Sifat perlu dimiliki pemuda Muslim ideal - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sifat perlu dimiliki pemuda Muslim ideal

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda yang beriman dengan Tuhan mereka; dan Kami tambahkan petunjuk kepada mereka." (Surah al-Kahfi, ayat 13)

Golongan muda adalah mereka yang masih teguh fizikalnya, segar fikirannya, sihat tubuh badannya, kental jiwa dan semangatnya. Pemuda adalah tonggak negara kerana kekuatan fizikal mereka boleh menjadi benteng pertahanan teguh sesebuah negara.

Memetik kata-kata Imam Hassan al-Banna, "Asas keimanan adalah hati yang bersih, asas keikhlasan ialah jiwa yang suci, asas semangat ialah keinginan yang kuat, asas usaha ialah keazaman yang membara dan semua sifat ini tidak wujud kecuali pada diri seorang pemuda."

Penceramah terkenal, Ustaz Nazrul Abdul Nasir menerusi rancangan Tarbiah yang bersiaran di IKIMfm setiap Jumaat, jam 10.15 pagi, berkongsi beberapa garis panduan bagi seseorang pemuda untuk menjadi golongan yang ideal dengan mengambil teladan daripada kisah ashabul kahfi.

Bertakwa kepada Allah, menjalankan peranan dakwah

Menurut Nazrul, pemuda Islam yang ideal adalah pemuda yang bertakwa kepada Allah SWT dan menjalankan peranan dakwah kepada sesiapa sahaja supaya ajaran agama Islam terus berkembang kepada seluruh umat manusia, malah Islam terus utuh serta kukuh diamalkan setiap penganutnya.

Bahkan, usia muda dengan kekuatan fikizal dan semangat yang sentiasa kental adalah ruang terbaik bagi pemuda memperkukuhkan peranan mereka memberi sumbangan kepada agama, bangsa serta negara.

Bagaimanapun, seorang pemuda yang ingin menabur jasa perlu mempersiapkan diri dengan jati diri kukuh seperti ketaatan kepada agama dari segi solat, beramal ibadah, memiliki akhlak terpuji dan menjauhi perkara membawa kepada kemungkaran serta kesesatan.

Menurut Nazrul, untuk menjadi pemuda Muslim ideal haruslah mempunyai sifat akidah yang benar kerana ia inti pati tertinggi dalam memusatkan ketauhidan iaitu mengesakan Allah SWT, menyembah dan menyerahkan diri sepenuhnya hanya kepada Allah Yang Maha Satu.

Pemuda ideal juga memiliki ilmu dan pengetahuan agama yang tinggi serta memahaminya secara mendalam, pemuda tidak tersasar daripada landasan ajaran agama yang berpandukan kepada al-Quran dan hadis.

Pemuda ideal juga mesti mempunyai keterampilan dalam pelbagai sudut kehidupan untuk dimanfaatkan demi meningkatkan kemajuan diri serta mereka yang ada di sekelilingnya. Mereka juga bijak mengambil peluang mengembangkan potensi dan mempertajamkan kemahiran diri.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "(Ingatlah peristiwa) tatkala serombongan orang muda pergi ke gua, lalu mereka berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kami rahmat dari sisi-Mu dan berikanlah kami kemudahan serta pimpinan kepada kami untuk keselamatan agama kami." (Surah al-Kahfi, ayat 10)

Mengambil iktibar daripada kisah ashabul kahfi seperti dijelaskan dalam al-Quran, mereka mencari tempat perlindungan daripada pemerintah zalim yang menghalang mereka memberi pandangan, menjelaskan kebenaran dan menyeru kepada agama Allah SWT.

Dalam konteks pemuda hari ini, mereka hendaklah menjauhkan diri daripada segala perkara yang membawa kemungkaran dan kejahatan. Kehadiran teknologi yang tiada sempadan, pemuda hendaklah bijak memilih maklumat yang membawa kebaikan dan begitu juga sebaliknya.

Kita tidak boleh menjadi alat kepada kemajuan teknologi dengan menerima bulat-bulat apa juga berita atau maklumat diperoleh. Begitu juga kehadiran laman sosial dan permainan gajet yang mengasyikkan membuat kita selalu leka dengan matlamat asal kehidupan.

Kelekaan terhadap perkara sia-sia inilah membuatkan pemuda tidak lagi seperti kata-kata Imam Hassan al-Banna iaitu sebagai harta negara, jika pemuda hanya leka dengan keseronokan dunia.

Tuntut ilmu, taat perintah Allah, ikut sunah Rasulullah

Pemuda yang sentiasa mengisi masa menuntut ilmu, taat kepada perintah Allah SWT, mengasihi dan mengikuti sunah Rasulullah SAW adalah pemuda yang akan dipelihara Allah SWT dengan kebaikan-Nya.

Menjadi pemuda Muslim yang ideal tidaklah mudah kerana yang pastinya banyak cubaan dan cabaran akan ditempuhi, apatah lagi pada usia yang sedang mencari kematangan diri. Namun, mendekatkan diri dengan Allah SWT dan mengharap petunjuk serta hidayah-Nya, kita akan dapat melalui kehidupan dengan bimbingan ajaran Islam yang benar.

Pesanan Imam Hassan al-Banna, "Wahai manusia, selepas kehidupan yang pendek ini. Kamu akan menjalani kehidupan abadi. Bila kamu memahami rahsia tugasmu dalam kehidupan ini dan mengikhlaskan amal untuk Tuhanmu, ada kenikmatan menanti."

0 Komentar untuk " Sifat perlu dimiliki pemuda Muslim ideal "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ