Aeroangkasa sebagai bidang pertumbuhan baharu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Aeroangkasa sebagai bidang pertumbuhan baharu

KUALA LUMPUR - Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) memilih industri aeroangkasa sebagai bidang pertumbuhan baharu yang akan dipromosikannya.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Azman Mahmud berkata, ekosistem aeroangkasa yang sedia ada di Malaysia menyediakan peluang yang baik bagi industri itu untuk terus berkembang.

Azman berkata, sokongan dan insentif bagi industri itu adalah selaras dengan Rangka Tindakan Aeroangkasa Malaysia, pelan tindakan strategik yang disediakan menerusi Perkhidmatan Perniagaan Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA), yang merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Kita sedang bergerak menuju ke arah menjadi hab aeroangkasa penting. Tumpuan semasa ialah kepada perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) penerbangan serta mengembangkan perkhidmatan kejuruteraan tulen.

Tahun lepas sahaja, pelaburan langsung yang diluluskan untuk aeroangkasa hampir dua kali ganda kepada RM682 juta, yang meliputi pelaburan yang diluluskan dalam bidang pembuatan dan MRO, berbanding RM387.3 juta pada 2013," katanya pada taklimat media selepas merasmikan persidangan aeroangkasa anjuran MIDA di sini hari ini.

Berbanding hab negara jiran, Azman berkata, Malaysia mempunyai kekuatan sendiri dan kelebihan perbandingan dalam industri aeroangkasa serantau.

"Malaysia mempunyai lebih banyak ruang, kos menjalankan perniagaan di sini lebih baik dan negara ini menawarkan struktur kos yang lebih baik," katanya sambil menambah bahawa dalam jangka panjang, syarikat akan melihat Malaysia secara lebih positif dari segi struktur kos.

Terdahulu dalam ucapannya, Azman berkata Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk mengukuhkan ekosistem aeroangkasa ketika negara memperhebat usaha untuk melanjutkan keupayaan teknologi dan inovasi.

"Kita sudah pun berada di barisan hadapan dalam beberapa pasaran, termasuk reka bentuk komposit dan pembuatan, reka bentuk komponen pesawat dan pembuatan, avionik dan reka bentuk sistem dan pembuatan.

"Ini dibuktikan oleh peningkatan jumlah peserta global yang telah membuat pelaburan dalam bidang ini, seperti GE Engine Services Malaysia, Honeywell Aerospace Services, Spirit AeroSystems, Messier-Bugatti Dowty Malaysia, Singapore Aerospace Manufacturing (SAM) dan Hexcel Corporation," kata Azman.

Persidangan setengah hari itu dianjurkan dengan kerjasama United Technologies Corporation (UTC), sebuah konglomerat multinasional Amerika dalam industri aeroangkasa dan bangunan komersil.

Ia adalah hasil daripada penglibatan MIDA dengan UTC di Farmington, Connecticut semasa misi pelaburan oleh MIDA pada September 2014 yang turut melibatkan penyertaan 150 peserta, termasuk 80 bakal pembekal daripada industri aeroangkasa Amerika Syarikat dan Asia.

MIDA juga akan mengambil bahagian pada Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2015, menerusi program seperti forum mengenai industri aeroangkasa dan sesi rantaian pada 17 dan 18 Mac.

0 Komentar untuk " Aeroangkasa sebagai bidang pertumbuhan baharu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ