Jangan rampas hak mangsa banjir - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Jangan rampas hak mangsa banjir

AHAD lepas saya ke Kota Bharu, Kelantan, negeri di pantai timur yang paling teruk dilanda banjir baru-baru ini.

Syukur. Saya difahamkan banyak kawasan di negeri Cik Siti Wan Kembang itu sudah bebas daripada banjir besar dan kegiatan perniagaan dan lain-lain kembali seperti sediakala sejak beberapa hari lalu.

Hanya terdapat tompokan-tompokan air di beberapa kawasan rendah di tepi jalan di pusat dan pinggiran bandar. Maknanya hujan masih turun, tetapi tidak membawa bersamanya ancaman banjir lagi. Alhamdulillah.

Tidak hairanlah kalau banyak wajah yang saya lihat di sekitar ibu negeri itu kelihatan ceria; bencana sebulan yang meragut beberapa nyawa dan memusnahkan banyak harta benda sudah berakhir.

Warung dan gerai di bandar itu penuh semula dengan pelanggan. Di beberapa jalan di bandar Kota Bharu yang biasanya tidak sesak penuh dengan kenderaan yang bergerak perlahan pagi dan petang.

Kesesakan jalan raya di Kelantan adalah sesuatu yang dianggap luar biasa oleh penduduk tempatan.

Kalau waktu biasa perjalanan dengan kereta antara Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Pengkalan Chepa dan pusat bandar Kota Bharu sejauh 13 kilometer itu mengambil masa 15 minit sahaja, tetapi Ahad lalu, ia mengambil masa dua kali lebih lama.

Saya jadi resah; bimbang terlambat tiba untuk menyertai sidang media Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed di Kompleks SPRM Negeri Kelantan.

Saya ke sana kerana Sinar Harian merupakan rakan media SPRM untuk menyalurkan maklumat kepada mangsa-mangsa banjir, bagi memudahkan urusan agihan dan penerimaan bantuan dana banjir.

Antara sebab kesesakan di bandar Kota Bharu hari itu, saya difahamkan, adalah kehadiran ramai mangsa banjir yang mahu mendapatkan maklumat dan borang untuk menuntut bantuan wang.

Tindakan SPRM menubuhkan Jawatankuasa Integriti Pengurusan Tabung dan Dana Banjir, yang diumumkan Tan Sri Abu Kassim pada sidang media itu memang tepat dan perlu disokong sepenuhnya.

Mudah-mudahan ia dapat menjamin segala bantuan untuk mangsa-mangsa banjir sampai kepada sasarannya, tidak terlepas kepada yang tidak layak. Seperti yang pernah berlaku ketika tsunami yang melanda beberapa negara 11 tahun lalu, ada yang buat tuntutan palsu.

Rasanya tidak perlu saya ulangi. Wawancara eksklusif Sinar Harian dengan Tan Sri Abu Kassim Ahad lalu sudah lebih daripada memadai. Beliau meluahkan segala yang perlu diketahui pihak yang diberi tugas mengagihkan bantuan dan mereka yang layak atau tidak layak menerima bantuan banjir.

Cuma saya ingin berkongsi sedikit daripada apa yang beliau tekankan dalam usaha menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir secara terbaik, tanpa tirisan dan penyelewengan.

Dengan lain perkataan, beliau tidak mahu mana-mana pihak menahan jerat di pergentingan atau menangguk di air keruh.

Janganlah ambil apa yang bukan hak kita. Mereka yang didapati mengambil hak orang lain, termasuk yang membuat tuntutan palsu boleh dihukum hingga 20 tahun penjara.

Kalau pun terlepas di mahkamah dunia akibat perbuatan haram itu, kita tidak akan terlepas di mahkamah ALLAH azza wajalla (yang Maha Perkasa lagi Maha Agung).

Saya difahamkan, masalah tuntutan timbul disebabkan ramai yang keliru cara memohon bantuan. Itulah juga punca berlakunya tipu-helah oleh oportunis yang menanti masa sahaja untuk mencari mangsa.

Kini, jangan keliru lagi. Siapa sahaja ingin membuat aduan mengenai bantuan banjir, hubungilah 019-2849134//019-2849234 atau 019-2849389. Anda tidak akan dikecewakan.

Atau pun anda boleh berurusan dengan penghulu-penghulu dan wakil-wakil jabatan dan agensi berkaitan di kawasan anda.

SPRM juga sudah menghantar pegawai-pegawainya turun padang selama dua minggu untuk memudahkan agihan bantuan banjir di seluruh negeri, bersama petugas jabatan berkaitan kebajikan dan keselamatan.

Bagi mereka yang sedang memikirkan cara mahu mengambil hak mangsa banjir dan memalsukan tuntutan bantuan, lupakan sahaja niat jahat itu. Awak akan menyesal.
Ingat, sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya akan terhempap ke tanah juga!

0 Komentar untuk " Jangan rampas hak mangsa banjir "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ