Asah bakat dalam kepemimpinan - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Asah bakat dalam kepemimpinan

PENGALAMAN terlibat dalam pelbagai persatuan menjadikan Ahmad Naqiuddin Mohamad, 22, tidak senang duduk sekiranya tiba waktu cuti semester. Jelasnya, sikap suka turun padang dan buat kerja menjadikan dia sentiasa mencari peluang untuk menyertai mana-mana persatuan mahupun program sama ada dianjurkan kolej atau universiti.

"Saya jarang balik kampung sewaktu cuti semester. Waktu lapang ini saya gunakan untuk sertai apa-apa aktiviti yang saya kira boleh membantu memotivasikan lagi saya untuk masa depan," akuinya.

Dia adalah penuntut tahun tiga, jurusan perakaunan, Universiti Teknologi Mara (UITM) Shah Alam yang dipilih sebagai Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (YDP) (MPP) sesi 2014/2015.

Anak kelahiran Tanah Merah, Kelantan ini juga menggalas amanat penting sebagai Yang Dipertua Perwakilan Kolej (Perindu), kolej kediaman yang terletak dalam kampus Shah Alam untuk penghuni lelaki.

Mesra membahasakan dirinya dengan panggilan Qiu, anak ketiga daripada enam adik-beradik ini mengakui dirinya seorang yang kemas dalam berpakaian, dan ringan tulang menawarkan bantuan.

"Saya akan rasa bosan, jika tidak melakukan apa-apa aktiviti, sebab itu masa cuti, saya gunakan dengan aktiviti luar, kerana itu saya banyak terlibat dalam persatuan luar dan dalam universiti," katanya yang juga Presiden Himpunan Siswazah anak Kelantan, (Himsak).

Peluang asah bakat

Menceritakan kisah penglibatannya sebagai pucuk pimpinan tertinggi di kolej dan universiti, dia akui, semunya tidak disengajakan.

"Bagi saya inilah peluang keemasan penuntut di insititusi pengajian tinggi (IPT) untuk tunjuk bakat, melalui kemahiran ini ia beri kebaikan bukan sahaja kepada diri sendiri, senang untuk dapat kerja dan nilai tambah di alam kerjaya nanti," katanya.

Menurutnya, penglibatan dalam pelbagai bidang menjadikan dirinya lebih mudah bawa diri. Inisiatif ini juga dianggap sebagai membentuk penuntut lebih berdikari, boleh membuat keputusan dan berpendirian.

Tambahnya, dia berhasrat mengubah perspektif penuntut untuk lebih terbuka, dan tidak menganggap hanya dewan kuliah sahaja medan menuntut ilmu.

"Ada penuntut yang kurang ambil tahu tentang dunia luar, kelompok mereka hanya kolej, kelas dan kafe, jadi dengan amanah yang ada, saya berazam untuk menukar corak pemikiran mereka kepada lebih meneroka dunia luar.

"Pasaran kerja perlukan graduan yang lebih berdaya saing, jika tahap keyakinan kurang, pasti wujud jurang dan ini menyukarkan mereka untuk mengisi peluang pekerjaan," katanya.
Ujarnya, dengan menggunakan landasan yang tepat, universiti juga bukan sahaja melahirkan cendekiawan, malah bakal pemimpin yang bijaksana.

"IPT medan untuk melatih diri sendiri, belajar dari kesalahan dan perbaiki untuk dijadikan pengajaran masa depan. Daripada pengalaman inilah dijadikan bekalan untuk memimpin masa depan," katanya yang tidak takut dikritik.

Berpolitik secara matang

Menyentuh aspek kepimpinan pula, dia lebih suka terima kritikan daripada pujian yang dianggap sebagai motivasi  untuk lebih cemerlang pada masa depan.

Bersama barisan kepimpinan yang lain, Qiu berazam untuk mengajak siswa-siswi kenali istilah mahasiswa selengkapnya.

"Ramai yang mengaitkan mahasiswa dengan pelajaran semata-mata, walhal, proses pembelajaran itu luas dan untuk menjamin kebolehpasaran yang tinggi, penuntut perlu faham istilah mahasiswa itu sendiri. Perlu lebih terbuka, bermotivasi tinggi dan bijak mengambil peluang.

"Begitu juga peranan MPP, kami berhasrat menyemai keyakinan kepada penuntut selain menuntut ilmu, universiti juga salah satu cabang menimba pengetahuan untuk bekalan masa depan. Mahasiswa berwawasan adalah individu  yang sentiasa ada inisiatif, berpendirian, dan berpandangan jauh," katanya.

Qiu juga melahirkan pendapat tersendiri ketika mengulas soal politik kampus. Katanya, politik  di kampus adalah permulaan untuk penuntut mengenal apa itu dunia politik. Bezanya ia dikendalikan pelajar.

"Bagi saya politik kampus amat penting kepada siswa-siswi untuk latih diri bersuara guna saluran yang betul.

"Ini harus dijadikan platform untuk lebih matang melontarkan pendapat dan  salah satu proses pembelajaran luar dewan kuliah yang tidak semua orang rebut peluang keemasan itu," katanya.

0 Komentar untuk " Asah bakat dalam kepemimpinan "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ