Dari pasar malam ke butik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Dari pasar malam ke butik

FENOMENA membeli-belah secara atas talian (online) terus menjadi trend sehingga melahirkan ramai usahawan baharu dengan menawarkan pelbagai produk.

Bagi pemilik Butik Zunastailista, Mazlina Mahmud berkata, permintaan yang tinggi daripada perniagaan online menyebabkan dia mengambil peluang membuka butik dari rumah di Kota Warisan Sepang, Selangor.

Menurutnya, butik tersebut dijadikan sebagai pusat sehenti kepada pelanggan dan pengedar untuk mendapatkan koleksi pakaian Muslimah direka sendiri oleh Zunastailista.

“Pembukaan butik di rumah ini merupakan langkah permulaan bagi kami memperkenalkan jenama Zunastailista kepada umum dan sekali gus memenuhi impian memiliki perniagaan pada satu hari kelak,” katanya yang merupakan graduan Universiti Teknologi  Mara, (UiTM), Sarawak.

Bermula di pasar malam

Mazlina berkata, sebelum mempunyai butik di rumah, dia dan suaminya, Mohd Zulfadli Mohd Sidek berniaga kecil-kecilan di pasar malam.

“Pada waktu itu, kami menjual pakaian lelaki di beberapa pasar malam di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Kajang dan Bangi; Selangor.

"Bagaimanapun, pada 2010, saya lihat ada peluang perniagaan pakaian Muslimah menjadi fenomena dan mempunyai permintaan tinggi, dan mencubanya,” katanya.

Pada awalnya, Mazlina berjinak-jinak menjadi ejen menjual jubah dan blaus, tetapi melihatkan potensi pakaian Muslimah boleh pergi jauh, dia membuat rekaan jubah sendiri dan blaus yang boleh ke pejabat.

“Saya memulakan langkah berani dengan mereka jubah dan menghantar ke kilang di Kajang bagi pengeluaran pukal 200 helai.

"Ketika itu kami tidak mempunyai jenama sendiri dan menjual koleksi jubah tersebut kepada rakan-rakan dan saudara-mara terdekat,” katanya.

Tambahnya, jualan jubah tersebut mengambil masa kerana tidak ada strategi perniagaan yang betul.

"Saya giat mempromosikannya melalui media sosial. Alhamdulillah, sambutan yang diterima menggalakkan dan kini, saya sudah mempunyai lapan rekaan,” katanya.

Tambahnya, setakat ini, jumlah keluaran Zunastailista adalah 500 helai jubah melibatkan satu rekaan sahaja.

Meminati bidang perniagaan sejak belajar, Mazlina bercita-cita sebagai ahli perniagaan terkenal seperti Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, iaitu ikon ahli perniagaan Bumiputera.

Tambahnya, Jakel Trading merupakan syarikat Bumiputera  yang banyak membantu Zunastilista Venture mendapatkan fabrik berkualiti tinggi dan rujukan selok-belok perniagaan berkaitan tekstil.

"Setakat ini, Zunastailista mempunyai lapan rekaan yang dijual dengan harga RM130 sehingga RM159 sepasang. Selain rekaan jubah yang menggunakan kain Valentro Satin dan Cifon Itali, saya juga menjual blaus, skirt labuh, selendang dan menerima tempahan pukal bagi pakaian Muslimah.

“Kini, suami saya juga tidak ketinggalan dalam menghasilkan rekaan pakaian lelaki yang dijenamakan sebagai Zunamen seperti kemeja, jubah dan kemeja kurta memandangkan terdapat banyak permintaan daripada kaum adam,” katanya.

Tambahnya, kesukaran yang pernah dialami dalam bidang ini mendorong Zunastailista menyediakan khidmat nasihat fabrik dan jahitan pukal kepada peniaga pakaian Muslimah dengan harga berpatutan.

“Sehingga kini, permintaan jahit pukal daripada peniaga lain amat tinggi dan Zunastailista juga telah menjadi konsultan tetap butik a artis tempatan,” katanya.

Cabaran yang dihadapi

Kekangan modal adalah masalah utama yang dihadapi, namun Zunastailista tidak membuat pinjaman daripada mana-mana institusi kewangan.

“Saya menggunakan wang simpanan sendiri untuk berniaga dan keluarga kedua-dua belah pihak banyak membantu kami,” katanya.

Mazlina berkata, masalah mencari kilang yang sesuai untuk menjahit jubah juga menjadi perkara yang penting kepadanya.

“Sepanjang berniaga, banyak kilang telah diberikan kepercayaan untuk menjahit jubahnya. Pelbagai masalah yang timbul antaranya tidak dapat menyiapkan tempahan seperti yang dijanjikan, kain yang ditempah hilang dan kos upah tinggi,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia tidak berputus asa untuk mencari kilang yang terbaik dan akhirnya kini Zunastailista bekerjasama dengan sebuah kilang di ibu kota dalam pengeluaran koleksi pakaian jenama Zunastailista dan pengeluaran jahitan pukal untuk syarikat lain.

Sasaran 2015

Mazlina berkata, tahun 2015 beliau mahu meluaskan perniagaannya dengan modal RM240,000.

“Setakat ini, Zunastailista mempunyai 10 ejen antaranya di Johor, Melaka, Lembah Klang dan dari negara jiran iaitu Singapura. Zunastailista mengalu-alukan rakan niaga seluruh negara yang berminat menjana pendapatan bersamanya.

“Melihat kepada perkembangan perniagaan online, saya meluaskan pasaran dengan menjadi salah seorang vendor di Butik Gemlike Ayer@8, Presint 8, Putrajaya. Pemilihan lokasi Putrajaya kerana kuasa membeli tinggi,” katanya.

Katanya, rumahnya sendiri menjadi butik mini dan studio, ternyata konsep diketengahkan begitu eksklusif yang terletak di Kota Warisan.

Melihat momentum perniagaan Zunastailista Venture pada awal 2015 amat di luar jangkaan, Mazlina dan suami akan membuka sebuah butik yang dinamakan Zuna Concept di Putrajaya.

0 Komentar untuk " Dari pasar malam ke butik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ