Usah sewenangnya haramkan cukai - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Usah sewenangnya haramkan cukai

POLEMIK mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) nampaknya bukan lagi setakat berlegar seputar hujah-hujah ekonomi dan sara hidup.

Kini semakin ramai ‘mufti’ segera yang mengharamkan GST atas hujah simplistik dengan mengatakan Rasulullah SAW tidak pernah mengiktiraf sumber negara selain zakat dan sedekah.

Jika semudah itulah hukum haram dijatuhkan kepada GST maka segala cukai-cukai yang selama ini dikutip kerajaan juga haramlah jawabnya. Ini kerana kaedah fekah menyebutkan “Apa yang diharamkan untuk dilakukannya, maka haram untuk mengambilnya”.

Justeru segala pendapatan juga jadi haram kerana lebih 70 peratus hasil negara hari ini bergantung pada cukai tidak kira cukai langsung seperti cukai pendapatan mahupun cukai tidak langsung termasuklah duti kastam, duti eksais, cukai perkhidmatan dan cukai barangan.

Maka bukan sahaja kesan ‘haram’ ini terpakai kepada kerajaan Persekutuan, malah kerajaan-kerajaan negeri yang diperintah Pakatan termasuklah Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor juga dianggap menerima pendapatan haram daripada pelbagai jenis cukai yang dikenakan termasuklah cukai tanah, cukai pintu, cukai perniagaan dan bermacam lagi.

Sebab itulah dalam Islam, hukum halal-haram tidak boleh sewenang-wenangnya dijatuhkan berasaskan sentimen dan kefahaman dangkal mengenai satu-satu perkara. Malah menghalalkan yang haram mahupun mengharamkan yang halal boleh menjatuhkan seseorang kepada kekufuran.

Berbalik kepada isu ‘fatwa-fatwa jadian’ mengenai pengharaman GST ini, persoalan asas yang perlu dibangkitkan, apakah benar cukai tidak dibenarkan dikutip oleh kerajaan?

Sebelum mengupas lanjut, perlu difahami bahawa permasalahan cukai adalah termasuk dalam ruang-lingkup Siyasah Syariyyah, iaitu pentadbiran hal ehwal awam negara Islam yang perlu diteliti aspek mencapai kemaslahatan (kebaikan) dan menolak kemudaratan selagi tidak melanggar batas-batas syariah dan prinsip-prinsip umumnya.

Cukai dalam istilah Arab dipanggil ‘dharibah’. Malah ada juga ulama yang mengaitkan istilah ‘al-maks’ juga membawa makna cukai berasaskan Hadis Nabi SAW: “Sesungguhnya penguasa yang mengenakan ‘maks’ (cukai) adalah di dalam neraka” (Riwayat Ahmad).

Sesetengah ulama menggunakan dalil inilah bagi mengharamkan sebarang bentuk cukai yang dikenakan ke atas rakyat. Ini kerana dalam kaedah usul fiqh, sebarang ancaman neraka menerusi nas membawa pengertian bahawa perkara yang disebutkan adalah haram.

Namun sebahagian ulama lain termasuklah Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Dr Ali Muhydin Al-Qurrah Daghi mempunyai pandangan berbeza dengan menegaskan bahawa kalimah ‘maks’ dalam konteks hadis ini membawa maksud khusus iaitu “sejenis cukai yang diwajibkan oleh sebahagian pemerintah dan penyokong mereka untuk bersenang-lenang dengannya walaupun menyempitkan rakyat mereka” (Al-Qaradawi, Kitab Fiqh al-zakat).

Justeru mereka berpandangan pengambilan cukai sebagai tambahan kepada zakat, sedekah, jizyah dan ushur adalah harus bagi memastikan kerajaan dapat mengurus kemaslahatan ummah seperti membangunkan kebajikan rakyat, bayaran gaji pekerja kerajaan dan penyediaan infrastruktur untuk kemudahan rakyat.

Pandangan ini berasaskan kaedah fekah yang masyhur iaitu: “Pendekatan atau tindakan seseorang pemerintah kepada rakyatnya adalah berasaskan kemaslahatan” (Imam As-Suyuuti, Kitab Al-Ashbah Wan Nazooir).

Pendekatan inilah yang diambil oleh para sahabat khususnya Khalifah Umar al-Khatab yang antara terawal melakukan ijtihad baru mengenakan cukai kharaj (cukai tanah).

Ini kerana, Khalifah Umar RA mula melihat kemaslahatan atau keperluan untuk menjana pendapatan lain apabila wilayah kekuasaan Islam berkembang ke Iraq, Syam dan
Mesir terutamanya bagi menampung keperluan perbelanjaan pertahanan, penggajian tentera dan kakitangan kerajaan yang menguruskan hal-ehwal rakyat.

Apa yang penting sebagaimana yang digariskan oleh para fukaha silam, sistem percukaian yang dibina hendaklah berasaskan keadilan dan dikenakan pada golongan berkemampuan hingga tidak membebankan rakyat.

Cukai ini juga hendaklah dipungut oleh pemerintah bagi menampung perbelanjaan untuk menguruskan kepentingan rakyat dan kemaslahatan yang diperakui syarak.

Hakikatnya GST bukanlah satu jenis cukai tambahan yang diperkenalkan kerajaan tatkala ramai yang berasa terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sebaliknya GST adalah satu penstrukturan percukaian baharu bagi menggantikan skim cukai lama iaitu cukai barangan dan cukai perkhidmatan yang sudah pun dikenakan selama ini.

Pengalaman 160 buah negara yang memperkenalkan GST selama ini telah membuktikan bahawa sistem cukai ini adalah lebih telus dan adil, bahkan mampu mengelakkan daripada berlakunya ketirisan sumber perolehan negara yang amat penting bagi disalurkan kembali kepada rakyat.

* Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

0 Komentar untuk " Usah sewenangnya haramkan cukai "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ