Menang sorak, tetapi seluar rabak - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Menang sorak, tetapi seluar rabak

SIAPA agaknya yang gatal tangan memaparkan gambar manusia berkepala anjing di hadapan berpuluh ribu penonton di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Baharu, hujung minggu lalu?

Gambar di kain rentang berukuran mega itu dipamerkan pada perlawanan Piala Sumbangsih yang menyaksikan pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menewaskan Pahang 2-0.

Manusia berkepala anjing itu memakai jaket dengan logo Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Konon kain rentang itu bertujuan mengaibkan kepimpinan badan induk bola sepak negara.

Seperti yang ditegaskan oleh Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin isu di sebalik kain rentang kontroversi itu ialah sifat tidak bertanggungjawab, tiada adab, kurang berdisiplin, tidak peka dan tidak sensitif sesetengah penyokong bola sepak kita. Seperti dilaporkan media 12 orang penyokong JDT telah disoal siasat berhubung isu berkenaan.

Kira-kira setahun lalu di lokasi sama telah tercetus apa yang disebut ‘insiden dalam terowong’ di mana pemain T-Team (Terengganu) mendakwa telah dikasari pemain JDT ketika menuju ke bilik persalinan. Kecohlah 1Malaysia.

Menteri Besar Terengganu ketika itu, Datuk Seri Ahmad Said beria-ia meminta pemain dan pegawai skuad The Titans itu bersumpah menggunakan al-Quran. Tegas beliau: “Kita mahu buktikan kebenaran kerana ia melibatkan maruah diri, harga diri dan pasukan.”

Sebenarnya bukan sahaja di Johor Baharu, insiden-insiden tidak diingini juga berlaku di stadium-stadium lain seluruh negara setiap kali ada perlawanan bola sepak. Baling botol minuman, bakar bendera, bakar bas, bertumbuk, ugut-mengugut, malah ada yang putus kawan gara-gara pasukan pujaannya tewas di padang.

Bola sepak kita juga dicemari dengan pelbagai kontroversi, termasuk pemecatan, penggantungan – dan kritikan keras terhadap – kepimpinan FAM, dan gaji pemain tidak dibayar. Selalu ada pertelingkahan dalam kalangan kepimpinan badan bola sepak.

Bergaduh tidak habis-habis. Bola sepak kita juga dikotori dengan judi bola.

Ada peminat yang terlalu taksub, dan menubuhkan kelab-kelab penyokong. Mereka mengasak stadium setiap kali pasukan pujaan bertarung. Mereka menjerit dan memekik – juga menyanyi dan bergendang – sepanjang perlawanan, macamlah pasukan bola sepak kita hebat sangat.

Mereka bersemangat berkobar-kobar untuk menyokong pasukan, sehingga sanggup mengecat muka dan rambut, rela membotakkan kepala. Jangan hina pasukan mereka, sebab dalam keadaan semangat yang melampau mereka sedia bertumbuk dengan mana-mana pihak yang memperlekeh pasukan pujaan.

Pada hemat saya, bertumbuk, berkasar dan sikap-sikap yang keterlaluan itu tidak berbaloi. Lagi pun setakat ini bola sepak kita bukanlah hebat sangat. Walaupun kerajaan telah berbelanja berbilion RM untuk prasarana bola sepak – termasuk membina stadium bertaraf dunia – kita masih antara yang tercorot di peringkat global. Usahkan peringkat dunia, dalam kalangan negara Asia pun kita tidak ke mana.

Kedudukan terkini kita dalam senarai bola sepak dunia seperti dicatatkan oleh FIFA World Rankings 2015 yang dikeluarkan 8 Januari, kita di tangga 154 dari 200 negara. Barbados, negara yang jarang kita dengar namanya pun boleh mengalahkan kita (di tangga ke-143).

Dalam kalangan pasukan serantau pun kita ditewaskan negara yang lebih mundur seperti Vietnam (133), Myanmar (141), Thailand (144), Filipina (130). Dalam Asia, Korea (69), Jepun (54). Kita kena menapak 100 anak tangga lagi untuk sampai pada kedudukan Negara Matahari Terbit itu, mampukah?

Bukan hendak memperlekeh, tetapi terimalah hakikat bahawa kita masih terlalu jauh untuk menduduki 10 terbaik dunia yang kini dimiliki Jerman di tempat pertama, 2 Argentina, 3 Colombia, 4 Belgium, 5 The Netherlands, 6 Brazil, 7 Portugal, 8 France, 9 Spain, 10 Uruguay. Pasukan kegemaran saya, England di tangga ke-13, di belakang Italy (11) dan Switzerland (12).

Itulah kedudukan bola kita! Maka saya teringat kisah klasik Melayu, Pak Kaduk yang menjerit dan melompat terlalu gembira hingga pakaian dan seluarnya koyak rabak dan terlondeh, kerana menyangka ayam sabungnya menang berlaga, pada hal ayam yang menang itu bukan lagi miliknya.

Sudahlah berbogel sebab pakaian koyak, kampungnya pula tergadai sebab ayamnya tewas dalam pertarungan. Harap-harap kita tidak seperti Pak Kaduk. Kita hanya kuat bertempik-sorak, tetapi bola sepak kita tidak ke mana!

0 Komentar untuk " Menang sorak, tetapi seluar rabak "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ