Banjir buka peluang pengusaha promosi produk - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Banjir buka peluang pengusaha promosi produk

Kebelakangan ini kita melihat beberapa pengusaha tempatan dengan kepelbagaian produk mereka turut serta dalam program amal membantu mangsa banjir di beberapa negeri. Usaha mereka bukan sahaja murni, malah dilihat sebagai antara langkah pemasaran yang sangat baik dari segi pengenalan produk kepada bakal pengguna pada masa hadapan.

Biarpun usaha dilakukan sekarang adalah lebih kepada sifat ikhlas untuk membantu, namun pastinya kesan kebaikan terhadap produk tersebut akan dinikmati pada masa akan datang. Kami beranggapan bahawa tindakan itu sangat baik untuk mengukuhkan perniagaan pengusaha tanpa mengira produk atau perkhidmatan ditawarkan.

Pengusaha termasuk pembekal alat pencuci, sabun mandi, kerepek dan keropok, jenama baju mahupun air minuman dan pelbagai barangan lain mempunyai peluang menyertai kempen amal dengan secara tidak langsung berpeluang memperkenalkan barangan mereka kepada pengguna.

Antara cabaran terbesar yang dihadapi pengusaha tempatan di Malaysia ialah untuk menembusi pasaran yang lama dikuasai oleh pengusaha besar baik dari dalam mahupun luar negara.

Jenama mereka telah melekat di hati pengguna dan usaha pemasaran produk baharu tempatan walaupun tidak kurang hebatnya dari segi kualiti sentiasa penuh dengan rintangan.

Guna strategi pemasaran tepat

Pengusaha baharu harus menggunakan strategi pemasaran yang tepat dalam menembusi pasaran kerana secara hakikatnya pengusaha-pengusaha besar sentiasa memastikan bahawa mereka akan menambah kadar penguasaan pasaran serta jumlah jualan dari tahun ke tahun termasuk kawasan pemasaran mereka.

Antara cara yang perlu dilakukan oleh pengusaha kecil adalah dengan memastikan pengguna sedar kehadiran produk mereka. Kehadiran produk itu sekurang-kurangnya diketahui sama ada melalui iklan, promosi di kedai mahupun hebahan dari mulut ke mulut.

Pengusaha harus memastikan pengguna yang disasarkan mengetahui produk tersebut baik dari segi ciri-cirinya, rasanya, faedah penggunaannya mahupun kebaikan dan manfaat ditawarkan.

Hebahan dari semasa ke semasa amat perlu demi memastikan sasaran pelanggan atau pengguna sedar produk tersebut.

Langkah seterusnya adalah mendapatkan peluang pengguna mencuba, merasa atau mengguna produk ditawarkan. Cubaan pertama ini amat penting kepada kedua-dua pihak iaitu pengguna dan pengusaha.

Pengguna yang berpuas hati besar kemungkinan akan mencari semula produk tersebut dan secara tidak langsung akan bercakap mengenai kebaikan produk tersebut terutama kepada ahli keluarga dan rakan taulan terdekat.

Peluang untuk mendapatkan pelanggan seterusnya lebih besar dan usaha pengiklanan produk dibantu secara tidak rasmi oleh pengguna yang berpuas hati.

Pengusaha harus menggunakan kaedah mesra pelanggan dengan bertanyakan pendapat pengguna hasil daripada pengalaman awal mereka.

Setiap pendapat disampaikan seharusnya dinilai sebaik mungkin kerana merekalah yang menentukan masa hadapan produk pengusaha dalam pasaran.

Perkara yang sama juga pengusaha harus berhati-hati dengan pelanggan yang tidak berpuas hati. Mereka yang tidak berpuas hati juga akan menjadi ejen yang tidak rasmi menyampaikan pengalaman buruk mereka hasil daripada pengalaman yang pertama tadi.

Penggunaan media sosial

Penggunaan media sosial pada masa sekarang boleh membawa kesan baik dan buruk. Pelanggan kini tanpa ragu-ragu menggunakan media sosial untuk menyatakan kepuasan mahupun sebaliknya. Imej syarikat dan jenama produk menjadi taruhan terutama jika pengusaha gagal menangani pelanggan dengan cara berkesan.

Pengguna yang berpuas hati secara tidak langsung akan mula menyukai produk pengusaha. Mereka inilah yang harus dijaga kerana mereka telah terpikat dengan produk pengusaha. Mungkin sebelum ini mereka pelanggan tetap jenama dan pesaing yang besar. Kini mereka menyedari produk pengusaha membawa nilai dan manfaat yang sama dan mampu memenuhi keperluan dan kehendak mereka.

Pengguna yang terpikat dengan produk akan mula memperkatakan kebaikan produk tersebut dan juga memberi cadangan kepada yang lain mengenai produk yang baharu mereka cuba di pasaran.

Langkah seterusnya adalah proses pembelian produk. Pengusaha harus memastikan iklan atau promosi yang dilakukan harus mengandungi informasi penting seperti alamat dan talian untuk dihubungi.

Pengusaha yang menjual secara online harus memastikan maklumat terkini sentiasa dimuat naik dari semasa ke semasa. Katalog serta komen pengguna yang lain harus sentiasa dikemas kini. Pengusaha juga harus memastikan setiap pertanyaan dijawab secepat mungkin walaupun ada kalanya soalan yang remeh.

Kewujudan soalan yang sama berulang-ulang adalah satu isyarat bahawa pengusaha masih belum memberikan informasi secukupnya untuk kefahaman pelanggan. Jualan secara runcit pula memerlukan rangkaian unit pemasaran yang cekap. Pengusaha harus memastikan bekalan serta produk sentiasa cukup di pasaran.

Hubungan yang baik juga harus dibina dengan peruncit agar mereka dapat membantu dari segi promosi terhadap produk baharu pengusaha.

Memastikan pengguna, pelanggan berpuas hati

Pengusaha harus memastikan pengguna dan pelanggan sentiasa berpuas hati dan kembali membeli produk mereka secara tetap. Pengusaha harus mencari jalan bagaimana mungkin hubungan antara pengusaha dan pelanggan akan dapat dijalin dari semasa ke semasa.

Hubungan yang baik secara tidak langsung akan memastikan pelanggan kekal lama dengan pengusaha serta bakal menjadi pelanggan untuk produk atau perkhidmatan lain yang ditawarkan.

Secara ringkasnya pengusaha harus mengamalkan empat langkah berikut dalam melakukan promosi terhadap produk atau perkhidmatan baharu yang ditawarkan. Empat langkah itu ialah memberi kesedaran ataupun pengetahuan mengenai produk dan perkhidmatan yang disediakan diikuti dengan proses menarik perhatian bakal pengguna atau pelanggan. Seterusnya pengusaha harus menimbulkan minat pengguna terhadap produk mahupun perkhidmatan diikuti dengan tindakan mereka dalam melakukan percubaan dan seterusnya menjadi pelanggan tetap.

Susun strategi pemasaran

Akhir sekali terpulanglah kepada pengusaha tempatan kita di Malaysia bagaimana mereka menyusun strategi pemasaran di sebalik dengan kepelbagaian cara menembusi pasaran serta melakukan promosi.

Dalam keghairahan tersebut pengusaha harus berhati-hati dalam kempen pengenalan produk atau perkhidmatan terutama kepada bakal pelanggan. Pengusaha harus memastikan produk dan perkhidmatan ditawarkan bersesuaian dengan kempen dilakukan.

Gunakanlah perkataan yang sederhana serta tawaran manfaat yang sememangnya mampu dicapai hasil penggunaan jenama tersebut.

Pelanggan yang meletakkan harapan tinggi akan cepat berasa kecewa sekiranya pengalaman mereka tidak memuaskan hati, tetapi jika berlaku sebaliknya maka pengusaha akan mendapat hasil tuaian yang baik untuk masa hadapan.

Semoga segala kerja murni pengusaha pengusaha tempatan yang turut serta dalam kempen bantuan mangsa banjir akan mendapat manfaat hasil dari kerja ikhlas mereka.

0 Komentar untuk " Banjir buka peluang pengusaha promosi produk "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ