Belajar gaya hidup berbasikal - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Belajar gaya hidup berbasikal

SERAMAI dua warga kerja Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan lima penuntut UKM yang terdiri daripada Kelab Berbasikal UKM dan Kelab Ekorelawan UKM mengadakan Kayuhan Amal dan Sihat (Kasih 3) selama tujuh hari bermula 7 hingga 13 September 2014, di sekitar bandar Melbourne, Australia.

Tujuan utama program adalah membuat kajian terhadap konsep dan kaedah pengurusan berbasikal di Melbourne sebagai persediaan memupuk warga UKM untuk lebih prihatin terhadap isu kelestarian alam sekitar dengan mewujudkan Eco Health Track dan juga melaksanakan kutipan amal untuk didermakan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Malaysia, Yayasan Anak Warisan Alam (YAWA) yang memperjuangkan isu pembangunan alam sekitar.

Hari pertama pasukan Kasih 3 sempat mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Majlis Perancangan dan Pembanguan di Melbourne, Ken Ong. Beliau adalah rakyat Malaysia yang dilantik pihak Melbourne.

Majlis pelepasan Kasih 3 disempurnakan Konsulat Jeneral di Melbourne Datuk Dr. Mohamad Rameesz Yahaya di pekarangan Konsulat Malaysia di Jalan St Kilda. Seterusnya pasukan Kasih 3 berkayuh bersama Persatuan Pelajar Malaysia Hall ke Malaysia Hall, terus ke St Kilda dan sekitar Pantai Binston.

Kayuhan juga diteruskan ke pekarangan Universiti Melbourne, RMIT, Melbourne Exabition Centre, Melbourne Aquarium, DFO dan Victoria Market. Pada masa sama pasukan Kasih 3 sempat ke Pusat Sukan Antarabangsa Darebin, tempat atlet berprestasi tinggi dalam acara basikal Malaysia berlatih.

Cetus idea berkayuh

Naib Presiden Kelab Berbasikal UKM, Bisharuzi Omar berkata, idea berkayuh di Melbourne tercetus hasil daripada program kokorikulum pelajar, iaitu Kayuhan Amal dan Sihat (Kasih 1) ketika beliau berkursus Introduction to CSR @ Experience yang dianjurkan Australian Centre for Corporate Social Responsibility (ACCSR) pada 2011.

Beliau amat kagum dengan sistem laluan berbasikal di Melbourne dan berhasrat membawa budaya ini ke UKM Bangi. Pengarah Program Kasih 3 yang merupakan penuntut tahun dua, Fakulti Kejuruteraan dan Senibina (FKAB) UKM, Mohd Yushaile Yusof berkata, dengan menyertai Kasih 3 dia menimba pelbagai pengalaman yang tidak dimiliki mahasiswa UKM lain.

Katanya, proses pembelajaran bermula sejak hari pertama menjadi peserta Kasih 3 iaitu dari segi pengurusan, kerjasama berkumpulan, komunikasi dan perbagai softskill lagi yang tidak dapat di dewan kuliah.

"Dengan tujuan menjalankan kajian di Melbourne, saya berpeluang mengenal komuniti Malaysia di Melbourne dan memahami sistem pengurusan basikal lebih terperinci oleh ahli Majlis Perancang Bandar Melbourne, Ken Ong.

"Ken beri penerangan yang amat berguna dengan gambaran yang jelas kepada kami dalam usaha mengkaji budaya berbasikal serta sistem pengurusan," katanya.

Ujarnya, dengan melihat tram yang beroperasi di tengah jalan bersebelah laluan kereta dan basikal, dia mulanya hairan bagaimana mereka menguruskan sistem pengangkutan dengan cemerlang serta peratusan kemalangan yang kecil.

"Secara peribadi saya kagum dengan mentaliti rakyat Melbourne yang mampu mendidik individu mematuhi undang-undang," katanya.

Bagi Ketua Pengarah Program Kasih 3, Tengku Muhammad Adidddudin Shah pula, program ini adalah anjakan paradigma yang dilakukan mahasiswa terhadap pelbagai sudut kemahiran dan berjaya menyentuh lapan citra yang dibawa Naib Canselor UKM.

Katanya, objektif program adalah mengumpul kajian bagi mewujudkan sistem pengurusan dan laluan berbasikal di dalam kampus, sekali gus menjana ekonomi UKM serta meningkatkan kemahiran sukarelawan terutama aspek kelestarian alam sekitar.

"Projek ini juga dilihat mampu menjadi wahana prima kepada projek yang bakal dilaksanakan terutama aspek kesukarelawan, sukan dan mobiliti walaupun terpaksa menempuhi pelbagai dugaan," katanya.

Berbasikal sebagai riadah

Selaku Pengarah Teknikal Kasih 3,  Mohd Faisal Mohamad berkata, pengalaman ini membuka mata kita terhadap negara yang mengamalkan konsep berbasikal dalam kalangan masyarakat. Melbourne adalah bandar yang mempraktikan penggunaan basikal dan riadah.

"Bila idea dan perlaksanaan digabungkan menjadikan bandar ini digelar bandar sukan. Begitu juga lahirnya jaguh-jaguh dunia dan atlet berbasikal ternama Malaysia, yang berkelana menimba ilmu dalam acara berbasikal di Melbourne," katanya.

Bagi peserta pula, mereka menimba pengalaman bernilai kerana turut berkayuh sejauh 150 kilometer (km) sepanjang Pantai Melbourne dan sekitar bandar CBD Melbourne.

Aktiviti ini akan digunakan untuk mengaplikasikan segala data bagi tujuan perlaksanaan eco health track, di UKM. Projek ini adalah salah satu contoh projek pelajar yang diikiraf Pusat Citra UKM dan diperakui pengurusan tertinggi UKM.

BISHARUZI OMAR
Naib Presiden Kelab Berbasikal UKM

0 Komentar untuk " Belajar gaya hidup berbasikal "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ