Khidmat pengangkutan awam perlu selari kenaikan tambang - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Khidmat pengangkutan awam perlu selari kenaikan tambang

Beberapa hari lalu, penulis baru saja berbual dengan sahabat lama yang sudah empat bulan berhenti kerja dan kini menjadi pemandu teksi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Katanya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dia banyak menghabiskan cuti hujung minggu dengan bekerja secara sambilan dan hasilnya jauh lebih tinggi berbanding gaji bulanan diterimanya.

Jika hanya bekerja lapan hari sebulan sudah mampu meraih lebih dua kali ganda gaji bersih (RM1,500) yang diterima, bayangkan jika bekerja sepenuh masa. Tentunya lumayan dan lebih banyak masa bersama keluarga. Itu teksi di KLIA yang mungkin berbeza dengan teksi bandar dan di tempat lain yang ada kumpulan sasar penumpang berbeza. Tetapi fokusnya tetap kepada soal pengangkutan awam menggunakan teksi bermeter dan berkupon.

Cetus reaksi negatif

Sehari selepas itu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) membuat kejutan mengumumkan kadar kenaikan tambang pengangkutan awam bas ekspres (22.6 peratus) dan teksi (20 hingga 67 peratus) sehingga mencetuskan rasa gusar rakyat serta reaksi negatif banyak pihak.

Penetapan harga baharu itu dilakukan selepas kali terakhir semakan kadar tambang bas ekspres dan teksi pada tahun 2009 berikutan kenaikan kos termasuk penyelenggaraan, insurans dan kos sara hidup. Namun semalam, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta SPAD mengkaji semula perkara ini dan itu bermakna harga baharu berkenaan mungkin tidak akan dilaksanakan mengikut jadual asal pada 15 Mei ini atau kadarnya akan dikaji semula.

Kita faham, persatuan teksi dan bas ekspres ada alasan tersendiri kenapa perlu menaikkan harga, begitu juga dengan SPAD yang menyokong dengan alasan ia memperkukuhkan aspek penguatkuasaan dan pendekatan bersasar bagi pengguna jarak jauh.

Kadar baharu itu cuma tertakluk kepada teksi di Lembah Klang, Johor Bahru, Johor dan Pulau Pinang. Tetapi ketiga-ketiga kawasan itulah terletaknya lubuk manusia yang dahagakan perkhidmatan awam berkualiti dan sentiasa berperang dengan kesesakan serta mengejar masa. Berdasarkan statistik kajian SPAD pada tahun 2013, corak penggunaan teksi di Lembah Klang mendapati 70 peratus daripada mereka menggunakan teksi bagi jarak perjalanan kurang 10 kilometer (km) manakala 30 peratus bagi jarak melebihi 20 km.

Kejutan kepada pengguna

Bagi penulis, pengumuman itu satu kejutan kepada ratusan ribu pengguna kerana ketika rakyat bersiap sedia menanti kehadiran dan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bermula 1 April ini, mereka ditambah dengan elemen kejutan yang baharu.

Memang kita akui, SPAD juga perlu mengambil kira nasib pemandu teksi dan pengusaha bas ekspres yang menanggung peningkatan pelbagai kos tetapi mungkin masanya tidak sesuai, bahkan jumlahnya agak tinggi kerana kadarnya mencecah sehingga 67 peratus.

Apa pula jaminan pengusaha teksi dan bas ekspres mereka akan menyediakan perkhidmatan setaraf dengan tambang baharu? Rasanya pengguna juga perlukan sesuatu elemen baharu, bukannya cuma harga baharu tetapi kualiti tetap lapuk. Apa salahnya jika pemandu teksi memastikan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan baik, sistem pendingin hawa berfungsi dengan baik dan paling penting, jangan sesekali merokok di dalam teksi walaupun ketika tiada penumpang.

Bayangkan bau asap rokok itu jika bercampur dengan pendingin hawa, memang meloyakan sedangkan pengguna membayar tambang dengan harapan mendapat sedikit keselesaan, bukannya bau hapak ditambah pula dengan pengalas kaki yang tidak pernah ditukar, tempat duduk yang lusuh dan koyak.

Lebih manis, jika pemandu teksi kelihatan segak dengan memakai pakaian seragam ditetapkan, bukan sekadar menyarung kemeja tanpa mengenakan butang dengan alasan memakainya kerana terpaksa. Sekadar perbandingan- ketika mengunjungi Chiang Mai, Thailand bulan lalu, penulis kagum dengan sikap dan penampilan pemandu teksi di sana. Berpakaian kemas, kemeja biru dimasukkan ke dalam seluar, mesra dan cukup ringan tulang membantu memasukkan barang ke dalam teksi.

Tentunya pengguna di Malaysia juga mengidamkan perkara sama serta perkhidmatan yang selesa. Paling penting jangan sesekali menipu penumpang dengan mengenakan caj tambahan termasuklah berdegil tidak mahu menggunakan meter. Bayangkan, pengguna dari Stesen Titiwangsa yang hendak ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) yang jaraknya cuma 1.2 km akan dikenakan RM10 jika menggunakan teksi tanpa meter sedangkan harga sepatutnya RM3.17 atau RM3.25 (harga baharu) jika menggunakan meter.

SPAD sendiri mengakui perkara itu dan kesal kerana pemandu mengenakan caj melampau atas alasan kononnya tambang ditetapkan kerajaan terlalu rendah sedangkan penumpang sepatutnya membayar mengikut kadar meter. Penulis percaya, jika semua pihak bergerak selari dengan keputusan dicapai secara muafakat dan mengambil kira kepentingan semua pihak, ia membantu menaikkan taraf serta kualiti pengangkutan awam di Malaysia.

0 Komentar untuk " Khidmat pengangkutan awam perlu selari kenaikan tambang "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ