Variasi segmen jadi taruhan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Variasi segmen jadi taruhan

SUDAH 11 tahun radio UNIUTAMA FM Universiti Utara Malaysia (UUM) ini ditubuhkan. Sepanjang tempoh itu, banyak pencapaian telah diperoleh, salah satunya, pendengar setia UNIUTAMA FM bukan sahaja dari Malaysia, tetapi ia meliputi seluruh dunia.

Paling membanggakan lagi, beberapa anugerah telah diraih seperti Anugerah Kelab Paling Aktif, Anugerah Kelab Terbaik dan Anugerah Saluran Informatif Terbaik. Penganugerahan berkenaan sekurang-kurangnya telah membuktikan kredibiliti UNIUTAMA FM di mata dunia.

Pengarah, Pusat Budaya Dan Seni, Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UUM, Huzaidy Hussain berkata, kejayaan UNIUTAMA FM sememangnya di luar dugaan. Namun ia tidak mustahil untuk digapai kerana usianya sudah lebih sedekad beroperasi.

Katanya, kejayaan tersebut adalah hasil kerja keras semua pihak yang sentiasa memberi yang terbaik untuk pendengar. Malah, kerajinan, kegigihan dan komitmen yang tidak berbelah bahagi itu adalah faktor utama radio ini diterima ramai.

Mengulas tentang segmen, Huzaidy berkata, segmen memainkan peranan penting bagi sesebuah radio. Untuk memastikan segmen itu berkualiti, setiap satu daripadanya harus dirancang dan disusun rapi supaya sesuai dengan waktu siaran dan kehendak pendengar.

"Maklum balas daripada pendengar akan diambil kira juga supaya pengubahsuaian dan cara penyampaian radio lebih sesuai dengan isu semasa dan terkini. Selain segmen, perancangan dan pelaksanaan promosi juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan populariti radio," katanya kepada Kampus.

Menurut Huzaidy, UNIUTAMA FM menyediakan 12 segmen sepanjang seminggu bersiaran. Antara segmen yang dikeudarakan adalah Diari UUM, Yang Elok Itu Budi, Pilihan Anda, Motivasi dan Karier, Berita Tengah hari, Gerbang Islam, Sukan, Ringgit Anda, Misteri Alam, Kesihatan Kita, Bersama Tokoh dan Jauh Perjalanan.

"Bersama Tokoh, Pilihan Anda dan Jauh Perjalanan adalah segmen yang paling dapat sambutan dan kita percaya serta yakin segmen-segmen lain juga mempunyai bilangan pendengar setianya yang tersendiri," katanya sambil menambah tagline radio kampus ini adalah Informasi Minda Anda.

Mengimbas kembali sejarah UNIUTAMA FM, Huzaidy berkata, penubuhannya adalah hasil ilham Prof Datuk Wira Dr Mohamed Mustafa Ishak, Naib Canselor, UUM, yang pada itu menjawat  Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar).

Pada permulaannya, radio ini disiarkan melalui gelombang siaran tetapi memandangkan kos yang tinggi maka siaran diadakan melalui internet. Konsep penyiaran adalah Edutainment iaitu di samping mendidik, ia juga memberikan hiburan kepada pendengar.

Pilihan terbaik

Seramai 32 penyampai radio terlibat dalam mengendalikan operasi siaran radio UNIUTAMA FM ini. Setiap penyampai radio akan dibahagikan segmen mengikut pilihan mereka.

Huzaidy berkata, barisan DJ UNIUTAMA FM terdiri daripada penuntut UUM dan mereka berkhidmat tanpa sebarang bayaran upah. Kiranya mereka ini bertugas secara sukarela dan ada antaranya juga ingin mengembangkan bakat semula jadi yang ada pada diri masing-masing.

Tambahnya lagi, penyampai radio seperti DJ Ahmad Shamil Abu Bakar dan DJ Muhammad Rafi'uddin Ja'afar akan bertugas mengikut waktu mereka tiada kuliah. Walau bagaimanapun, jadual bertugas turut dibekalkan kepada mereka sebagai rujukan untuk bertugas di konti nanti.

Sepanjang penubuhan UNIUTAMA FM, Huzaidy beritahu, ramai bakat baru telah dilahirkan hasil daripada penglibatan mereka dalam radio kampus ini.

"Mior Abdul Malek Raiyani, Taha Rusydi Mohd Nazri, Hazlin Hussain, Moh Faiz Othman dan Ridah Malanjang merupakan bekas DJ UNIUTAMA FM. Kini, mereka telah berkhidmat di TV3, Radio IKIM dan RTM Sabah. Pengalaman mengendalikan UNIUTAMA FM cukup mematangkan mereka dan banyak perkara yang telah dipelajari.

"Sebagai salah seorang yang terlibat sama dalam radio ini, saya cukup berbangga kerana dapat mencungkil bakat mereka," katanya.

Akhir sekali, untuk meningkatkan kemahiran dan kecekapan barisan DJ UNIUTAMA FM mengendalikan segmen masing-masing, satu lawatan penanda aras ke beberapa stesen radio telah dilakukan.

Setakat ini, lawatan yang diadakan sekali setahun itu telah melawat Hot FM, Era FM, Sinar FM, Klasik FM dan Hitz FM. Ia bertujuan untuk menjadi sumber rujukan dan menambahkan kemahiran mereka dalam kerjaya sebagai DJ radio.

0 Komentar untuk " Variasi segmen jadi taruhan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ