Khidmat masyarakat di Kemboja - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Khidmat masyarakat di Kemboja

JAWATANKUASA Kebajikan Siswa-siswi Asrama (Jaksa) Kolej Kediaman Nilam Court (KKNC) sesi 2013/2014, Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) menggariskan beberapa dasar untuk memacu kecemerlangan legasi kepimpinan; salah satu daripadanya adalah pengantarabangsaan.

Sebagai salah satu badan pelajar peringkat kolej kediaman, KKNC juga bertanggungjawab dalam membina hubungan siswa-siswi di peringkat antarabangsa. Pilihan negara untuk dikunjungi adalah kemboja, di sekitar Kampot (selatan Kemboja) dan Phnom Penh.

Pengembaraan ini adalah pelengkap kepada program sokongan yang berupaya memberi nilai tambah kepada pembangunan kemahiran insaniah penuntut yang bakal melahirkan mereka yang berfikiran kritis dan inovatif.

Kami memilih kawasan ini kerana sangat sesuai untuk menyahut matlamat Global Islamic Students Outreach (Giso) selaras menjayakan khidmat masyarakat dari sudut sumbangan tenaga dan ilmu  dan melaksanakan misi dakwah.

Seramai 14 ahli (enam siswa, lapan siswi) jaksa KKNC 2013/2014 terlibat dalam program Jejak Ekplorasi Pembangunan Insan Kemboja (JEPIK'14).

Ia juga disertai pegawai pengiring, Ustaz Muhammad Izuan Abd Ghani selaku Felo KKNC. Program JEPIK'14 ini berlangsung lima hari.  Kami juga telah dibantu wakil Dana Madrasah Kemboja dari Malaysia, Jasmi Jantan. Jasmi membantu membawa kami ke kampung dan madrasah serta rumah anak yatim untuk memudahkan urusan dan kelancaran program.

Pembangunan secara rohani

Pasukan Dana Madrasah Kemboja atau lebih dikenali Team DMK berpegang kepada prinsip banyak pihak membina bangunan, tetapi sedikit yang membina insan.

Ia amat bersesuaian dengan tema program social resposibility beyound boundaries. DMK ditubuhkan untuk membantu pendidikan awal di Kemboja terutama di selatan (Wilayah Kampot, Kep) yang terdiri lebih 5,500 keluarga Muslim yang hidup dalam kedaifan.

Mereka sentiasa memperbaiki sistem pendidikan Islam dengan konsep memberi pancing kepada penduduk Muslim. Team DMK juga mengelolakan beberapa projek pertanian, penternakan dan hartanah dari kewangan, pembangunan insan dan pengurusan madrasah.

Kami juga terlibat melakukan aqiqah dua ekor lembu dan seekor kambing. Penerapan pembelajaran Islam dimulakan dengan mengajar iqra’ kepada guru-guru dan para pelajar, aktiviti mewarna, aktiviti memberi makan anak yatim, menganyam ketupat riben, aktiviti menghiaskan tadika dan kelas.

Ia juga melibatkan aktiviti ziarah keluarga angkat, fardhu ain, penyerahan sumbangan waqaf quran terjemahan bahasa kemboja, penyerahan sumbangan buku-buku iqra’, penyerahan sumbangan pensel warna, sumbangan pakaian, dan penyerahan sumbangan wang tunai untuk pembangunan madrasah.

Untuk aktiviti mengajar iqra’, kami ke madrasah Prai Tenong dan Kampung Mat Prang Thbong. Kami ajar guru-guru kaedah mengajar menggunakan sistem Iqra’. Mereka juga menyediakan penterjemah yang boleh berbahasa Melayu dan Inggeris bagi memudahkan komunikasi.

Pengerusi JAKSA KKNC Sesi 2013/14, Mohd Lutfi Shakimi juga menyerahkan sumbangan buku-buku iqra' kepada guru-guru. Di kampung Mat Prang Thbong, kami mengajar mereka baca dan kenal huruf alif sehingga ya menggunakan buku iqra’.

Pengajian iqra' bersama pelajar dikendalikan Shahirah Abu Shafian selaku Timbalan Pengarah Program JEPIK’14 dan penuntut lain yang dipantau ahli Jaksa. Untuk aktiviti aqiqah, ia berlangsung di Akademik Imam Syafie dan Kampung Mat Prang Thbong. Kami bangga semua lembu dan kambing aqiqah disembelih pelajar Usim sendiri.

Seekor lembu disembelih Mohammad Hazim Hossin dan kambing oleh Mohd Lutfi Shakimi di Akademik Imam Syafie. Kami meneruskan perjalanan ke Kampung Mat Phrang Thbong untuk menyembelih seekor lagi lembu aqiqah yang disempurnakan, Mohammad Afiq Farhan Mazlan.

Kanak-kanak seronok

Seterusnya, kami mengadakan aktiviti mewarna di Kampung Mat Prang Thbong dan Madrasah Dairul Aitam yang menempatkan pelajar lelaki anak yatim. Lebih kurang 120 pelajar di Kampung Mat Prang Thbong dan 100 anak yatim di Dairul Aitam yang terlibat. Pihak kami menyediakan hadiah satu set pensel warna serta wang tunai untuk 10 pemenang.

Mereka terharu dengan aktiviti ini kerana ada yang pertama kali melihat pensel warna dan terima hadiah lumayan. Kami juga menyerahkan sumbangan pensel warna kepada kampung dan madrasah ini untuk kegunaan para pelajar mereka.

Berbekalkan duit sumbangan orang ramai di Malaysia, kami juga dapat menyediakan makanan istimewa untuk anak yatim di Daitul Aitam untuk makanan tengah hari. Mereka berasa teruja dan sentiasa menyebut perkataan 'cengan', bermaksud sedap.

Kami juga mengajar orang Kemboja dan guru-guru tadika menganyam ketupat riben sebagai hiasan kelas. Mereka diajar menghias kelas dengan ketupat yang baru dibuat dan menggantungkan kad wuduk  yang telah disiapkan dari Malaysia.  Madrasah dan tadika yang dihias adalah Madrasah Prai Tenong.

Selain itu, kami mengamalkan konsep pembangunan insan secara rohani dengan mengajar mereka cara mengambil wuduk dan bersolat dengan betul di Kampung Mat Phrang Thbong.

Peserta juga membetulkan bacaan mereka. Seramai 120 pelajar terlibat yang dibahagikan kepada enam kumpulan. Aktiviti terakhir ialah melawat kampung Muslim di kawasan Kampung Phrang Thbong.

Rombongan menyusuri jalan tanah merah yang penuh air untuk masuk ke kampung ini. Kebanyakan rumah dibina tinggi untuk mengelak banjir. Kami berkenalan dengan keluarga angkat dan beramah mesra. Walaupun datang menziarahi,  mereka tetap rasa gembira dan ada penduduk kampung yang menitiskan air mata kerana terharu.

Akhir sekali, kami menyerahkan sumbangan waqaf al-Quran terjemahan bahasa Kemboja daripada rakyat Malaysia kepada Ustaz Sulayman. Disertakan juga sumbangan pakaian, wang tunai untuk pembangunan madrasah di bawah dana Madrasah Kemboja oleh Pengarah Program yang diwakili Jasmi Jantan mewakili DMK.

0 Komentar untuk " Khidmat masyarakat di Kemboja "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ