Malaysia pemacu tadbir urus baik - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Malaysia pemacu tadbir urus baik

TAHUN 2015 merupakan tahun istimewa untuk Malaysia. Selain menyandang jawatan sebagai Pengerusi Asean, negara kita turut terpilih sebagai anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Justeru, dalam meningkatkan imej Malaysia sebagai sebuah negara yang mendukung aspirasi kesederhanaan, Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF) yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak, akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa Gerakan Kesederhanaan Global kali kedua (ICGMM II) di Kuala Lumpur Convention Centre pada 11-12 Mac depan.

Sudah tentu tema utama persidangan ini ialah bagaimana memupuk dan mempraktikkan nilai kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan untuk menangani gejala ekstremis yang semakin menular sejak kebelakangan ini. Sebagai contoh, kewujudan kumpulan ekstremis IS telah menggemparkan dunia. Bahkan baru-baru ini, kumpulan ekstremis ini telah membunuh seorang warga Jepun yang gagal membayar wang tebusan dalam tempoh ditetapkan.

Penerapan sistem tadbir urus yang baik atau good governance adalah antara cara yang boleh menyekat ideologi ekstremis terus mengambil tempat, dan ia akan dibincangkan secara mendalam dalam salah satu plenari ICGMM II nanti.

Istilah tadbir urus yang baik bukanlah sesuatu yang baru. Menurut Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Asia dan Pasifik, ia bermaksud proses membuat keputusan dan proses bagaimana melaksanakan keputusan yang telah dicapai.

Dalam memastikan proses tersebut berjalan lancar, beberapa elemen penting dalam memangkin kejayaan sistem tadbir urus yang baik perlu diutamakan, iaitu penyertaan masyarakat yang menyeluruh, responsif, akauntabiliti, efektif, inklusif dan memelihara kedaulatan undang-undang.

Denmark ialah negara yang mengamalkan konsultasi terbuka dalam proses penggubalan undang-undang, di mana sebuah portal rasmi diwujudkan khas untuk mendapat maklum balas dan pendapat masyarakat tentang sesuatu undang-undang yang bakal dilaksanakan. Bukan itu sahaja, pemegang taruh utama juga akan dirujuk untuk mendapat nasihat dan membuat penambahbaikan terhadap undang-undang tersebut.

Sebelum dibentang dan diluluskan, undang-undang tersebut akan dipaparkan sekali lagi di portal rasmi untuk makluman semua pihak. Maka, tidak menghairankan apabila Denmark diumumkan sebagai antara 10 negara terbaik dari segi pembangunan modal insan serta menghuni tangga pertama dalam Indeks Transparensi 2014.

Jika dilihat dengan lebih teliti, konsep urus tadbir yang baik bukanlah sesuatu yang asing dalam Islam. Konsep amanah, perundingan dan muafakat merupakan ciri-ciri penting dalam pembangunan negara berlandaskan prinsip Islam, dan ini direfleksikan dalam pembinaan negara Islam pertama di Madinah apabila Nabi Muhammad berhijrah dari kota Makkah ke Madinah.

Asas pembinaan negara Islam Madinah disokong sepenuhnya oleh penduduknya yang berbilang suku dan agama. Mereka menjunjung tinggi Perlembagaan Madinah yang menerapkan nilai-nilai murni yang ditekankan dalam al-Quran dan Sunnah seperti kerjasama, hormat-menghormati, musyawarah (perundingan) dan keadilan untuk semua tanpa mengira jantina, suku dan agama.

Malaysia telah mengambil langkah proaktif dengan menerapkan nilai-nilai tersebut dalam dasar-dasar kerajaan, misalnya “Bersih, Cekap dan Amanah”.

Bukan itu sahaja, konsep wasatiyyah turut diperkenalkan oleh Perdana Menteri semasa Majlis Perjumpaan Bersama Ulama dan Umara pada Februari 2010, di mana beliau menekankan kepentingan mengamalkan ciri kesederhanaan dalam pembangunan masyarakat dan negara.

Di samping itu, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) dan Institut Integriti Malaysia turut diperkenalkan untuk memastikan sistem tadbir urus yang baik boleh dipraktikkan dengan berkesan.

Maka tidak mustahil jika Malaysia dilihat sebagai negara contoh dalam mengamalkan sistem tadbir urus yang baik. Oleh itu, ICGMM II ini merupakan satu platform penting untuk Malaysia berkongsi pengalaman dan strategi bersama negara-negara lain untuk melaksanakan sistem tadbir urus yang baik.

Sistem tadbir urus yang baik akan menjamin keadilan sosial dan kesejahteraan masyarakat dalam mencapai idea pembangunan modal insan yang lebih berkualiti, sekali gus menjadikan daya tarikan ideologi ekstremis tidak lagi relevan kepada masyarakat, terutama generasi muda.


* Penulis ialah Penyelidik Undang-Undang di Yayasan Gerakan Kesederhanaan Global (GMMF)

* Ini adalah pendapat peribadi penulis yang dipetik dari blog beliau sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

0 Komentar untuk " Malaysia pemacu tadbir urus baik "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ