Lambaian Baitullah menggamit kalbu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Lambaian Baitullah menggamit kalbu

SEKIAN lama menunggu, tibalah saat dinantikan untuk menyarung kain ihram yang tersimpan rapi di dalam bagasi.

Penulis dan rakan jemaah diminta bersiap dan melakukan ziarah wada’ (selamat tinggal) ke makam Nabi SAW, sebelum bertolak ke Makkah al-Mukarramah, sekitar jam 2.30 petang waktu tempatan.

Jemaah mempunyai dua pilihan, sama ada memakai ihram dalam bilik penginapan atau setibanya di lokasi miqat iaitu Masjid Bir Ali yang terletak kira-kira 9 kilometer dari Kota Madinah.

Bagaimanapun, rata-rata jemaah memilih untuk melakukannya di hotel atas saranan pengendali, KRS Travel Sdn Bhd (KRS Travel).

Tujuannya untuk menjimatkan masa, memandangkan Masjid Bir Ali penuh sesak dengan jemaah dari pelusuk dunia, yang mempunyai tujuan serupa.

Seusai menunaikan solat sunat dan berniat ihram, maka bermulalah perjalanan penulis ke Makkah untuk mengerjakan umrah yang pertama.

Enam jam ditempuhi langsung tidak berasa, lantaran lidah masing-masing tidak henti bertalbiah memuji kebesaran Ilahi.

Penulis agak bertuah kerana tempat penginapan, Hotel Jawharat Al-Misfalah kelolaan KRS Travel serba lengkap dan terletak lebih kurang 300 meter sahaja dari perkarangan Masjidil Haram.

Penyediaan kerusi roda mencukupi secara percuma kepada jemaah yang memerlukan juga adalah salah satu kelebihan tersendiri dimiliki KRS Travel.

Maklumlah, bukan murah hendak menyewa kerusi roda, apatah lagi lengkap dengan ‘tukang tolak’ untuk pergi dan balik ke Masjidil Haram.

Berdasarkan pemerhatian penulis, bayaran upah dikenakan mampu mencecah sehingga SR300 (RM286) bagi setiap jemaah diuruskan.

Berbalik pada kisah menunaikan umrah, penulis dan rakan-rakan jemaah bergerak ke Masjidil Haram sekitar jam 10 malam, selepas berehat seketika di hotel untuk menjamu selera.

Masa itu, hati sudah tidak sabar hendak melakukan ibadat. Mana tidaknya, Rasulullah SAW bersabda: "Solat di masjidku lebih afdal dari 1,000 solat di masjid lain kecuali Masjidil Haram dan solat di Masjidil Haram lebih afdal daripada 100,000 solat di masjid lain".

Melalui bimbingan mutawif berpengalaman, kami dibawa melakukan tawaf dan saie, sehinggalah tahalul yang mengambil masa lebih kurang dua setengah jam.

Cuma, laluan ke Masjidil Haram agak sesak memandangkan orang ramai tertumpu pada satu-satunya pintu masuk yang ada iaitu Raja Fahd, berikutan selebihnya ditutup untuk kerja-kerja pelebaran sejak Disember lalu.

Khabarnya, proses pelebaran bermula sejak 2007 itu dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020 dan berupaya menampung kira-kira dua juta jemaah kelak.

Paling penting semasa di Masjidil Haram, usah dilayan jika ada pihak cuba menawarkan pertolongan untuk mengucup Hajar Aswad kononnya secara ikhlas.

Walhal, selepas itu, baharulah mereka beritahu bahawa perkhidmatan diberikan perlu dibayar. Jika tidak dituruti, mereka akan ikut jemaah terlibat sampai depan pintu bilik hotel.

Difahamkan, pernah ada jemaah dari negara jiran yang kehabisan wang kerana dipaksa membayar kira-kira SR800 (RM765) hingga SR1,000 (RM956) oleh sindiket terbabit.

Hari-hari berikutnya, jemaah diberikan kebebasan untuk mengerjakan umrah dan aktiviti masing-masing tanpa pengawasan mutawif.

Seandainya berkesempatan, boleh juga membuat umrah untuk mereka yang sudah meninggal dunia. Tetapi, umrah yang wajib untuk diri sendiri mestilah ditunaikan terlebih dahulu.

Syaratnya, satu umrah hanya boleh dilakukan untuk satu individu dan tidak boleh secara sekali gus. Sebagai contoh, kalau mahu buat untuk empat orang (Allahyarham), maka perlu laksanakan umrah sebanyak empat kali.

Selain itu, penulis dan rakan-rakan jemaah turut dibawa menziarahi beberapa lokasi bersejarah yang sering dikunjungi seperti Jabal Thur, Jabal Nur, Jabal Rahmah, Ja’ranah, Hudaibiyah dan Muzium Haramain.

Tidak ketinggalan, pengisian rohani yang cukup menyentuh perasaan dan membuka minda pada pagi Jumaat oleh mantan Yang Dipertua Persatuan Pelajar Malaysia Makkah al-Mukarramah, Ustaz Khairul Arifin Mat Jais, 30, yang sudah sembilan tahun menetap di Arab Saudi.

Rasanya, cukuplah setakat ini dahulu. Pengalaman selanjutnya akan penulis kongsikan dalam siri akan datang, insya-ALLAH.

Bagi mereka yang berminat dan ingin mendapatkan maklumat lanjut berhubung pakej umrah ditawarkan KRS Travel, boleh hubungi di talian 06-6776666 atau lawati laman web www.krstravel.com.my.

0 Komentar untuk " Lambaian Baitullah menggamit kalbu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ