Transformasi generasi - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Transformasi generasi

ANAK adalah cahaya mata hasil daripada gabungan dua hati yang memenuhi syariat agama. Anak juga pewaris keturunan. Mereka jualah bakal pemimpin agama dan negara pada masa akan datang.

Hari ini, mata melihat betapa generasi alaf baharu seakan 'kurang' memberi perhatian mengenai nilai moral yang pernah dititik beratkan suatu masa dahulu. Rata-rata mereka mempamerkan tingkah laku kurang ajar apabila cuba ditegur dan dinasihati oleh yang tua. Mungkin ada yang menerima, tidak kurang juga yang mencebik dan 'membuat muka'.

Ungkapan seperti kunolah, ortodoks dan bermacam lagi kata-kata yang kurang manis kedengaran dilemparkan hanya kerana tidak berpuas hati ditegur.

Jawapan untuk kemelut ini mudah. Ibu bapa. Benar!. Ibu bapalah antara individu yang paling hampir dalam membentuk sahsiah dan jati diri si anak. Tempoh ibu bapa bersama anak cukup lama berbanding anak-anak di sekolah. Ada yang mengatakan faktor pemilihan kawan mencorakkan sikap anak, tetapi ibu bapa perlu memantau dengan siapa anak berkawan.
Budaya positif, negatif

Perunding Motivasi, Ustazah Siti Fatahiyah Mahamood, berkata, anak-anak sekarang berada dalam alam yang serba canggih dengan teknologi yang semakin maju dari hari ke hari. Anak-anak dikelilingi oleh seribu satu budaya bercampur positif dan negatif.

"Melahirkan anak pada zaman alaf baharu adalah cabaran hebat buat ibu bapa di luar sana. Saya berasainya kerana anak-anak saya juga sedang menginjak dewasa kini. Kita yang melahirkan anak-anak pada zaman ini. Adilkah kita meletakkan kesalahan kepada mereka kerana dilahirkan dalam alaf maju sebegini? Tanpa mengira apakah mereka itu Generasi X,Y,Z atau Generasi Alfa sekalipun, mereka tetap anak kita.

"Kita yang lahirkan mereka pada zaman sebegini, maka kitalah yang  dipertanggungjawabkan untuk mendidik dan memimpin mereka melayari kehidupan, merenangi lautan berombakkan teknologi dan cabaran yang menggugat iman dan minda mereka," katanya kepada Rehal.

Hayatilah firman ALLAH SWT yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada ALLAH dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan…"(Surah At-Tahrim: 6)

MENURUTNYA, langsung tidak dinafikan terdapat sebahagian ibu bapa dan juga pendidik dilihat berasa amat bimbang dan keliru dengan perkembangan anak-anak pada masa kini.

Gaya hidup masa kini

Permintaan anak-anak yang inginkan telefon bimbit berteknologi tinggi ada kalanya dilihat sebagai kurang adab. Kecenderungan anak-anak terhadap penggunaan aplikasi dalam talian dengan menghabiskan masa di laman sosial dianggap membuang masa dan boleh mempengaruhi minda dan jiwa anak-anak. Penumpuan anak-anak terhadap gajet yang berteknologi canggih ini dianggap punca mereka hilang kemahiran untuk berkomunikasi dengan ahli keluarga, jiran dan kawan-kawan.

Beliau menjelaskan, kerana sikap keterlaluan anak-anak inilah, mereka dilabelkan sebagai anak yang terlalu asyik dengan teknologi sehingga mengabaikan tanggungjawab yang lain.
Anak-anak ini juga sering dileteri dengan kata-kata seperti: "Baru sekolah rendah dah nak handphone, abah dulu masuk universiti baru ada handphone…” dan leteran itu membuatkan anak-anak yang ketika dilahirkan penuh teknologi di sekelilingnya berasa keliru dan hairan.

"Inilah fenomena pertembungan generasi yang berlaku sekarang ini. Kehidupan yang berbeza dengan kemudahan dan teknologi yang berbeza ini kadang-kadang membuatkan berlakunya pertelingkahan antara golongan ibu bapa atau pendidik dengan generasi muda yang ada sekarang ini.

"Malah pertembungan generasi ini juga dilihat memberi tekanan dalam pengurusan kerja sekiranya ia tidak ditangani dengan bijaksana. Golongan muda yang kreatif berteknologi dan sentiasa ingin melihat hasil pencapaian dengan cepat dianggap tidak menghormati golongan senior yang lebih bersifat teliti dengan proses kerja yang manual," katanya yang juga pensyarah di Akademi Pengajian Islam Kontemporari (Acis), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

Menurutnya lagi, sebagai ibu bapa, pendidik dan juga pengurusan perlu mengambil kaedah yang positif dan efisien dalam menangani pertembungan generasi ini.

Transformasi generasi perlu dilakukan tanpa mengetepikan tradisi dan orang lama. Kerana itulah Saidina Umar RA sejak dulu telah mengatakan: "Ajarlah anak-anakmu dengan kaedah yang sezaman dengan mereka, kerana mereka tidak hidup pada zamanmu…" dan Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: "Setiap kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu akan ditanya (dipertanggungjawabkan dan berakauntabiliti) berkenaan kepimpinannya (rakyat di bawah kepimpinannya)..." (Riwayat Tarmizi)

Pengaruh teknologi

Twiter, Instagram, WhatsApp, WeChat, Facebook, Skype dan bermacam aplikasi gajet sememangnya menjadikan hidup semakin mudah dan ringkas. Namun, di sebalik kemudahan itu ia seakan mencetus impak negatif dalam diri si anak.

 Siti Fatahiyah berkata, ledakan teknologi yang pelbagai itu akan mewujudkan satu sikap 'berani' dalam diri generasi baharu. Sesungguhnya mereka tidak akan takut untuk melakukan perkara di luar jangka seperti memuat turun status yang bukan-bukan, menghentam sesama sendiri, memuat turun video yang tidak senonoh dan bermacam lagi.

"Ini kerana kurang didikan ataupun penekanan ilmu di peringkat awal. Keengganan ibu bapa atau pendidik untuk turut sama mempelajari teknologi terkini menyebabkan anak-anak terbiar menggunakan teknologi tanpa didikan.

"Pembesaran anak-anak dalam zaman alaf modenisasi yang penuh dengan cabaran globalisasi dan ICT ini tanpa ibu bapa di sisi menyebabkan masalah ini semakin meruncing. Ibu bapa berasa bertanggungjawab mencari nafkah tanpa mengira masa menyebabkan anak-anak terbiar di rumah. Apabila anak-anak mula berasa sunyi, mereka mula mencari alternatif dengan mencuba teknologi baharu yang sentiasa berkembang maju itu," katanya.

Menurutnya, sesetengah ibu bapa rela menyediakan segala peralatan yang canggih ini kepada anak-anak bagi menutup kesibukan mereka kerana tiada masa melayani anak-anak. Maka kecelaruan dalam pertembungan generasi ini akan makin parah.

Sebagai ibu bapa, pendidik ataupun pihak pengurusan, kita perlu tahu dalam pendidikan, kitalah yang menjadi model praktis untuk diteladani. Proses pendidikan berasaskan model teladan ini adalah sangat efektif. Setiap gaya bahasa tutur kata, perbuatan, tindakan dan peraturan yang kita lakukan akan sentiasa diperhatikan untuk diikuti. Apa sahaja yang kita gunakan di sekeliling kita juga akan menjadi sumber kepada mereka untuk dipelajari.

Maka apabila mereka berada pada zaman teknologi serba canggih ini, kitalah yang bertanggungjawab mempelajari terlebih dahulu teknologi yang menghasilkan seribu satu budaya dan cabaran ini agar kita mampu memberi didikan yang tepat. Sebagai ibu bapa, pendidik ataupun pihak pengurusan, kita perlu mentransformasikan peranan kita agar anak-anak dan generasi muda ini terdidik dan terpimpin dengan iman secara bijaksana.

"Petua utama kepada ibu bapa, pendidik ataupun pihak pengurusan, dalam mentransformasikan peranan kita sebagai pendidik atau dai’e, Islam menggariskan dua sifat utama yang perlu ada bagi melancarkan proses transformasi didikan ini: Pertama: didik dengan positif dan penuh kasih sayang. Kedua: Buang perasaan negatif dan benci yang boleh mengundang kemarahan ketika proses didikan ini berjalan," katanya.

0 Komentar untuk " Transformasi generasi "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ