Pencapaian wanita Malaysia diiktiraf dunia - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Pencapaian wanita Malaysia diiktiraf dunia


Sempena Hari Wanita Antarabangsa

Saban tahun Hari Wanita Antarabangsa (HWA) diraikan di pelosok dunia, pada 8 Mac mengikut cara yang tersendiri. Matlamat utamanya adalah untuk memberi pengiktirafan kepada pencapaian wanita tanpa mengira agama, budaya, kaum, bahasa, politik dan ekonomi.

Ia juga disambut bagi mengenang kembali segala usaha dilakukan oleh pejuang wanita sebelum ini dan tidak ketinggalan, selain meneroka potensi serta peluang untuk generasi akan datang.

Mengikut sejarah, HWA bermula seawal tahun 1909 di New York oleh Parti Sosialis Amerika sebagai tanda penghormatan kepada 1,908 buruh wanita yang bekerja di kilang.

Wanita ketika itu memprotes persekitaran kerja yang dikatakan tidak memihak kepada mereka. Hasil daripada beberapa usaha peringkat antarabangsa, Hari Wanita Antarabangsa disambut pada 19 Mac 1911 di Austria, Denmark, Jerman dan Switzerland bagi menunjukkan sokongan dan penghargaan kepada wanita. Sambutan itu dihadiri oleh lebih sejuta wanita dan lelaki dari 17 negara.

Hak wanita diutarakan seperti hak untuk bekerja, mendapatkan latihan dan pendidikan, mengundi, memegang jawatan dalam kerajaan dan menghapuskan diskriminasi dalam pekerjaan. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengisytiharkan 8 Mac setiap tahun sebagai tarikh sambutan HWA mulai tahun 1975 sehingga kini.

Kecemerlangan wanita Malaysia

Di Malaysia, sambutan ini dianjurkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Jabatan Pembangunan Wanita (JPW). Sambutan penuh kemeriahan itu diadakan setiap tahun dan pelbagai program dirancang untuk memberikan kesedaran, pengiktirafan dan sokongan, terutama kepada wanita.

Komitmen kerajaan sentiasa berterusan bagi memastikan wanita bergerak seiring pembangunan negara dan setara pencapaian wanita antarabangsa.

Wanita cemerlang melihat setiap halangan sebagai peluang mengasah potensi diri supaya sejajar dengan tema HWA tahun ini, iaitu Make It Happen, supaya terus melakar kejayaan dalam pelbagai bidang.

Make It Happen atau 'Jadikan Kenyataan' membawa maksud menggalakkan tindakan yang efektif oleh segenap lapisan dalam memaju dan mengiktirafkan peranan wanita supaya setiap perancangan dapat direalisasikan.

Peranan KPWKM

Pelbagai usaha dilakukan KPWKM untuk memperkasakan agenda wanita di persada antarabangsa, antaranya penubuhan Majlis Penasihat dan Perunding Wanita (MPPW).

MPPW adalah badan penasihat dan perunding utama kepada kerajaan dalam pelbagai bidang mengenai pembangunan wanita, selaras dengan Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita. Dengan penubuhan MPPW, agenda wanita negara akan lebih dan fokus. Sumbangan wanita diukur dengan lebih objektif.

KPWKM sedang melaksanakan Flexible Working Arrangements (FWA) dalam kalangan warga kerja KPWKM dan agensi. FWA ini membabitkan pegawai lelaki dan wanita. Pelaksanaan masih peringkat perintis, iaitu dari Mac hingga Mei 2015.

Pelaksanaan FWA ini bertujuan menyediakan persekitaran work-life balance kepada pegawai, meningkatkan kaedah pengurusan tekanan dalam kalangan pegawai di rumah dan tempat kerja, meningkatkan kecekapan serta keberkesanan pelaksanaan tugas oleh pegawai secara outcome-based dan menambah baik prestasi dan disiplin pegawai.

Pelaksanaan FWA lebih jelas memberikan impak maksimum kepada ibu bekerjaya untuk mengimbangkan antara tuntutan kerjaya dengan tanggungjawab menguruskan keperluan keluarga.

KPWKM melalui NAM Institute for the Empowerment of Women Malaysian (NIEW) juga melaksanakan dasar sekurang-kurangnya 30 peratus wanita pada peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat. Ia langkah affirmative kerajaan yang diyakini dapat meningkatkan bilangan wanita pada peringkat pembuat keputusan dalam sektor korporat, seterusnya membolehkan mereka meningkatkan sumbangan dalam bidang ekonomi.

Mengikut laporan 'Hays Asia Salary Guide 2015' yang baharu dikeluarkan, Malaysia menduduki tangga kedua di rantau Asia selepas China, tetapi mendahului pencapaian Hong Kong dan Singapura. Sebanyak 34 peratus daripada jawatan pengurusan di Malaysia diisikan oleh wanita berbanding dengan China (36 peratus), Hong Kong (31 peratus) dan Singapura (27 peratus). Pencapaian ini menunjukkan dasar ini melepasi sasaran yang ditetapkan Perdana Menteri dan langkah yang dilaksanakan bagi merealisasikannya, sudah membuahkan hasil.

Dr Zeti ikon wanita

Hari ini, ramai wanita sudah mengungguli bidang masing-masing sama ada peringkat tempatan mahupun global. Contohnya, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Akhtar, adalah penggubal dasar, ketua bank pusat dan tokoh yang sangat luar biasa. Kecemerlangannya terus terukir di dalam dan peringkat antarabangsa.

Berdasarkan kepemimpinannya, beliau mengemudi ekonomi negara setanding negara lain di dunia, termasuk berjaya mengharungi saat genting ketika berhadapan krisis kewangan.

Pada 13 September 2010, Zeti terpilih sebagai antara Ketua Bank Pusat Terbaik Dunia oleh majalah Global Finance. Sikap berdedikasi beliau terhadap tadbir urus yang baik, Dr Zeti diiktiraf dunia dalam penyatuan kewangan serantau dan pengantarabangsaan kewangan Islam.

Baru-baru ini beliau menerima anugerah daripada 'Wharton Dean's Medal' dari The Wharton School of the University of Pennsylvania, iaitu penghargaan tertinggi kepada alumni universiti terbabit yang membawa impak besar kepada ekonomi Asia dan global.

Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Bhd, Aireen Omar, diberi kepercayaan menerajui syarikat penerbangan tambang murah. Beliau baru sahaja dipilih antara 25 Wanita Perbendaharaan Paling Berpengaruh oleh majalah The Corporate Treasurer, di Singapura.

Lahir lebih ramai tokoh wanita

Pengiktirafan itu menyuntik semangatnya untuk terus menerajui industri penerbangan yang penuh cabaran dan berharap akan dapat mengekalkan posisi sebagai syarikat penerbangan terbaik dunia dalam semua aspek, terutama fungsi korporat seperti perbendaharaan dan kewangan.

Justeru, meskipun ada lagi nama wanita Malaysia yang cemerlang, ia sepatutnya diperhebatkan lagi dengan melahirkan lebih ramai tokoh yang menjadi kebanggaan negara.

Bagi merealisasikan impian itu, wanita perlu tanamkan tekad yang tinggi bagi mencapainya. Setiap kejayaan memerlukan perancangan teliti. Jangan bertangguh mengambil tindakan yang betul bagi merealisasikan impian itu.

Kementerian akan sentiasa memastikan kejayaan pembangunan wanita menjadi kenyataan selaras agenda pemerkasaan dan pengupayaan wanita mendepani agenda utama dalam setiap Rancangan Lima Tahun Malaysia. Agenda ini sangat jelas digariskan dalam Dasar Wanita Negara dan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita.

Setiap kejayaan memerlukan perancangan teliti. Jangan bertangguh untuk mengambil tindakan yang betul bagi merealisasikan impian agar ia menjadi kenyataan.

0 Komentar untuk " Pencapaian wanita Malaysia diiktiraf dunia "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ