Tarikan aiskrim pasu - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Tarikan aiskrim pasu

MUNGKIN kerana rupanya atau juga mungkin kerana rasanya, aiskrim pasu bunga atau aiskrim pasu yang sejak akhir-akhir ini menjadi trend dan viral di kalangan pengguna di laman-laman sosial seperti Instagram mahupun Facebook.

Siapa sangka pasu yang sinonim sebagai bekas bunga dijadikan bekas untuk makanan seperti aiskrim, ditambah lagi dengan inovasi dan kreativiti si penjual menjadikan ia popular di kalangan pelanggan di seluruh negara.

Sekali pandang, ada yang seakan-akan bunga, cacing dan pelbagai lagi dekorasi unik untuk dipersembahkan bagi menarik pelanggan.

Menurut sejarahnya, aiskrim pasu berasal daripada Jepun dan telah dikenali sejak beberapa tahun lamanya di negara berkenaan sebelum menular di negara kita.

Fenomena aiskrim pasu bermula sejak akhir tahun lalu, namun hanya begitu menjadi kegilaan masyarakat sejak awal tahun ini di seluruh negara.

Suka sebab unik

Nurul Azareen Md Azam, 25 berkata, dia baru mengenali aiskrim pasu sebulan yang lalu kerana tertarik dengan keunikan hidangan dalam pasu.

"Setiap aiskrim yang dijual ada kelainan masing-masing, sama ada daripada segi persembahan dan rasa atau jenama aiskrim yang dihidangkan.

"Saya memang suka makan aiskrim jadi apa-apa berkaitan aiskrim saya memang suka," katanya ketika ditemui Sinar Harian di salah satu kedai yang menjual aiskrim pasu di Platinum Walk, Danau Kota, Kuala Lumpur, semalam.

Nurul Azareen juga berkata, dia datang ke kawasan itu semata-mata untuk membeli aiskrim pasu.

Seorang pembeli aiskrim pasu yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkata, tarikan aiskrim pasu adalah kerana persembahan yang unik sehinggakan orang ramai masing-masing mahu mencuba.

"Bagi saya, rasanya sama seperti aiskrim yang dibeli di kedai dan boleh dibuat sendiri dengan hanya membeli pasu, aiskrim dan perhiasan lain," katanya yang turut terpengaruh dengan trend sehingga sanggup mencari si penjual aiskrim pasu semata-mata ingin mencuba.

Menurutnya, aiskrim pasu berbeza rasa mengikut penjual dan mungkin akan lebih diminati oleh penggemar aiskrim.

Perniagaan ikut trend rancak pendapatan

"Perniagaan mengikut trend semasa menjadi salah satu faktor tarikan pelanggan untuk datang berkunjung ke kedainya," kata Pengurus Pemasaran ZurhanaShoppe, Nunul Abdul Rahman.

Menurutnya, kedainya sememangnya menjual produk mengikut trend dan mendapati ia menyumbang kepada pendapatan kedainya.

Sebelum ini, ZurhanaShoppe menjual pisang goreng cheese dan melihat jualan itu mendapat sambutan, dia turut menjual aiskrim pasu pada Disember 2014.

"Sehingga kini, kami mampu menjual sehingga 300 pasu sehari dengan harga bermula RM5 hingga RM5.50 sepasu mengikut saiz.

"Apa yang membezakan aiskrim pasu kami dengan aiskrim pasu lain adalah dari segi persembahan," katanya ketika ditemui di kedainya, baru-baru ini.

Menurutnya, kedainya dikenali ramai berikutan dia aktif memuat naik gambar aiskrim di laman Instagram.

Beri kelainan tarik peminat aiskrim

Pemilik IcecreamPotz, Muhamad Faizal Hadib berkata, terlalu banyak produk seumpamanya di pasaran menyebabkan pihaknya untuk tampil memberi kelainan pada aiskrim pasu menerusi IcecreamPotz, sejak Ogos tahun lalu.

Walaupun telah lama di pasaran, namun ia hanya mula dikenali sejak akhir-akhir ini apabila aiskrim pasu menjadi trend semasa. Mula-mula berniaga, memang sukar untuk menarik pembeli kerana mereka tidak tahu dan rata-rata tengok dan terus lalu sahaja.

Namun, hanya sejak Disember lalu sahaja ia menjadi kegilaan menyebabkan IcecreamPotz menjadi antara pilihan pembeli.

"Kelainan kami adalah dari segi perisa yang didatangkan dengan tiga rasa iaitu coklat, vanila dan butterscotch yang jarang dijual oleh peniaga lain. Kami juga tidak menjual aiskrim biasa sebaliknya menggunakan aiskrim yang dikeluarkan oleh syarikat Bumiputera yang berkualiti tinggi," katanya.

Menurutnya, IcecreamPotz tidak mempunyai kedai sebaliknya bergerak mengikut program-program perniagaan di sekitar Shah Alam dan Subang.

Katanya, IcecreamPotz mampu menjual sekitar 48 liter aiskrim iaitu purata 500 unit pasu dengan nilai jualan RM2,000 sehari. Mengulas berhubung sejauh mana perniagaan ini bertahan, Faizal berkata, selagi ada permintaan dan pada masa sama akan terus menambah baik produk menerusi IcecreamPotz.

0 Komentar untuk " Tarikan aiskrim pasu "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ