga di lokasi ini, air banjir boleh naik dengan mendadak dan kuasa pemusnahnya juga sangat tinggi berbanding di kawasan lain.

Langkah pengurangan risiko

Banyak yang boleh kita pelajari daripada pengalaman banjir besar kali ini. Jika tiada sebarang tindakan adaptasi dan tebatan, kita bakal mengalami bencana banjir lebih besar 100 atau 1,000 tahun akan datang! Soalnya, banyak mana dana yang mampu dicurahkan di lembangan Sungai Kelantan atau sungai besar lain untuk mengelakkan bencana banjir besar berulang?

Saya percaya jika kita memahami fenomena banjir besar tahun lalu, banyak tindakan kecil dan sederhana secara berterusan boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko banjir.

Kelantan umpamanya, perlu ada dasar, perancangan dan pelan tindakan mengurangkan risiko banjir yang mantap. Pelan ini perlu diintegrasi dengan pelan pembangunan sosial dan ekonomi supaya ia dapat dilaksanakan secara berkesan dan berterusan.


Sebahagian besar tebing Sungai Lebir terhakis teruk.

Berikut adalah beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian:

1) Kemerosotan kualiti alam sekitar menjadi punca utama kejadian bencana dan kemusnahan besar harta benda akibat banjir. Aktiviti pembersihan hutan dan pertanian perlu dirancang dan diurus secara berhemah untuk meminimumkan impak alam sekitar. Kawasan bertebing curam tidak boleh diteroka dan perlu dibiarkan dalam keadaan tabii. Zon penampan sepanjang persisir sungai perlu diperkenalkan untuk menghindar daripada proses hakisan tebing dan kemusnahan penempatan penduduk.

2) Kaji semua kawasan dilanda banjir yang mengakibatkan kemusnahan harta benda. Dapatkan jawapan kepada apakah punca atau kuasa pemusnah? Apakah punca ini dapat dihindarkan pada masa hadapan? Apakah ada cara untuk meminimumkan risiko bencana banjir berulang? Rancang proses pemulihan berasaskan kepada jawapan yang tepat dan keupayaan jangka panjang.

3) Beberapa bandar, pekan dan kampung dinaiki air banjir perlu dikaji dengan teliti. Ada yang ketinggian air banjir mencapai 15 meter. Apakah punca sebenar paras banjir boleh naik setinggi itu? Bolehkah kita menerima hakikat banjir begini berulang? Jika bandar atau pekan ingin dikekalkan di tempat asal, apakah langkah mitigasi yang boleh dilaksanakan untuk menghindar bencana banjir akan datang? Perlu ada perancangan pembaharuan bandar.

4) Banyak kawasan yang kurang sesuai untuk penempatan dan selalu berhadapan dengan banjir telah dibangunkan secara sah atau haram. Apakah tindakan yang perlu dilakukan kerajaan atau penduduk itu sendiri? Dasar menghindar penempatan di kawasan berisiko bencana banjir tinggi perlu diwujudkan. Beberapa penempatan dan perkampungan perlu dipindahkan di kawasan lebih selamat secara segera dan beransur-ansur.

5) Kebanyakan jambatan dibina merentasi sungai dan cabang Sungai Lebir dan Galas telah ditenggelami air banjir mencapai hingga lima meter. Ada jambatan yang rosak, ada pula bertahan dan menjadi penghalang laluan air banjir sehingga menyebabkan kampung berhampiran mengalami bencana teruk. Reka bentuk jambatan baharu perlu mengambil kira fenomena paras banjir terbaharu dan jambatan sedia ada perlu diganti dengan yang reka bentuk baharu secara beransur.

Belajar daripada bencana

Kita perlu belajar daripada bencana banjir besar terbaharu untuk berhadapan dengan peristiwa banjir masa hadapan. Tahniah kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana berpandangan jauh menyediakan dana RM20 juta untuk mengkaji bencana alam, khususnya bencana banjir besar tahun 2014.

Ahli akademik perlu mengambil peluang melaksanakan seruan ini dan memberikan jawapan yang sangat diperlukan oleh kerajaan dan masyarakat. Marilah kita bersama mengamalkan budaya mengurangkan risiko bencana.

Penulis ialah Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu dan juga Ketua Kluster, Sumber Asli dan Alam Sekitar, Majlis Profesor Negara

0 Komentar untuk " Rangka pelan bertindak kurangkan kemusnahan banjir "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ