Jais warnai legasi GPMS - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jais warnai legasi GPMS

“NAK masuk universiti, kenalah baca buku lima jam sehari,” kata Shahril Rejab, fasilitator Kem Bina Insan, di Sungai Tukun, Telok Bahang, Pulau Pinang pada 1988.

Umpama kata-kata ajaib, ia terus meresap masuk dalam minda dan hati peserta termuda dalam program tersebut. Sejak itu, hatinya terdorong untuk menjadikan buku sebagai teman baik.Personaliti yang dimaksudkan ialah Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Jais Abdul Karim, 42.

“Mulanya, susah nak membaca dalam sejam. Tapi dek semangat tinggi nak masuk universiti, akhirnya mudah bagi saya untuk menghabiskan masa 5 jam itu setiap hari.

“Saya membaca hampir kesemua buku di perpustakaan di Pulau Pinang. Antara buku yang terkesan di hati ialah Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck, penulisan Dr Prof Hamka.

“Buku tersebut mengenai percintaan, sifat mahu merantau untuk cari ilmu dan kekayaan. Oleh itu saya tekad bila dewasa, ikut cara itu,” katanya yang telah melancong lebih 20 negara secara bajet, bersama isteri tercinta juga rakan sekelasnya di tingkatan 6, Julaila Samsudin.

Graduan lulusan undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ini mula mengenal GPMS sejak di tingkatan 3, Sekolah Menengah Tanjung Bungah (SMTB). Gurunya, Cikgu Ibrahim Yaakub dan Cikgu Shuib (guru disiplin) mahu Jais sertai program Kem Bina Insan yang mampu mengubah sikap lebih positif.

“Hasil bimbingan GPMS, saya memperoleh keputusan baik di tingkatan tiga dan memasuki kelas aliran sains sebagai pelajar tunggal lelaki Melayu dalam kelas tersebut.

“Allahyarham bapa, Abdul Karim Ibrahim dan ibu, Jamilah Othman ialah pendorong utama saya. Mereka menghadiahkan meja baca apabila melihat kesungguhan saya belajar,” ujar bekas Ketua Pengawas dan Pengerusi Persatuan Islam di SMTB.

Di tingkatan 6 di SMK Panglima Bukit Gantang (SPBG), Parit Buntar, Perak, Jais dilantik sebagai ketua pelajar. Pada masa itu, beliau dan rakan-rakan sekelas berjaya menggerakkan GPMS Cawangan Parit Buntar dan menubuhkan GPMS Cawangan Nibong Tebal (1992).

Galak bermasyarakat

Membesar dalam persekitaran kampung yang terdedah dengan gejala sosial dan masalah kekangan kewangan, ia tidak pernah melunturkan semangat belajar Jais untuk berbasikal ke sekolah sejauh 5 km dan berniaga kecil-kecilan bagi menampung keperluannya.

“Saya juga menghargai jasa Allahyarham Pak Omar, Ketua Umno Kampung Tanjung Tokong, yang menyediakan tuisyen dan dibantu guru berpengalaman secara sukarela seperti Cikgu Iskandar Azmi Merican dan Cikgu Khairul Aman.

“Kami dibawa sertai kursus motivasi di Universiti Sains Malaysia, bawah seliaan Allahyarham Cikgu Idris. Masjid Karwa menjadi tempat saya mengulangkaji pelajaran,” ujar Tokoh Belia Negeri Pulau Pinang 2012 ini.

Jais pernah bergiat dalam kepenggunaan dalam program Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) di bawah bimbingan Cikgu Azmi Abdul Hamid. Prinsip “hidup mesti berbuat” diterapkan Cikgu Azmi banyak mempengaruhi Jais ketika berusia 16 tahun, dari segi tindakan dan perubahan sikap sehingga hari ini.

“Matlamat hidup saya adalah mahu melakukan yang terbaik untuk anak Melayu sebagai golongan yang ada harapan dalam pelbagai bidang yang mereka ingin ceburi,” katanya.

Zaman kampus, beliau aktif dalam program kepimpinan pelajar di dalam dan luar negara. Antara pengalaman pahit Jais apabila disabotaj dalam pertandingan jawatan Exco Majlis Perwakilan Pelajar. Pada awal pagi hari pengundian itu, tiba-tiba berterbangan beratus-ratus keping surat dari bumbung asrama.

“Isi surat ditulis ‘saya menarik diri dari bertanding atas faktor peribadi! Perasaan saya menjadi hambar dan benar-benar terkejut,” katanya yang juga bergiat dalam Majlis Belia Malaysia (MBM) dan mewakili pertubuhan tersebut ke Seminar Informasi Belia Asean di Bogor, Jakarta.

 “Majoriti mahasiswa menjadi ulat buku dan kurang bercampur dengan politik. Hari ini, lebih ramai ‘menyendiri’ akibat terlalu sibuk dengan gajet.

“Mereka menganggap kerajaan tidak betul akibat terpengaruh dengan tohmahan di media sosial. Pandangan mereka ini harus dibetulkan segera sebelum merosakkan negara dan bangsa,” tegas beliau.

Fokus pendidikan

Jais menyarankan mahasiswa perlu bijak menguruskan masa antara belajar dan bermasyarakat. Dunia di luar inilah bilik darjah terbaik, yang mengajar realiti kehidupan kepada mereka kelak.

Ini terbukti apabila beliau yang aktif menganjurkan pelbagai aktiviti di universiti, telah diberi kepercayaan untuk mengasaskan Kolej Islam Antarabangsa (KIA), anak syarikat UIAM.

Anak keempat daripada 10 beradik ini juga berjaya mengasaskan GPMS Cawangan Khas UIAM pada 1993 dan dilantik sebagai Ahli Majlis Tertinggi GPMS Kebangsaan (1993-2006), seterusnya menjadi Naib Presiden GPMS pada 2006 hingga 2009.

Baginya, ia bukan mudah untuk capai kejayaan ke tahap sekarang.

“Ketika mengambil alih jawatan Presiden GPMS pada 2009, tidak ada duit ketika itu! Ramai orang lama GPMS ragu-ragu dengan kemampuan kepimpinan saya yang berusia bawah 40 tahun untuk menerajui sebuah pertubuhan belia tertua di tanah air ini.

“Saya dan rakan seangkatan bersatu hati untuk merancang dan melaksanakan 25 Dasar dan Strategi penting yang kami susun bersama dalam memacu perjuangan GPMS.

“Semua pejuang GPMS adalah ahli keluarga saya yang pernah melalui susah senang bersama,” katanya yang mengamalkan konsep berorientasi program dalam perjuangan GPMS.

Jais menambah, GPMS tidak boleh dilihat juara berdebat dalam isu politik tetapi untuk meningkatkan keberkesanan membentuk sahsiah dan prestasi pelajar Melayu.

Beliau memfokuskan pelbagai program pendidikan demi mengangkat maruah dan martabat anak Melayu dewasa ini. Pelbagai aktiviti GPMS dilaporkan dalam majalah Suara GPMS yang diterbitkan setiap tahun.

“Masa depan negara ini berada di tangan kita sendiri. Mahasiswa Melayu wajib mendaftar diri sebagai pengundi. Andalah bakal mewarisi kepimpinan negara ini pada masa hadapan.

“Cukupkan ilmu di dada, dapatkan sebanyak mungkin pengalaman yang boleh, bina kemampuan dan karisma kepimpinan dalam diri dan buatlah keputusan bijak,” katanya.

0 Komentar untuk " Jais warnai legasi GPMS "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ